ABIM dan Pemuda PAS bantah cadangan hapus DEB - Semasa | mStar

ABIM dan Pemuda PAS bantah cadangan hapus DEB

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta agar tidak terburu-buru mengubah sebarang dasar yang berkait dengan kedudukan ekonomi Bumiputera termasuk menghapuskan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad berkata, dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera merupakan antara instrumen penting Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum di negara ini.

"Indikator lain juga menunjukkan pencapaian ekonomi Bumiputera masih berada di tahap yang rendah berbanding kaum-kaum yang lain.

"Umpananya hanya 15 peratus premis komersial dimiliki oleh Bumiputera berbanding 80 peratus yang dimiliki oleh bukan Bumiputera manakala pendapatan purata Bumiputera sebanyak RM3,156 juga rendah berbanding kaum Cina (RM4,437) dan India (RM3,456)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Yusri berkata, berdasarkan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan yang dibentangkan di Parlimen pada Jun lepas, kerajaan telah menyatakan komitmen untuk mencapai hak milik ekuiti Bumiputera antara 20 dan 25 peratus pada akhir tahun 2010, meningkatkan penyertaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam skim unit amanah serta memperluas pemilikan Bumiputera dalam aset bukan kewangan.

Beliau berkata, kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai mengenai penghapusan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera adalah bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi di negara ini.

"Adalah tidak munasabah dasar pemilikan ekuiti ini dihapuskan secara terburu-buru tanpa mengambil kira kesan menyeluruh tindakan itu terhadap kedudukan ekonomi Bumiputera. Dasar seperti ini tidak wajar diubah semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik sesetengah pihak," katanya.

Beliau menggesa kerajaan agar melakukan kajian secara terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum melaksanakan sebarang dasar yang merubah teras DEB yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub meminta kerajaan mempertahankan hak 30 peratus ekuiti Bumiputera itu walaupun jika ia telah mencukupi 30 peratus.

"DPP Pusat melihat bahawa hak 30 peratus mesti menjadi penanda aras di negara ini kerana jika tidak ekuiti tersebut boleh merosot.

"Kita harus sedar bahawa sebelum 1969, ekuiti orang Melayu hampir tiada, dan setelah 40 tahun ia hanya berjumlah 19 peratus.

"Jika keadaan yang sama terus berlaku, kita masih memerlukan 20 tahun lagi untuk mencapai 30 peratus.

"Sedangkan nilai 19 peratus hari ini pun termasuk danadana awam dan sebagainya. Sekiranya ekuiti orang Melayu meningkat, bermakna ekuiti bangsa lain merosot, dan jika nilai 30 peratus ini tidak diikat, tidak mustahil ekuiti orang Melayu akan merosot semula," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain