suria

Rayuan keputusan habeas corpus lima pemimpin Hindraf ditangguh

PUTRAJAYA: Pendengaran kes rayuan lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus untuk membebaskan mereka dari tahanan ditangguh hari ini selepas peguam utama mereka tidak sihat.

Peguam Ram Karpal Singh telah memohon penangguhan dari Mahkamah Persekutuan dengan menyatakan Karpal Singh, yang sepatutnya membuat hujahan, telah mengalami keracunan makanan sejak semalam.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, bertanya Ram sama ada anak guamnya mengetahui penangguhan kes kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Ram menjawab bahawa pihak pembelaan tidak mempunyai pilihan tetapi memohon penangguhan kerana status kesihatan Karpal Singh.

Ketua Unit Pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang bertindak bagi pihak responden, tidak membantah dengan permohonan itu.

Hakim Malanjum menangguhkan pendengaran kes kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Kelima-lima pemimpin pertubuhan haram itu R. Kengadharan, 41, M. Manoharan, 46, V. Ganabatirau, 34, P.Uthayakumar, 46, dan K. Vasantha Kumar, 34, merayu kepada Mahkamah Persekutuan selepas gagal mendapat perintah pembebasan dari Mahkamah Tinggi dengan mendakwa penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak sah.

Pada 8 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan habeas corpus oleh lima pemimpin itu selepas memerintahkan tiada sebarang pelanggaran mana-mana peruntukan Perlembagaan, Akta dan kaedah seperti didakwa.

Mereka mengemukakan permohonan kedua itu pada 30 Mei lepas selepas gagal dalam permohonan pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Feb lepas.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonan mereka, lima pemimpin itu memberikan alasan bahawa perintah Yang diPertuan Agong untuk meneruskan penahanan mereka pada dan selepas 26 Mac lalu adalah batal dan tidak sah.

Mereka menyatakan bahawa perintah itu dibuat atas syor Lembaga Penasihat ISA yang tidak mematuhi seksyenseksyen 8B(1) Perlembagaan Persekutuan, sekaligus ia cacat kerana tidak mengikut prosedur yang memberikan mereka hak untuk perintah habeas corpus.

Kelima-lima mereka itu ditahan di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping, Perak, 13 Dis tahun lepas kerana dikatakan terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram di ibu negara serta membuat kenyataan berbau hasutan pada 25 Nov tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain