KERANDA jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman diletakkan kalungan bunga ketika upacara penghormatan terakhir di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti hari ini. Jenazah Almarhum baginda akan disemadikan selepas solat Asar, esok. - fotoBERNAMA [DIKEMAS KINI] KUALA PILAH: Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini pada pukul 2.30 petang esok.Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Norzam Mohd Nor berkata pemasyhuran itu akan dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak. "Selepas itu dan dengan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman akan disemadikan."Istiadat pemakaman jenazah Almarhum baginda dijangka akan dijalankan selepas solat Asar esok," katanya kepada pemberita di Istana Besar Seri Menanti hari ini.Norzam berkata, pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.Katanya, pemilihan itu adalah mengikut garis panduan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.Sementara itu, katanya, rakyat jelata diperuntukkan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tuanku Ja'afar mulai pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari esok manakala kerabat diraja, orang kenamaan dan perwakilan asing mulai pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.Beliau berkata, persiapan untuk istiadat pemakaman jenazah Almarhum baginda kini berjalan lancar.Katanya, antara kerabat diraja dan orang kenamaan yang dijangka hadir pada istiadat pemakaman itu esok ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, wakil-wakil Sultan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. BERNAMABERITA TERDAHULU Sidang pelantikan Yang Dipertuan Besar petang iniKUALA PILAH: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan akan bersidang pada pukul 3 petang ini bagi membincangkan mengenai pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persidangan itu adalah antara Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin untuk memilih pengganti Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan."Kita akan adakan persidangan berkenaan petang ini dan akan umumkan (keputusan pelantikan) sama ada lewat petang ini selepas persidangan atau kita umumkan esok," katanya kepada pemberita di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.Pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berbeza dengan cara pemilihan pengganti raja dan sultan di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. PEMILIHAN ANTARA PUTERA YANG EMPATPemilihan pengganti dibuat antara Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar."Dari keempat-empat mereka ini, seorang akan dipilih sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Besar Sembilan yang baru. Kaedah pemilihan ini dibuat oleh Undang Yang Empat," kata Tiang Kerajaan (Pakar Rujuk Adat Perpatih) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, 69.Persidangan yang diadakan pada pukul 3 petang di Istana Besar Seri Menanti dan pengumuman dijangka dibuat lewat petang ini atau esok sebelum jenazah Almarhum dimakamkan.Khalid berkata, pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar ini adalah mengikut adat yang diucap dan dipakai seperti kata adat "Yamtuan Mangkat, Yamtuan Menanam", begitu juga dengan "Undang Mangkat", Undang Menanam" yang bermaksud mengumumkan pengganti Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan sebelum Almarhum disemadikan.Cara pelantikan ini dipakai mengikut Adat Perpatih dari dahulu hingga selama-lamanya.Beliau berkata, kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar telah dimaklumkan kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin oleh Datuk-Datuk Lembaga Yang Empat Luak Ulu Muar iaitu Datuk Paduka Besar, Datuk Seri Maharaja, Datuk Senara Muda dan Datuk Orang Kaya Bongsu."Kemudian Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin akan menziarahi jenazah Almarhum baginda, setelah itu mereka akan mengadakan rundingan secara tertutup bagi memilih bakal Yang Dipertuan Besar Negeri yang baru," katanya.Istiadat pemakaman jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat asar.Tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari sejak semalam.Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 86, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban pada pukul 11.45 pagi semalam. AKTIVITI DIBATAL, DITANGGUHMohamad juga berkata, kerajaan negeri telah menangguhkan dan membatalkan aktiviti keraian termasuk sambutan Maal Hijrah yang dijadual esok untuk berkabung selama 40 hari bermula semalam."Saya meminta masjid dan surau di seluruh Negeri Sembilan supaya membacakan doa dan Surah Yassin supaya roh Almarhum baginda dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh," katanya.Semua institusi kerajaan diwajibkan mengibar bendera negeri separuh tiang untuk berkabung, dan tidak terkecuali juga pihak swasta diminta mengibarkan bendera separuh tiang sepanjang 40 hari berkabung, katanya.Beliau berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat amat terasa kehilangan baginda yang telah bersemayam di atas takhta selama 41 tahun."Saya berasa amat beruntung berada di bawah naungan baginda selama empat tahun berkhidmat sebagai Menteri Besar negeri ini," katanya.Beliau berkata Almarhum merupakan seorang pentadbir yang cemerlang dan pernah menjawat jawatan di dalam kerajaan dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat."Setiap pagi Rabu selepas mesyuarat Exco saya akan menghadap Tuanku dan sama-sama berbincang mengenai pembangunan di Negeri Sembilan dan saya juga mendengar nasihat baginda," kata Mohamad.Bagi rakyat yang ingin menziarahi jenazah Almarhum di Istana Besar Seri Menanti, mereka perlu memakai songkok hitam berlilit putih dan bagi yang bukan Islam pula perlu berpakaian kemas dan sopan.Jenazah Almarhum baginda ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. BERNAMA