suria

Kes intip Nasha Penyelia dipenjara selepas gagal dalam rayuan terakhir Nasha lega

PUTRAJAYA: Penyelia dan pengurus selenggara Ahmad Bakhtiar Abdul Kayoom dihantar ke Penjara Kajang hari ini untuk menjalani hukuman penjara enam bulan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengenepikan sabitan menceroboh dan memasang kamera litar tertutup dalam apartmen sewaan peragawati terkenal Nasha Aziz enam tahun lepas.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 2004 terhadap Ahmad Bakhtiar.

Beliau memerintahkan Ahmad Bakhtiar menjalani hukuman itu mulai hari ini. Ahmad Bakhtiar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di mahkamah lebih tinggi dan penangguhan hukumannya yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret.

Zaki berkata tidak berlaku pelanggaran undang-undang walaupun Majistret Ida Hanani Abdul Karim terus mendengar perbicaraan itu selepas beliau dipindahkan ke Pejabat Peguam Negara sebagai Peguam Persekutuan di bahagian pendrafan.

"Ahmad Bakhtiar telah menceroboh hak peribadi orang, beliau (Nasha) adalah aktres terkenal, letakkan diri anda dalam keadaannya, semasa sedang mandi, adakah anda suka," kata Zaki.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama-sama Zaki ialah dua hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk James Foong Cheng Yuen dan Datuk K.N.Segara.

Ida Hanani mendapati Ahmad Bakhtiar, 31, bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh masuk ke dalam apartmen Nasha yang nama sebenarnya ialah Noraisha A.Aziz, di Shahzan Court di Jalan Nipah off Jalan Ampang dan menceroboh hak peribadinya dengan memasang kamera litar tertutup antara April dan Julai pada 2002.

Ahmad Bakhtiar dihukum penjara enam bulan bagi setiap kesalahan. Bagaimanapun, Majistret Ida Hanani memerintahkannya menjalani hukuman itu serentak.

Usahanya untuk mengenepikan sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Tinggi juga tidak berjaya.

Terdahulu, peguam yang mewakilinya, Jagjit Singh membangkitkan perkara berkaitan undang-undang dengan mempersoalkan kesahihan majistret terus mendengar perbicaraan itu selepas dipindahkan ke pejabat peguam negara.

Sebagai alternatif, Jagjit menggesa mahkamah merujukkan semula kes itu ke Mahkamah majistret bagi perbicaraan semula jika Mahkamah Rayuan tidak membenarkan rayuan anak guamnya untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin berkata fakta yang majistret terus mendengar perbicaraan itu selepas dipindahkan ke Pejabat Peguam Negara tidak menimbulkan prejudis terhadap Ahmad Bakhtiar kerana beliau bukan dipindahkan ke pejabat itu sebagai timbalan pendakwa raya dan tidak mempunyai akses terhadap kertas penyiasatan kes itu.

Katanya Ida Hanani dipindahkan sebagai Peguam Persekutuan di bahagian pendrafan dan ketua pendaftar telah memberikan kebenaran kepada Ida Hanani untuk terus mendengar perbicaraan kes itu.

Noorin berkata pendawaian kamera itu ditemui dipasang melalui apartmen Nasha ke sebuah lagi unit apartmen dalam blok itu yang dijadikan sebagai pejabat selenggaraan oleh Ahmad Bakhtiar. (Seluruh blok apartmen itu milik bapa Ahmad Bakhtiar).

"Beliau seorang yang terkenal, seorang aktres dan peragawati dan bagaimana kejadian ini menjejaskan dirinya. Ia merupakan sesuatu yang tidak harus didedahkan kepada umum. Menceroboh hak peribadi dan maruah seseorang merupakan kesalahan yang serius," katanya.

Sementara itu, Nasha yang dihubungi sebentar tadi melahirkan rasa bersyukur setelah kes yang berlarutan sehingga enam tahun itu berakhir dengan keputusan yang dianggapnya adil.

"Alhamdulillah, berita ini memang cukup menggembirakan saya hari ini. Memang sejak awal lagi, saya tahu saya boleh menang kes ini kerana bukti-buktinya amat lengkap.

"Walaupun hukuman yang diterimanya (Ahmad Bakhtiar) tidak setimpal dengan penderitaan yang saya lalui selama enam tahun ini, tetapi saya terima keputusan mahkamah dengan hati yang terbuka. Tidak perlu dipertikaikan. Saya anggap ini hanya hukuman dunia, belum lagi di akhirat kelak.

"Tetapi, apa yang saya mahu iaitu agar dia menerima hukuman, sudah tercapai. Saya ingin berterima kasih kepada Inspektor Azmi yang banyak membantu saya menguruskan kes ini sejak awal dulu," kata Nasha.

Menurut pelakon berusia 37 tahun itu lagi, selama tempoh proses kes itu berlangsung, dia tidak nafikan agak tertekan, tambahan pula beberapa tahun lalu dirinya pernah diugut agar menarik semula kes tersebut.

"Macam-macam yang saya lalui dalam tempoh tersebut. Tetapi kerana memang dari awal lagi saya nekad untuk melihat dia dihukum, jadi saya terus kuatkan semangat.

"Ini melibatkan maruah saya. Sehingga saya ada anak cucu pun nanti, pastinya mereka akan ketahui juga kerana ia sudah tercatat di dalam sejarah hidup saya.

"Malah, saya akui sehingga hari ini sebenarnya saya masih trauma ekoran kes ini. Di mana-mana saya berada saya sentiasa takut dan sering berhati-hati. Mungkin dengan kes saya ini, masyarakat di luar sana boleh ambil iktibar dan sentiasa berwaspada," ujar pelakon dan model jelita ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain