suria

Anak Muda Malaysia Kongsi Pandangan Dipilih Sertai Program Felo Perdana

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersama menteri-menteri kabinet serta peserta-peserta Felo Perdana pada majlis penyerahan peserta program felo perdana di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto RAJA FAISAL HISHAN / THE STAR
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersama menteri-menteri kabinet serta peserta-peserta Felo Perdana pada majlis penyerahan peserta program felo perdana di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto RAJA FAISAL HISHAN / THE STAR
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersama menteri-menteri kabinet serta peserta-peserta Felo Perdana pada majlis penyerahan peserta program felo perdana di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Isnin. Foto RAJA FAISAL HISHAN / THE STAR

PROGRAM Felo Perdana buat julung kalinya diperkenalkan oleh kerajaan untuk memberi peluang kepada anak muda Malaysia menimba pengalaman secara langsung dalam urusan tadbir negara.

Ia menggunakan pendekatan yang mempunyai persamaan dengan program 'The White House Fellow Programme' yang berteraskan beberapa elemen seperti mengenal pasti bakat kepimpinan muda, kerajaan sebagai kerajaan yang mesra orang muda dan kepentingan kepada penglibatan yang strategik.

Mereka terdiri daripada 70 anak muda yang merupakan lepasan graduan dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

Pemilihan mentor pula di kalangan menteri-menteri Kabinet yang menggariskan rangka kerja dan tanggungjawab yang akan diberi kepada felo atau mentee masing-masing.

Majlis Penyerahan Felo Perdana kepada Menteri-Menteri Kabinet disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Bankuet di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, Isnin.

Jangka masa penempatan mentee adalah enam minggu sehingga tiga bulan bagi pelajar-pelajar yang sedang melanjutkan pengajian manakala graduan yang baru menamatkan pengajian adalah untuk tempoh tiga bulan atau maksimum enam bulan.

Difahamkan, daripada 600 permohonan telah diterima untuk menyertai program ini.

Daripada jumlah itu, seramai 70 anak muda disenarai pendek dan rata-rata mereka yang ditemui menyahut cabaran mewakili suara anak muda untuk menimba pengalaman bermakna dalam kepimpinan negara.

Pelajar jurusan perubatan dari Russian State Medical University Muhammad Akmal Saleh, 25, berkata, sebenarnya masih ramai anak muda yang tidak faham mengenai struktur kerajaan.

"Peluang yang kami dapat ini adalah pendedahan secara langsung mengenai tadbir urus kerajaan.

"Bukan bekerja di bawah jabatan, tetapi secara langsung dengan jemaah menteri, maka adanya pendedahan mengenai polisi-polisi kerajaan yang selama ini tidak difahami oleh belia," katanya.

Muhamad Akmal merupakan antara mentee kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bagi Farah Sakinah Nor-Zam, 25, pelajar jurusan Perhubungan Antarabangsa dari Universiti Nottingham Malaysia, penyertaannya dalam program ini disebabkan hasrat untuk memberi sumbangan sesuatu kepada negara menerusi penglibatan dalam kerajaan.

"Sebagai seorang belia, saya melihat kerajaan dengan mata yang kritikal. Dahulu saya baca (mengenai kerajaan) dari luar dan sekarang ini saya dapat melihat dengan mata sendiri dari dalam.

"Kalau ada pandangan luar yang tidak betul mengenai kerajaan, saya akan betulkan. Saya tak nak rakan-rakan saya membuat andaian semata-mata tanpa mengetahui hal yang sebenar dan saya di sini membantu memainkan peranan dalam memberikan penjelasan," katanya.

Pelajar Perdana University-Royal College of Surgeons in Ireland, Nakhieeran Nallasamy, 21, pula berpandangan bahawa Program Felo Perdana merupakan satu platform yang baik untuk mendedahkan diri kepada dunia pekerjaan yang sebenar.

"Menimba pengalaman dalam pentadbiran negara pada peringkat tertinggi kerajaan iaitu barisan menteri Kabinet akan merupakan sesuatu yang amat bermakna.

"Saya melihat penyertaan ini sebagai satu cabaran kerana saya masih berada dalam zon yang selesa. Tetapi dalam beberapa bulan ini akan melihat sejauh mana kami mendepani kehidupan sebenar sendiri di mana ia membantu dalam pembentukan diri pada masa depan," katanya.

Nakhieran yang merupakan pelajar perubatan berpeluang untuk menimba pengalaman daripada mentor Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Bagi Lai Kee Hee, 24, mentee kepada mentor Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala turut berkongsi perasaan terujanya dipilih untuk menyertai Program Felo Perdana.

Menurut pelajar jurusan Sains Politik dari Illnois University, Amerika Syarikat ini, penyertaannya didorong oleh program berkenaan yang begitu menarik untuk generasi muda menyumbangkan idea bernas dan segar kepada kerajaan.

"Saya berhasrat untuk memberi khidmat kepada rakyat di Malaysia. Saya harus memberi pemahaman yang jelas kepada golongan muda mengenai sumbangan kerajaan kepada negara.

"Ini kerana sewaktu saya menuntut di Amerika Syarikat, masyarakat di sana bertanyakan kepada saya mengenai bagaimana kerajaan di Malaysia dan saya tidak mempunyai idea untuk mengulas secara lengkap.

"Dengan peluang yang datang hanya kali ini, saya bukan sahaja memberi gambaran jelas mengenai kerajaan kepada rakyat Malaysia terutama belia tetapi juga di kalangan rakyat asing," kata Lai yang bakal melanjurkan pengajiannya dalam Ijazah Hal Ehwal Antarabangsa di Universiti Australia pada Februari tahun depan.

Sementara itu, Mayuri Soni, 20, pula berkata, ramai belia sering membuat kritikan terhadap kerajaan berikutan mereka hanya melihatnya berdasar perspektif luaran.

"Ini terutama belia hari ini tidak sabar terhadap sesuatu yang melibatkan kerajaan. Apa yang mereka tahu adalah untuk mendapatkan jawapan sekarang.

"Dan adalah amat baik untuk saya mewakili belia bagi membuka ruang kepada kerajaan mengadakan hubungan baik dengan generasi muda," kata Mayuri pelajar jurusan Kewangan dan Perakaunan dari London School of Economics and Political Science.

Pelajar jurusan Persekitaran, Polisi dan Ekonomi dari London School of Economics, Eugene Tan, 20, menyifatkan Program Felo Perdana sebagai insiprasi dan daya penggerak kepada anak muda untuk berjaya dalam kepimpinan.

Eugene yang merupakan mentee kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, pendekatan kerajaan ini turut memupuk semangat pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara untuk berkhidmat di negara sendiri sebaik sahaja tamat pengajian.

"Galakan daripada kerajaan ini melihat betapa seriusnya kerajaan dalam menilai bakat anak muda dan kami menilainya sebagai satu penghargaan dengan memberi sumbangan kepada negara pada masa depan," katanya.

Manakala bagi Lai Yin Yee, yang merupakan pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu pula berhasrat untuk melakukan sesuatu yang memberi kesan baik menerusi penglibatannya dalam program ini.

"Saya mahu memberikan perubahan dan pembaharuan dalam industri berkaitan. Sebagai anak muda, saya turut mempunyai idea untuk dikongsi bersama.

"Perkongsian idea ini sekali gus membantu memantapkan lagi pentadbiran negara di samping mengasah bakat saya dalam kepimpinan, di mana saya mahu menjadi pemimpin pada masa akan datang," katanya.

Artikel Lain