suria

BN terima keputusan SPR, yakin menang - PM

MERSING: Barisan Nasional (BN) menerima baik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bukit Selambau secara serentak pada 7 April depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengerusi BN berkata, BN berkeyakinan untuk memperoleh kemenangan pada kedua-dua pilihan raya kecil itu.

"Peluang untuk memenangi (kedua-dua pilihan raya kecil itu) tetap ada dan baik. Apa yang perlu dilakukan adalah merancang kempen dengan baik, bekerja kuat dan bekerjasama.

"Jangan bergaduh, semua mesti beri sokongan penuh kepada calon yang akan dipilih," kata Abdullah yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi serangan amfibi oleh komando Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar hari ini.

Perdana Menteri berkata walaupun penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 29 Mac iaitu sehari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno, tetapi menjangkakan ia tidak akan mendatangkan masalah kepada anggota Umno.

Malah, katanya ia akan memberikan peluang kepada anggota Umno memberikan sepenuh perhatian menghadapi keduadua pilihan raya kecil terbabit.

"Segala perkara ketika berkempen (pemilihan pada Perhimpunan Agung Umno) untuk pelbagai jawatan sudah selesai dan tidak menganggu perasaan. Jadi mereka boleh berkempen dan bekerja untuk pilihan raya dengan sepenuh perhatian, itu baik untuk kita," katanya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini mengumumkan kedua-dua pilihan raya itu diadakan serentak dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.

Perdana Menteri berkata BN akan mengambil pengajaran daripada kekalahan yang dialami pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos tahun lepas dan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lepas.

"Kita akan belajar daripada apa yang berlaku di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dan melakukan persediaan yang lebih baik untuk menghadapi pilihan raya kecil di Perak dan Kedah," katanya.

Beliau membayangkan terdapat semangat yang tinggi di kalangan anggota parti komponen BN berikutan daripada kejayaan BN menubuhkan kerajaan negeri di Perak.

Mengenai pemilihan calon BN bagi kedua-dua kerusi terbabit, Abdullah berkata kebiasaannya BN akan memilih calon daripada parti komponen yang telah diperuntukkan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Beliau berkata calon yang dipilih perlu memberi khidmat yang terbaik kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan kaum.

"Semua rakyat tanpa mengira kaum mengharapkan khidmat terbaik," kata Abdullah.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai desakan daripada pertubuhanpertubuhan bukan kerajaan supaya ketua pembangkang dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf kerana bersikap lepas tangan dalam insiden kekacauan politik di Perak.

Katanya Anwar perlu memahami bahawa beliau telah melakukan kesalahan tetapi terpulang kepada pemimpin pembangkang itu sama ada mahu meminta maaf atau tidak.

"Institusi Diraja perlu dipelihara kerana kerana ia ditegakkan oleh perlembagaan. Peranan mereka termaktub di dalam perlembagaan. Kita perlu patuhi peranan mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 pegawai SPA Perak tiada kerja

Artikel Lain