suria

Pendandan, 3 juvana dituduh kes bunuh, culik pelajar 16 tahun

JOHOR BHARU: Seorang pendandan rambut bersama tiga remaja lelaki bawah umur hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Johor Baharu atas tuduhan membunuh dan menculik seorang remaja perempuan, Lai Ying Xin, 16, dua minggu lepas.

Teh Kim Hong, 22, dan tiga juvana yang berumur antara 16 dan 17 tahun itu, didakwa bersama-sama membunuh Lai di Lot 2841, Jalan Alor, Bukit Kulai, Kulaijaya antara 9.45 malam dan 12 tengah malam, 11 dan 12 September lalu.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersama-sama menculik Lai di hadapan Hypermarket, Jalan Kulai-Ayer Hitam, Kulaijaya, kira-kira 9.45 malam, 11 September dengan niat untuk mendapatkan tebusan sejumlah RM60,000.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, penjara atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh mengangguk kepala memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Majistret Nor Shahid Abdul Malek menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula kes itu.

Menurut laporan media sebelum ini, sekumpulan remaja menculik Lai, membunuh mangsa dan membakar mayatnya di Kulai Jaya pada 12 September lalu.

Penculik berkenaan kemudian menuntut wang tebusan RM33,000 daripada keluarga Lai bagi "membebaskan" pelajar itu.

Keluarga itu membayar tebusan itu - tidak sedar yang mayat mangsa yang sudah mulai reput telah dibuang di kawasan semak di Taman Putri.

Difahamkan mayat Lai dibakar bagi tujuan memusnahkan sebarang petunjuk yang mungkin dapat mengenal pasti pembunuhnya yang memang dikenali oleh keluarga mangsa.

Polis percaya pelajar itu dibunuh dalam tempoh 24 jam selepas dia diculik di depan sebuah pasar raya, tempat dia bekerja sambilan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain