suria

Derhaka Nizar tidak boleh dipandang ringan - Muhyiddin

KOTA BHARU: Kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlah Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhyiddin berkata 'keberanian' Mohammad Nizar menyanggah keputusan Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu, malah mahu mencabar Baginda di mahkamah, amat dikesali.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sultan Perak kerana Baginda juga amat arif dalam bidang perundangan selaku bekas Ketua Hakim Negara.

"Lagipun ini demokrasi yang kita amalkan. Walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pembangkang, kita mesti hormatinya," kata Muhyiddin.

Katanya, pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, sebagai Menteri Besar kerajaan BN di negeri itu adalah pilihan terbaik.

"Beliau adalah seorang tokoh berpengalaman kerana pernah menjadi exco di negeri itu sebelum ini, mempunyai kelulusan yang tinggi dan orang yang paling sesuai. Saya yakin dia dapat memberikan apa yang diharapkan oleh masyarakat di Perak ini," kata Muhyiddin.

Di TOKYO, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said berkata hasrat Mohammad Nizar yang dilaporkan mahu menyaman Sultan Perak adalah satu tindakan kurang ajar dan tidak menghormati kedaulatan rajaraja Melayu.

Azalina, yang sedang dalam lawatan promosi pelancongan ke Jepun, berkata Pakatan Rakyat nampaknya tidak boleh menerima hakikat bahawa tampuk pemerintahan di Perak telah bertukar tangan kepada Barisan Nasional.

"Apa yang pembangkang bercakap di Parlimen, di Dewan Undangan Negeri dan di ceramah-ceramah mereka ialah hanya menanam tebu di bibir mulut, hanya bercakap manis sahaja tapi mereka tidak mahu menerima hakikat," katanya.

Azalina berkata kelebihan Barisan Nasional ialah ia meletakkan suara rakyat sebagai keutamaan dan menerima secara terbuka kemahuan rakyat memilih Pakatan Rakyat memerintah lima negeri pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

"BN kalah lima negeri tetapi kami menerima walaupun kami berasa sedih, marah dan tak puas hati," katanya.

Mengenai pelantikan Zambry, beliau menyifatkannya sebagai satu pilihan cukup baik bagi rakyat negeri Perak.

"Beliau adalah anak jati daripada Pangkor, dan Pangkor dikenali sebagai satu tapak pelancongan. Saya harap beliau akan mengerakkan pelancongan di negeri Perak secara lebih agresif," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain