suria

Istiadat Penghormatan Tertinggi Tentera Buktikan Komitmen Kerajaan

Anggota tentera mengusung keranda jenazah pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Peswat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah mangsa nahas MH17 itu mendarat di KLIA pada pukul 9.54 pagi ini selepas 12 jam perjalanan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam. Sejumlah 43 warga Malaysia terbunuh apabila MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai. - Foto AZHAR MAHFOF/THESTAR.
KUALA LUMPUR: Sambutan kepulangan 20 jenazah mangsa MH17 yang diselubungi suasana muram di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini bukan sekadar menyaksikan perkongsian rasa sayu rakyat Malaysia malah memperlihatkan kebijaksanaan negara ini menangani isu itu. 

Perjalanan pulang itu pastinya akan menjadi lebih panjang jika tidak kerana langkah bijak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenepikan protokol diplomatik dan terbabit secara langsung berunding dengan puak-puak yang bertelagah di Ukraine di belakang tabir. 

Selepas pesawat malang syarikat penerbangan Malaysia itu terhempas di Donestk pada 17 Julai lepas, dunia menyaksikan betapa sukarnya untuk menyelesaikan isu itu kerana tiada akses ke lokasi kemalangan di wilayah Donetsk yang adalah zon perang. 

Ketika Amerika Syarikat dan Eropah menuding jari kepada Rusia, Malaysia bertindak mencari jalan untuk memasuki lokasi kemalangan dan mendapatkan jenazah dan mayat serta mengumpul bukti berkaitan tragedi itu. 

Tindakan utama Perdana Menteri ialah berbincang dengan pemimpin pemisah yang menguasai kawasan tragedi, Alexander Borodai, yang akhirnya membuka jalan bagi pasukan Malaysia dan antarabangsa memasuki Donetsk. 

Perjanjian dengan Borodai juga membolehkan Malaysia mendapatkan perakam suara kokpit dan perakam data yang pada mulanya dibimbangi akan jatuh ke tangan yang salah. 

Namun, di sebalik usaha bersungguh-sungguh itu, ia tetap perjalanan panjang dengan kerajaan Malaysia berkongsi kesedihan bersama keluarga mangsa dan rakyat.

Pesawat malang itu ditembak jatuh di timur Ukraine semasa dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam dengan semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh. Kebanyakan penumpang adalah dari Belanda iaitu seramai 193 orang manakala rakyat Malaysia seramai 43 orang termasuk 15 anak kapal. 

Komitmen Kerajaan Malaysia

Malaysia dilihat melakukan tindakan bijak mengurus krisis itu termasuk berunding dengan Borodai yang mana Amerika Syarikat dan Eropah tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan pemimpin itu. 

Pujian patut dihulurkan kepada Najib dan para menteri serta pegawai yang sejak dari mula lagi bertungkus lumus menyelesaikan perkara itu dengan rakyat dan keluarga mangsa turut menyokong usaha berkenaan. 

Najib, yang mengakui kurang tidur sejak tragedi itu, turut memberi tanggungjawab kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk membantu mempercepatkan usaha mendapatkan semula mayat dan penyiasatan kemalangan. 

Dengan kesungguhnan itu, kesemua jenazah dibawa ke Belanda dan kerajaan Malaysia meneruskan komitmennya dengan membantu untuk mempercepatkan proses pengecaman apabila menghantar pakar forensik sebelum jenazah dibawa pulang. 

The Wall Street Journal menyatakan dalam artikelnya "While European governments wrestled with how to get to the site without legitimizing the rebels or risking security, Najib put aside diplomatic protocol and safety fears and sent his team" membuktikan media asing juga mengiktiraf keupayaan Perdana Menteri. 

Jurnal itu menyatakan bahawa Najib telah mengambil risiko yang tidak dilakukan pemimpin Eropah menyebabkan masyarakat antarabangsa mengagumi beliau dalam pengendalian tragedi MH17. 

Terharu Kebijaksanaan Najib

Presiden Pertubuhan Pemikir Muda Malaysia (PPMM), Mohd Rafiq Naizamohideen terharu dengan kebijaksanaan Najib mengendalikan isu itu ibarat "menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak camuk." 

Sebelum ini ada yang melihat Malaysia di bawah pimpinan Najib seolah-olah lemah dan tidak berupaya bertindak pantas sehingga ada yang beranggapan penyudah isu itu adalah satu penantian yang panjang. 

Mohd Rafiq, yang juga anggota Exco Pergerakan pemuda Umno Malaysia, berharap perkembangan terbaru itu dapat meredakan keresahan rakyat terutama waris-waris mangsa. 
 
"Perdana Menteri berbincang secara diplomasi dengan pihak yang menguasai wilayah tempat tragedi itu walaupun tertekan dengan situasi yang getir", katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata, mungkin rakyat Malaysia tidak melihat tindakan di belakang tabir Najib sehingga menghasilkan keputusan itu namun hakikatnya, Perdana Menteri tidak bersikap lepas tangan. 

Pastinya waris-waris mangsa merasa lega apabila akhirnya mayat warganegara ini dapat dibawa pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat setelah selesai semua kerja forensik. 

Kotak hitam yang sebelum ini dibimbangi jatuh kepada pihak lain dapat diserah kepada Malaysia manakala para penyiasat bebas antarabangsa juga diberi jaminan keselamatan masuk ke lokasi nahas. 

Najib Bekerja Keras Selesaikan Masalah

Pengerusi Persatuan Wanita Siam Kedah/Perlis, Datuk Siw Chun a/p Eam pula menolak dakwaan pihak tertentu bahawa Najib tidak berupaya menangani isu itu kerana dilihat bersikap lembut. 

Beliau yang sentiasa mengikuti perkembangan itu percaya walau apapun tanggapan negatif terhadap Perdana Menteri, beliau tetap percaya Najib sentiasa bekerja keras. 
 
"Dia (Najib) melakukan tindakan terpuji. Bukan semua orang boleh melakukannya. Jangan anggap dia tidak buat apa-apa", kata Siw Chun yang juga bekas anggota dewan negara kepada Bernama. Kejayaan rundingan itu, menurut beliau menggambarkan bahawa Malaysia adalah negara yang dihormati dunia dan bersikap baik dengan negara lain. 

Dunia Menghormati Malaysia

Bagi seorang peniaga kecil, N. Sundaraj, 47, berkata, pencapaian rundingan itu bukan sahaja kerana keupayaan Perdana Menteri tetapi dunia menghormati Malaysia. 
 
"Walaupun negara ini kecil tapi pemimpinnya bijak", kata peniaga daripada Petaling Jaya itu. Ini disokong oleh seorang lagi peniaga, Chong Lye Teng (lelaki), 32, dari Bangsar yang menyifatkan kali ini Malaysia mendahului kuasa besar dalam menangani isu berkenaan. 

Tragedi MH17, yang kedua selepas tragedi MH370, adalah dua dugaan yang terpaksa dilalui oleh Malaysia dan banyak menuntut ketabahan emosi rakyat dan menguji keupayaan para pemimpin negara ini. 

Hari ini adalah hari berkabung negara bagi mangsa MH17. Dan bagi saudara mara kepada 20 mangsa MH17 yang tiba pagi ini ia sekurang-kurangnya dapat melegakan sedikit perasaan bagi satu penantian yang panjang sebelum ini. 

Namun bagi Najib dan kerajaan, usaha akan tetap diteruskan bagi mencari sebab pesawat itu ditembak jatuh dan menuntut keadilan bagi semua mangsa MH17 yang tidak berdosa itu.

MH17, MAS, Najib

Artikel Berikut

Nafas Baru JB

Artikel Lain