suria

Zambry: Tindakan Speaker DUN Perak pelik

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini menyifatkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mahu merujuk beliau dan enam Exco kerajaan negeri yang baru kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada Rabu ini sebagai sesuatu yang pelik.

Beliau berkata, kebiasaannya jawatankuasa berkenaan hanya bertindak terhadap wakil rakyat yang melakukan kesalahan semasa persidangan DUN. B agaimanapun, Zambry berkata, beliau akan mendapatkan pandangan pakar perundangan sama ada perlu atau tidak menghadirkan diri bagi memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas pengumuman Sivakumar yang merujuk Zambry yang juga ADUN Pangkor dan enam Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah jawatan Selasa lepas kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa telah menghina Dewan.

Enam Exco berkenaan adalah Hamidah Osman (Sungai Rapat), Datuk Ramly Zahari (Manong), Dr Mah Hang Soon (Chenderiang), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik).

Sivakumar yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan semalam berkata notis saman hadir kepada Zambry, Hamidah, Ramly, Dr. Mah, Saarani, Mohd Zahir dan Zainol Fadzi telah dihantar pagi semalam melalui Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong.

Sivakumar berkata, keputusan tersebut adalah ekoran surat aduan yang diterimanya daripada ADUN Canning Wong Kah Woh pada Khamis lepas yang meminta supaya ketujuhtujuh Adun Barisan Nasional (BN) tersebut dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa telah menghina Dewan. BERNAMA

Artikel Lain