suria

Rais Yatim kekal Ketua Umno Jelebu

SEREMBAN: Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Jelebu dengan memperoleh 145 undi apabila keputusan mesyuarat perwakilan bahagian itu diumumkan petang tadi.

Kemenangan ini sekaligus menafikan khabar angin bahawa ahli politik veteran itu dijangka tewas disebabkan kesibukan beliau sebagai Menteri Luar menyebabkan tidak dapat menumpukan sepenuh masa untuk berkempen.

Lawan terdekatnya yang juga merupakan calon popular, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelawang dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat terpaksa berpuashati dengan undi 134, hanya tewas 11 undi sahaja.

Yunus yang tewas terpaksa melepaskan jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Jelebu yang disandangnya.

Naib Ketua Umno Bahagian Jelebu yang dikosongkan Yunus kini dipegang bekas ADUN Klawang Jalaluddin Alias yang berjaya menewaskan lawannya, ADUN Sungai Lui Zainal Abidin Ahmad dengan 152 undi berbanding 128 untuk Zainal.

Bahagian itu juga mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk jawatan Presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presidennya.

Rais, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal turut mendapat pencalonan sebagai Naib Presiden daripada bahagian itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain