suria

Kedutaan Malaysia di Bangkok buka bilik operasi 24 jam

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Bangkok sudah membuka bilik operasi 24 jam sehari ekoran keadaan yang tidak menentu di ibu negara Thailand itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata orang ramai boleh menelefon (+66) 26296808 atau (+66) 26296800 sambungan 4106 bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung keadaan di negara itu.

Menurutnya Kedutaan Malaysia di Bangkok dimaklumkan oleh Penerbangan Malaysia (MAs) bahawa syarikat penerbangan itu akan menyambung kembali perkhidmatan penerbangan seperti biasa sebaik sahaja Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dibuka kembali.

Sekiranya lapangan terbang itu kekal ditutup untuk tempoh yang dilanjutkan, syarikat penerbangan itu merancang untuk meningkatkan jumlah penerbangan sewa khas bagi membawa semua penumpang (MAS) yang terkandas itu, menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Utapao, di wilayah Chonburi yang terletak kirakira 200 kilometer dari Bangkok.

Maklumat penerbangan adalah seperti berikut: Jumaat, hari ini, penerbangan MH783 berlepas pukul 5.10 petang.

Sabtu (esok) 29 November penerbangan MH785 dijangka berlepas pukul 11.05 pagi, dan MH789 pukul 2.15 petang.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa bagi rakyat Malaysia yang berhadapan dengan kes-kes kecemasan, pihak kedutaan sedang menguruskan penerbangan tentera khas utnuk membawa mereka kembali ke Malaysia dalam tempoh beberapa hari ini.

Sementara itu, AirAsia hari ini menghantar sebuah pesawat ke Bangkok untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas akibat penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi yang diserbu ribuan penunjuk perasaan antikerajaan.

Penerbangan itu berlepas pada 4.25 petang dan tiba di Pangkalan Udara UTapao di Bangkok pada 5.30 petang (waktu Thailand) dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada 6 petang (waktu Thailand), kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Penumpang yang menaiki penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke UTapao dibawa dengan bas ke pusat bandar Bangkok manakala penumpang yang hendak pulang ke Kuala Lumpur juga dibawa dengan bas ke lapangan terbang berkenaan dari sebuah hotel di ibu negara Thailand itu. Di BANGKOK, beribu-ribu penumpang yang terkandas kini berebut-rebut mendapatkan tiket penerbangan, bas dan keretapi seperti goreng pisang panas untuk keluar dari Thailand.

Berikutan pembukaan lapangan terbang Utapao hari ini untuk operasi komersial terhad, ramai menyerbu ke syarikat-syarikat penerbangan yang berjaya mendapatkan slot di lapangan terbang.

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengendalikan satu penerbangan ke Utapao, kira-kira 140km dari Bangkok, dan dua lagi esok tetapi semua tiket telah habis dijual.

Terdapat permintaan besar untuk tiket-tiket keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke India, Eropah dan Amerika Syarikat.

"Tiket kami dari dua penerbangan antara Phuket ke Kuala Lumpur untuk hari ini dan esok telah habis dijual, tetapi kami cuba menambah tempat duduk dengan menyediakan pesawat lebih besar, serta satu lagi penerbangan sewa khas," kata Pengurus MAS Kawasan bagi Thailand, A. Vijakumaran.

Terdapat kumpulan besar pelbagai bangsa cuba membeli tiket di pejabat MAS di ibu negara ini, tetapi Vijakumaran berkata mereka masih cuba mendapatkan slot pada Ahad oleh kerana pihak berkuasa penerbangan Thai menghadapi masalah untuk menampung permintaan yang banyak dari syarikat-syarikat penerbangan berikutan fasiliti yang terhad di Utapao.

Laluan penerbangan Bangkok ditutup sejak Isnin setelah penyokong anti-kerajaan mengambil alih lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang, tetapi Utapao tidak dapat menampung jumlah besar pesawat berlepas dan mendarat.

Terdapat juga permintaan yang besar bagi bas dan van oleh kerana warga asing yang terkandas mencuba segala cara untuk merentas masuk ke Malaysia.

Perjalanan keretapi dari Bangkok ke Pulau Pinang mengambil masa kira-kira 20 jam sementara dengan bas 10 hingga 12 jam ke Hatyai.

Seorang pengendali syarikat pelancongan berkata semua bas dan vannya telah disewakan untuk tiga hari akan datang oleh kerana banyak kumpulan pelancong dari China dan Jepun menggunakannya untuk perjalanan ke Malaysia menerusi Hatyai bagi mendapatkan penerbangan sambungan di Malaysia.

Bas-bas disewakan 35,000 baht bagi setiap trip sementara van hingga 18,000 baht, hampir tiga kali lebih tinggi dari kadar biasa.

Kedutaan Malaysia di Bangkok diserbu warga asing yang memohon visa untuk masuk ke Malaysia.

"Terdapat ramai warga India, Eropah, China dan lain-lain memohon visa. Biasanya masa memproses mengambil masa dua hingga tiga hari tetapi berikutan permintaan dari kedutaan lain, kami mempercepatkan proses itu," kata seorang pegawai.

Antara warga Malaysia yang terkandas ialah 28 kakitangan Biotech Cooperation yang datang kerana menghadiri BioAsia 2008.

Tujuh daripada mereka menaiki van ke Malaysia sementara selebihnya mendapat tiket MAS untuk penerbangan esok. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Bangkok sedang mengatur untuk menyediakan sebuah pesawat tentera khas bagi membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Bangkok berikutan dengan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara ini ditutup sejak Isnin lepas oleh pemprotes anti-kerajaan.

Seorang jurucakap kedutaan berkata mereka yang mampu untuk pulang dengan pesawat komersial dinasihatkan berbuat demikian kerana tempat duduk di pesawat khas ini adalah terhad.

"Bagi penerbangan tentera khas, semua rakyat Malaysia yang memerlukan dinasihati menelefon nombor hotline kedutaan untuk mendapatkan maklumat dan penyelarasan terkini. Kita akan memaklumkan dengan segera mengenai pelepasan pesawat tentera itu," katanya.

Memandangkan keadaan tidak menentu di Bangkok, kedutaan itu telah membuka bilik operasi yang dibuka 24 jam dan nombor yang boleh dihubungi ialah (+66) 2629 6808 atau (+66) 2629 6800 samb. 4106.

Pegawai itu berkata mereka yang ada tiket Malaysia Airlines (MAS) hendaklah menghubungi syarikat itu kerana ia akan beroperasi pada Jumaat, sebuah pesawat dari Kuala Lumpur ke Utapao, berhampiran dengan Pattaya untuk membawa balik beratus-ratus penumpang di Bangkok.

Pengurus Kawasan MAS bagi Thailand, A. Vijayakumaran, berkata dua lagi penerbangan akan beroperasi Sabtu ini, menggunakan pesawat Airbus dengan kapasiti 290 penumpang, berbanding muatan biasa iaitu 144 orang.

Jabatan Penerbangan Awam Thailand bersetuju membenarkan penerbangan ini menggunakan lapangan terbang itu, yang terletak kira-kira 140km dari Bangkok, berikutan dengan penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang di ibu negara ini sejak Isnin lepas oleh pemprotes anti-kerajaan.

Vijayakumaran berkata pesawat MH782 pada Jumaat akan berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 3.15 petang dan tiba di sini pada pukul 16.20 petang (waktu Thai), sementara MH783 akan berlepas pulang pada pukul 5.10 petang dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 8.15 malam.

Pada Sabtu, MAS akan beroperasi dengan dua pesawat, bermula dengan MH784 berlepas pada pukul 9.10 pagi dan tiba di sini pada pukul 10.15 pagi (waktu Thai) dan berlepas pulang dengan MH785 dari Utapao pada pukul 11.10 pagi.

Pesawat kedua (MH788) akan berlepas dari KLIA pada pukul 12.25 tengah hari dan tiba pada pukul 1.30 petang sementara pesawat pulang (MH789) dijadual berlepas pada pukul 2.15 petang (waktu Thai) dan tiba di KLIA pada pukul 5.25 petang.

Untuk pertanyaan, mereka boleh menelefon pejabat MAS di Bangkok (+66) 2263 0572 atau (+66) 2263 0565 sehingga 71 (hunting line), serta Pusat Panggilan 24 jam MAS di 1 300 88 3000 di Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain