suria

Masa Untuk Merenung

Zaid Ibrahim. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR
Zaid Ibrahim. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR
Zaid Ibrahim. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR

UNTUK membuka laluan kepada politik moderat, prinsip-prinsip yang menjadi asas penubuhan negara ini perlu didukung.

Pada 16 September, genap 50 tahun usia negara ini. Inilah masa yang baik untuk merenung kembali peristiwa yang telah terjadi. Lebih penting lagi, inilah masa untuk kita cuba membayangkan masa depan yang menanti anak-cucu kita dan generasi masa depan.

Selama ini, kita melihat di kalangan pemimpin yang pernah memegang kuasa, ada yang tinggi pencapaiannya dan ada pula yang sederhana, ada yang boleh kita banggakan dan ada pula yang telah memudaratkan negara ini.

Kita juga telah menyaksikan perubahan dasar-dasar utama yang sebahagiannya menghasilkan kemakmuran dan keamanan, manakala sebahagian lagi menyemai benih perpecahan dan kebencian.

Singkatnya, telah 50 tahun kita mengharung perkembangan politik dan ekonomi di negara yang aman ini dan semuanya dapat dikembangkan lebih jauh jika semua kita memainkan peranan masing-masing.

Saya tidak akan memberitahu pembaca perkara-perkara apa yang penting untuk anda renungkan, perkara apa yang perlu anda perjuangkan dan siapa yang perlu anda sokong. Saya malah tidak akan cuba menyenaraikan isu-isu penting bagi negara ini, kerana saya percaya anda cukup maklum tentang semuanya. Saya hanya akan cuba mengemukakan sudut pandang saya sendiri.

Ciri-Ciri Sebuah Negara.

Perkara paling berharga bagi saya tentang negara ini adalah cirinya. Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara demokrasi yang bebas, adil, terbuka dan ditadbir menurut undang-undang. Demokrasi bukan hanya bermakna kebebasan untuk memilih pemimpin-pemimpin. Yang kita pilih pula perlu membalas kepercayaan kita dengan mengiktiraf hak dan kebebasan warga Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara ini.

Malaysia juga mesti kekal sebagai sebuah ekonomi yang mesra perniagaan; di mana kerajaannya tidak membenarkan hanya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memiliki aset berharga, sebaliknya menggalakkan individu untuk berusaha meraih kemakmuran; di mana kerja keras, keberanian mengambil risiko dan daya cipta diberikan ganjaran.

Demokrasi sebenar tidak cuma bermakna pemerintahan oleh majoriti, tetapi pemerintahan oleh setiap orang tanpa mengira kaum, agama, atau kepercayaan, yang semuanya perlu dilindungi dan diberikan perhatian secara saksama. Semua negara yang aman dan makmur dalam dunia moden memiliki ciri-ciri ini.

Hari ini, kita melihat para pendukung teokrasi menyusup ke dalam sistem politik. Tidak pernah terjadi sebelum ini dasar-dasar awam tertakluk pada pengesahan ulama. Trend ini perlu kita cegah.

Nilai-nilai yang membentuk asas negara ini biasanya adalah nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua kelompok. Perkara ini mesti dikekalkan sebagai asas bagi pembentukan dasar awam.

Semua rakyat Malaysia perlu berani untuk bersuara dan mempertahankan nilai-nilai yang mereka yakini dan hargai. Tiada siapa akan memberi hak dan kebebasan kepada kita begitu saja, kedua-duanya perlu kita perjuangkan. Tiada yang percuma.

Di kalangan kita ada sekelompok manusia yang begitu berkuasa sehingga mereka mampu mempengaruhi dasar negara. Kerana itu, penting untuk kita sebagai warga biasa menyuarakan pendirian, agar negara ini dapat berkembang maju dalam keadaan aman.

Kita tidak harus membiarkan mereka “membuli” kita, misalnya dengan membawa masuk warga asing untuk “menyeimbangkan keadaan” seperti yang dapat kita lihat menerusi siasatan awam berkenaan Sabah.

Kelompok berkuasa ini memberi gambaran palsu bahawa negara ini dan bumiputera sedang terancam, dengan itu apa jua cara boleh digunakan untuk menanggapi ‘masalah’ tersebut. Pendekatan ini telah membolehkan kelompok berkenaan meraih manfaat ekonomi yang lumayan untuk kepentingan mereka sendiri sehingga mengorbankan pihak lain.

Tiada negara merdeka yang mencipta budaya ketakutan sebegini atau memburuk-burukkan warganya sendiri secara terang-terangan seperti yang telah kita lakukan.

Tiada negara yang mengukuhkan diskriminasi – dalam soal kaum dan keagamaan – segigih kita. Keadaan bahkan boleh menjadi lebih parah. Maka, kita perlu berjuang.

Satu-satunya jalan keluar untuk kita sekarang ialah dengan bersatu melawan arus ini. Kita perlu bersama-sama mendukung dengan yakin prinsip-prinsip yang menjadi asas penubuhan negara ini. Ini adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi kita sebagai warga Malaysia yang waras dan ingin membuka peluang kepada dasar-dasar yang moderat untuk membawa kejayaan buat negara ini.

Demokrat.

Seperti banyak orang lain, telah bertahun saya bersikap kritis terhadap perdana menteri. Harapan saya agar beliau menunjukkan ketegasan dan keberanian yang mencukupi untuk melepaskan negara ini daripada bebanan masa lalu. Saya juga berharap beliau akan memperbaharui kepercayaan-kepercayaan teras Umno dan menjunjung nilai-nilai baik yang terdapat pada para pemimpin parti itu yang terdahulu. Nampaknya beliau sedang berusaha sedaya-upayanya dan kita patut memberikan sokongan kepada beliau.

Jika direnung-renungkan, mudah untuk kita mengkritik pihak lain ketika kita tidak duduk di kerusi panas mereka. Perdana Menteri sekarang adalah seorang pembaharu yang perlu berhati-hati dalam melangkah agar tidak menjadi seorang lagi mangsa partinya sendiri.

Beliau turut meyakini sebahagian besar perkara yang kita percaya perlu dilakukan untuk membolehkan negara ini melangkah maju, namun sukar untuk melaksanakan dasar-dasar yang baik apabila ada kekuatan lain yang juga ampuh yang sedang berusaha untuk memperlahankan langkah beliau atau malah menyebabkan beliau tergelincir.

Saya percaya, beliau sebenarnya adalah seorang pemimpin yang terbuka dan demokrat walaupun secara luaran beliau seperti seolah-olah menolak kepelbagaian. Beliau tidak akan mengheret kita ke dalam perpecahan kaum atau menggalakkan politik perkauman.

Beliau tidak akan mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing untuk memenangi pilihan raya. Beliau seorang pemimpin moderat, dan hakikat ini jarang terdapat pada pemimpin Melayu yang masih berkuasa dalam Umno. Rancangan ekonomi beliau patut disokong walaupun pasti akan timbul masalah besar dalam penerapannya di masa mendatang.

Pelan Pembangunan Pendidikan yang diperkenalkan oleh kerajaan beliau bersifat komprehensif. Walaupun hasilnya belum dapat diketahui, beliau telah mengenal pasti masalah sistem pendidikan yang lemah. Ini adalah langkah jauh ke depan setelah bertahun-tahun permasalahan ini diabaikan.

Beliau juga telah memansuhkan beberapa undang-undang yang mengekang. Ini adalah bukti komitmennya terhadap hak asasi manusia. Beliau malah telah cuba untuk menubuhkan Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang di bawah Model Ekonomi Baru, namun rancangan ini terpaksa ditunda. Beliau terpaksa meniti laluan berduri sepanjang masa, hanya orang yang berada dalam Umno yang boleh memahami kesukaran yang dihadapinya.

Saya percaya rakyat Malaysia, terutamanya kaum Cina, perlu menunjukkan keyakinan mereka terhadap perdana menteri jika kita mahu membantu beliau melaksanakan kerjanya dengan lebih berkesan. Adakalanya kita merasa tidak pasti sama ada beliau akan menunjukkan sikap lebih tegas jika kita memberikannya sokongan tidak berbelah bagi, namun kita harus sedar bahawa jika beliau seorang ekstremis nescaya beliau tidak akan mencuba gagasan 1Malaysia.

Sebaliknya, beliau tentu bulat-bulat menerima Perkasa dan segala idea mereka yang cauvinistik dan eksklusif.

Tidak berlebihan jika kita mahu melihat beliau menjauhkan diri daripada segala-gala yang negatif dalam partinya sendiri dan mengambil tindakan untuk menangani ketua-ketua jabatan beliau dan penasihat-penasihat di media tertentu. Kita harap beliau akan lebih bertegas dengan mereka.

> Zaid Ibrahim adalah bekas ahli parlimen Kota Bahru dan aktivis politik. Pandangan yang diutarakan di sini adalah miliknya sendiri semata-mata.

Artikel Sebelum

Oh! Kita Yang Mudah Terpedaya

Artikel Berikut

Artikel Lain