suria

Anak saudara Jennifer Hudson juga ditemui mati

[DIKEMAS KINI] CHICAGO: Polis telah menemui mayat anak saudara pelakon filem "Dreamgirls" Jennifer Hudson yang hilang sejak nenek dan bapa saudaranya dibunuh, kata pegawai polis semalam.

"Kita boleh mengesahkan mayat yang terletak di dalam kenderaan tersebut adalah mayat Julian King yang berusia tujuh tahun," Penguasa polis Chicago Jody Weis memberitahu wartawan.

"Hari ini keluarganya dan masyarakat sedang bersedih tetapi kita mahu mereka bertenang dan mengetahui polis dan detektif Chicago akan terus bekerja tanpa henti untuk memastikan keadilan diberikan."

Dalam pada itu, Weis berkata ia adalah terlalu awal untuk meneka motif pembunuhan, katanya polis percaya "ia bukan kes pembunuhan seorang yang tidak dikenali ."

Weis berkata polis belum mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes tersebut tetapi bapa tiri kepada Julian, William Balfour, dianggap "salah seorang yang disyaki".

Balfour, telah disoal siasat pada hari Jumaat lalu, sebelum ini pernah dipenjarakan hampir tujuh tahun disebabkan beberapa kes percubaan membunuh dan memiliki kenderaan yang dicuri. Dia dilepaskan dengan parol pada May 2006.

Kata sumber penguatkuasaan undang-undang berdasarkan kenyataan kakak Jennifer, Julia, Balfour telah menafikan penglibatannya dalam pembunuhan atau kehilangan itu.

Polis percaya abang Jennifer, Jason, 29, telah ditembak menerusi pintu kediaman keluarganya. Penembak kemudian masuk ke dalam rumah dan menembak serta memukul ibunya, Darnell Donerson, 57, setelah dia masuk bilik itu.

Julia menemui mayat-mayat tersebut sekitar sekitar pukul 3 petang (3 pagi waktu Malaysia) pada Jumaat lalu tetapi tidak terdapat tanda-tanda anak lelakinya di sana.

Keluarga Jennifer telah menawarkan ganjaran 100,000 dolar untuk kepulangan Julian dalam keadaan selamat dan meletakkan gambar-gambar Julian di laman webnya dan MySpace.

Kelmarin, Julia Hudson merayu agar anak lelakinya, Julian dikembalikan yang dipercayai dilarikan penjenayah setelah ibu dan abang selebriti popular itu ditemui mati ditembak di rumah mereka di sini.

Dalam esak tangis, Julia yang berdepan dengan pihak media kelmarin di Gereja Baptis, di sini, merayu kepada individu terbabit agar melepaskan anaknya yang berusia tujuh tahun itu.

"Tolong pulangkan anak saya. Hanya itu yang saya minta. Saya tahu, dia berada di luar sana. Apa yang saya harap, tolong lepaskan dia," rayu Julia, seperti yang dilaporkan AFP.

Kanak-kanak malang itu yang turut dipanggil "Juicebox" atau "Dr.King" hilang sejak Jumaat lalu setelah mayat neneknya Darnell Donerson, 57, dan bapa saudaranya, Jason Hudson, 29, ditemui dalam keadaan mengerikan di rumah mereka yang terletak di kawasan perumahan Englewood.

Artikel Lain