suria

Fatwa: Tradisi Keilmuan Islam Membenarkan Perselisihan Pendapat Bukan Hukuman

Zainah Anwar
Zainah Anwar
Zainah Anwar

SAYA tertanya-tanya berapa ramai orang Malaysia yang sebenarnya tahu bahawa menurut akta Kesalahan Jenayah Syariah negara ini, adalah satu kesalahan jenayah jika seseorang Muslim melanggar, mengengkari, membantah, memberi pandangan, atau menyebarkan sebarang pendapat berkaitan ajaran Islam, undang-undang Islam atau sebarang isu yang berlawanan dengan apa-apa fatwa yang sedang dipakai.

Berapa ramai pula yang tahu bahawa negara kita adalah satu-satunya negara di dunia yang telah meletakkan pendapat ulama sebagai undang-undang negara tanpa terlebih dahulu menempuh proses perundangan dan setelah itu menetapkan sebagai satu kesalahan bagi sesiapa yang mencabar pendapat tersebut.

Pihak yang terbabit merangka undang-undang sebegini di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seolah-olah tidak menyedari bahawa ia adalah satu pencabulan terang-terangan ke atas hak-hak kebebasan asasi yang telah dijamin oleh perlembagaan, selain tidak mempunyai asas dalam sejarah perundangan Islam.

Pada tahun 1997 lagi, Sisters in Islam telah menghantar kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, memorandum berkenaan akta Kesalahan Jenayah Syariah di peringkat persekutuan dan negeri.

Kami mengingatkan bahawa dalam pemikiran perundangan Islam, fatwa diterima sebagai pendapat berbentuk nasihat yang tidak mengikat dari segi perundangan; jika mencabar fatwa dianggap sebagai jenayah, bererti kita mengangkat pendapat seseorang Mufti ke taraf yang sama dengan kalam Tuhan; bahawa kuasa untuk membuat undang-undang di Malaysia berada di tangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, bukan jawatankuasa fatwa; bahawa hak untuk mengekang kebebasan asasi berada di tangan Parlimen semata-mata, bererti sebarang peruntukan undang-undang yang dibuat untuk menghukum perbuatan tidak bermaruah adalah pelanggaran ke atas kuasa persekutuan dan bertentangan dengan perlembagaan.

Beliau telah mengarahkan supaya undang-undang terbabit digantung dan mengarahkan pejabat Peguam Negara untuk mengadakan kajian menyeluruh.

Perkara ini berlaku setelah orang ramai membantah penangkapan dan pendakwaan terhadap tiga orang pemudi yang melanggar fatwa dengan mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite.

Kejadian tersebut menarik perhatian orang ramai terhadap kewujudan peruntukan undang-undang drakonian dalam akta Kesalahan Jenayah Syariah.

Namun khabar tentang penelitian semula ke atas undang-undang berkenaan tidak lagi terdengar sebaik saja ribut tentang kejadian tersebut reda.

Maka, undang-undang itu pun kekal sebagai undang-undang. Setiap kali ada peluang, undang-undang itu digunakan untuk mengancam dan menggertak pihak yang berani mengemukakan pandangan yang berlainan daripada pandangan pihak berkuasa agama. Perkara ini amat menghairankan kerana ia terjadi di Malaysia yang ditonjolkan sebagai sebuah negara Muslim moderat.

Pada tahun 2005, ketika sekali lagi orang ramai bersuara berikutan penangkapan 100 orang pemuda-pemudi Muslim di pusat hiburan Zouk, Sisters in Islam menyerahkan satu lagi memorandum kepada kerajaan, meminta agar semakan semula secara menyeluruh dan pemansuhan dibuat ke atas akta Kesalahan Jenayah Syariah. Kali ini, SIS menyertakan kajian oleh dua orang pakar perundangan yang telah mengkaji undang-undang tersebut dari sudut pandang perlembagaan dan fekah.

Apa lagi yang perlu dibuat untuk menyedarkan kerajaan bahawa keimanan tidak terbentuk dengan cara memaksa orang untuk mempercayai sesuatu yang tidak mereka percayai. Kerana itulah setiap kali sesuatu fatwa yang tidak dapat diterima oleh orang ramai dikeluarkan atau sesuatu undang-undang dikuatkuasakan dalam keadaan ia mencabul kebebasan asasi warganegara, orang ramai membantah.

Ketika itu, pihak berkuasa agama merasa terhina dan bingung mengapa begitu banyak rakyat Malaysia, termasuk penganut agama Islam sendiri, berani mencabar pandangan mereka dan berselisih pendapat dengan saudara mereka yang seagama.

Rakan-rakan dan sarjana yang saya kenal di dunia Arab terperanjat melihat bagaimana sebuah negara moden seperti Malaysia boleh begitu tertutup mindanya dalam soal Islam.

Setiap orang yang saya temui tahu bahawa fatwa adalah pendapat berbentuk nasihat yang berperanan memimpin Muslim untuk menjalani kehidupan menurut Islam.

Fatwa adalah hujah-hujah keagamaan dan perundangan yang diberikan dalam bentuk soal-jawab. Kalau fatwa boleh dianggap mengikat sekali pun, ia hanya mengikat si penanya, bukan semua orang dan sudah tentu perbuatan melanggar fatwa tidak boleh dianggap sebagai jenayah.

Malah, jika anda tidak menyukai sesuatu fatwa yang diberikan oleh seseorang ulama, anda boleh bertanya kepada ulama lain dan terpulang kepada anda untuk memutuskan fatwa mana yang hendak dipegang. Semua orang faham bahawa akhirnya setiap orang akan bertanggungjawab di hadapan Tuhan secara peribadi. Wallahu a’lam – hanya Tuhan yang lebih mengetahui.

Negara tidak berhak memaksa anda untuk meyakini atau mematuhi sesuatu fatwa dan melempar anda ke penjara atau mendenda anda kerana tidak mematuhi pendapat seseorang di kalangan pihak berkuasa agama. Media pula tidak sepatutnya mensensasikan dan menghasut orang ramai untuk membenci seseorang yang tidak mematuhi fatwa.

Namun, sesetengah pihak di Malaysia menganggap tradisi Islam yang telah membolehkan agama ini berkembang subur sejak ratusan tahun lalu dalam semua latar sosial dan kebudayaan sebagai suatu tradisi yang asing. Ada ratusan fatwa disenaraikan dalam portal e-fatwa JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri berkenaan pelbagai isu, daripada soal harus atau tidak seseorang mewarnakan rambut yang telah beruban (difatwakan harus cuma untuk tujuan berjihad atau untuk wanita yang hendak menggembirakan suaminya), sampai kepada soal penggunaan dakwat kekal di jari pengundi (difatwakan harus). Sebahagiannya diwartakan, tetapi sebahagian besar tidak.

Sebagai contoh, banyak negeri telah mengeluarkan fatwa mengharamkan rokok; Selangor dan Pulau Pinang mewartakan fatwa ini, manakala negeri lain tidak. Selangor, Pahang, dan Pulau Pinang telah memfatwakan Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) sebagai haram, tetapi Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskannya sebagai harus. Beberapa negeri selain tiga negeri tersebut mengikuti keputusan Majlis

Fatwa Kebangsaan mengharuskan skim-skim tersebut. Jadi, siapa benar dan siapa silap? Semua fatwa dipertahankan atas nama Islam. Apabila ada begitu banyak fatwa tentang isu yang sama, sebahagiannya menghukum haram, sebahagian yang lain harus, sebahagian diwartakan, sebahagian tidak, sebahagian negeri mempunyai fatwa tentang sesuatu perkara, sebahagian negeri lain pula tidak mempunyai fatwa tentang perkara yang sama, maka yang mana satu sebenarnya pandangan yang “Islamik”?

Ini tidak menjadi masalah jika Malaysia mengambil pendekatan seperti negara-negara Muslim lain yang menyerahkan kepada budi-bicara individu untuk memutuskan pendapat mana dan aliran mana yang hendak dipatuhinya dan membiarkan Tuhan yang memutuskan di akhirat nanti sama ada individu terbabit berdosa kerana mengengkari sesuatu fatwa atau tidak.

Apabila negara cuba memainkan peranan Tuhan, kita akan terjebak dalam kekeliruan seperti yang terjadi sekarang. Orang ramai akan mempersoalkan atas asas apakah sesetengah negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa sedangkan negeri lain tidak? Atas asas apa tindakan diambil terhadap pihak yang melanggar fatwa? Beribu-ribu Muslim di Selangor dan Pulau Pinang melanggar fatwa tentang merokok setiap hari, tetapi tiada siapa pernah dituduh menghina Islam atau dituduh melanggar fatwa. Kenapa tidak?

Tetapi, apabila ada saja wanita mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik, mereka segera diburuk-burukkan dan dikecam bertubi-tubi.

Bagaimana pula dengan lelaki Melayu yang mengambil bahagian dalam pertandingan bina badan? Mereka juga mendedahkan aurat dalam pertandingan yang menonjolkan kecantikan tubuh badan lelaki. Dari segi berat kesalahan, orang ramai tertanya-tanya mengapa ahli-ahli politik serta pegawai-pegawai kerajaan yang rasuah atau ribuan bapa yang gagal menanggung biaya penjagaan anak mereka tidak dikecam dan dijadikan sasaran kebencian.

Mengapa mereka tidak dituduh menghina Islam? Pendakwaan secara terpilih serta kemunafikan sebeginilah yang mengundang kemarahan orang ramai.

Ada sebab yang baik fatwa tidak pernah dikuatkuasakan sebagai undang-undang dalam sejarah Islam, iaitu kerana dengan menjadikannya undang-undang kita menyamakan pendapat ulama dengan firman Tuhan.

Salah satu sebab mengapa doktrin “duluan yang mengikat” tidak berkembang dalam tradisi perundangan Islam ialah kerana Muslim percaya bahawa pendapat seorang mujtahid tidak boleh dianggap sebagai pemutus dalam memahami mesej Quran yang tidak terhingga.

Seseorang ahli hukum Islam hanya mampu memberikan pendapat berasaskan pemahamannya ke atas teks. Dalam konteks penggubalan undang-undang dalam negara yang mengamalkan demokrasi, perbezaan pendapat ini boleh dibahaskan di ruang awam dan badan penggubalan undang-undang setelah itu akan memutuskan pendapat mana yang hendak dijadikan undang-undang bagi memelihara sebaik-baiknya kepentingan masyarakat.

Undang-undang awam perlu dibahaskan secara terbuka dan menjawab pertanyaan orang ramai. Sebaliknya, di Malaysia, tindakan melanggar fatwa disamakan dengan tindakan menghina Tuhan dan menghina Islam.

Benar, pihak berkuasa agama negeri boleh menganggap tindakan melanggar fatwa sebagai penghinaan terhadap pendapatnya tentang Islam; tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai jenayah, dan ia juga tidak boleh menyamakan pendapatnya dengan Tuhan kerana itu adalah syirik.

Jika benar tradisi Islam menganggap perbuatan berbeza pendapat adalah satu jenayah, mengapa ada begitu banyak mazhab akidah dan fekah dalam sejarah Islam? Dalam kitab-kitab fekah Islam yang dikarang oleh ulama-ulama Islam terdahulu, tiada siapa pernah dituduh menghina Islam ketika berselisih pendapat. Hanya ahli-ahli politik dan pihak yang ingin berkuasa dan mengawal masyarakat yang sanggup melakukan perkara sedemikian.

Apabila Muslim hari ini mengatakan bahawa mereka mahu mengembalikan kegemilangan Islam, perkara sebenar yang mereka lakukan ialah mencemarkan tradisi perundangan Islam yang kaya.

Kita menjatuhkan maruah agama dan menyebabkannya mempersendakan dalam kegilaan kita untuk memaksa semua Muslim berfikir menurut cara yang difikirkan benar oleh negara. Kuasa pemaksa negara bangsa moden setelah itu digunakan untuk memaksakan satu sudut pandangan ke atas seluruh masyarakat Muslim pada tahap yang tidak pernah kita saksikan dalam sejarah Islam.

Unsur yang berwibawa dalam tradisi Islam telah kita salah gunakan untuk tujuan-tujuan autoritarian. Perbuatan sebegini tiada tempatnya dalam demokrasi mahu pun dalam amalan Muslim.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain