suria

PRU-13: Saingan Lim-Teng Makin Hebat

GEORGE TOWN: Persaingan antara Lim Guan Eng dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow makin berterusan apabila Ketua Menteri itu menyatakan kesediaannya berhadapan Teng hanya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota.

"Untuk menunjukkan keikhlasan saya agar persaiangan ini berlaku di Padang Kota, saya akan bertolak ansur dengan beliau," kata Lim.

Jika Teng bersetuju untuk bertanding di kerusi Padang Kota, Lim berkata beliau tidak akan bertanding bagi kerusi Parlimen.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Teng bersedia untuk bertemu dengan Lim pada pilihan raya akan datang dengan syarat untuk bertanding di kerusi DUN sahaja sebagai tanda memberi sepenuh komitmen kepada rakyat di negeri ini.

Kerusi DUN Padang Kota mempunyai kira-kira 78 peratus pengundi Cina, India dan lain-lain (16 peratus) dan Melayu (hampir 6 peratus).

Teng merupakan ADUN Padang Kota selama tiga penggal sebelum kehilangan kerusi berkenaan pada 2008.

Kerusi itu kini dipegang oleh wakil DAP, Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun Lim menegaskan bahawa jika Teng enggan untuk bertanding di Padang Kota, beliau tidak akan membuang masa dengannya lagi.

"Saya tidak akan membuang masa kerana anda (Teng) hanya bermain.

"Kelebihan bagi Teng ialah saya akan bertanding di kerusi yang pernah menjadi miliknya sebelum ini," kata Lim.

Mengenai sama ada beliau takut untuk bertanding di kerusi lain, Lim berkata beliau akan membiarkan Teng memberi respons mengenainya terlebih dahulu.

"Apa-apapun, saya harus takut bertanding di Padang Kota kerana ini adalah kerusi Teng, yang disandangnya 1995-2008," kata Lim.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rakyat Pulau Pinang perlu melihat dasar dan manifesto yang dibentangkan oleh parti yang bertanding berbanding populariti seseorang calon.

"Ia bukan tentang memilih Lim Guan Eng atau Teng Chang Yeow," katanya di Bukit Tinggi, Pahang, pada Ahad.

Artikel Berikut

Artikel Lain