suria

3,000 penyokong BN berhimpun tanda sokong Sultan Perak

PESERTA perhimpunan "Himpunan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia" melaungkan "Daulat Tuanku" tanda sokongan mereka terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di perkarangan Ibu Pejabat UMNO negeri di Ipoh, hari ini. -fotoBERNAMA
PESERTA perhimpunan
PESERTA perhimpunan "Himpunan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia" melaungkan "Daulat Tuanku" tanda sokongan mereka terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di perkarangan Ibu Pejabat UMNO negeri di Ipoh, hari ini. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 penyokong Barisan Nasional (BN) pagi tadi mengadakan demonstrasi secara aman di Ipoh bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, demonstrasi selama sejam bermula pukul 10.30 pagi itu diadakan di belakang sebuah hotel dan diterajui oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia (BBPM).

"Selepas perhimpunan itu, Ketua Umum BBPM, Osman Bakar menghantar memorandum sokongan tersebut kepada Istana Kinta untuk diserahkan kepada Tuanku Sultan.

"Memorandum tersebut menyatakan taat setia kepada Tuanku dan agar keluhuran perlembagaan dan Rukun Negara dihormati oleh rakyat Malaysia seluruh negara," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Himpunan ini diadakan selepas sekumpulan inidividu dipercaya penyokong Pakatan Rakyat mengadakan protes ketika majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru kelmarin.

Situasi politik di Perak kini sedang bergolak apabila Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf kerajaan baru BN yang secara rasminya kembali 'merampas' negeri itu setelah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Jumaat lalu.

BN berjaya mengambil alih pentadbiran 11 bulan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu selepas tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bebas daripada Pakatan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.

Khamis lalu, Sultan Azlan Shah memutuskan baginda tidak berkenan untuk membubarkan DUN seperti yang dipohon Pakatan dan meminta Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar setelah yakin Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan ADUN.

Bagaimanapun, Mohammad Nizar sehingga hari ini masih enggan melepaskan jawatan itu kerana menganggap beliau masih secara sah menjawat jawatan Menteri Besar di bawah peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata, pihaknya akan memfailkan satu saman bagi mencabar kesahihan pelantikan Menteri Besar yang baru dari BN.

Dalam pada itu, berhubung tarikh baru mesyuarat BN negeri yang dijadualkan semalam tetapi dibatalkan di saat-saat akhir berikutan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat hadir, Ramly berkata, ia masih belum diputuskan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain