suria

Zaid Ibrahim: Saya masih mahu jadi senator

KUALA LUMPUR: Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Isnin mahu mengekalkan jawatan Senator untuk terus memperjuangkan kepada perubahan undangundang di negara ini.

Beliau yang sebelum ini menjaga hal ehwal berkaitan perundangan akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya dalam bidang perundangan untuk membawa perubahan kepada sistem kehakiman negara.

"Saya yakin perdana menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mahu saya meneruskan tugas sebagai Senator untuk memperkenalkan perubahan dalam perundangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kaukus Parlimen yang baru ditubuhkan Pakatan Rakyat (PR) untuk membantu membebaskan Anggota Parlimen (MP) Seputeh, Teresa Kok yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Jumaat lepas, di sini hari ini.

Semua MP PR menghadiri mesyuarat tersebut. Zaid meletak jawatan setelah kecewa dengan pelaksanaan ISA terhadap tiga individu termasuk Teresa, penulis laman blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Tan kemudian dibebaskan pada Sabtu.

Dengan menyertai majlis tersebut, Zaid bagaimanapun menafikan kemungkinan beliau akan menyertai PR.

"Saya hanya menyertai mesyuarat untuk menyokong pembentukan Kaukus Parlimen untuk membantu membebaskan YB Teresa daripada ISA.

"Pendirian saya berhubung ISA ialah ia perlu digunakan untuk kepada orang yang mahu mengguling kerajaan dengan kekerasan dan bukan sebaliknya," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata penubuhan kaukus tersebut bertujuan untuk membebaskan Teresa dan menghapuskan ISA.

Katanya PR mungkin meminta bantuan Jawatankuasa Parlimen Komanwel untuk membebaskan Teresa sekiranya perlu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain