suria

Vaksin Universal Selesema Akan Bantu Negara Asean

ADELAIDE: Seorang penyelidik University of Adelaide sedang merintis laluan bagi pengeluaran vaksin universal selesema.

"Strain-strain baru virus influenza yang muncul dengan kerap membawa cabaran besar bagi pihak berkuasa kesihatan kerana vaksin sedia ada tidak lagi berkesan," kata Dr Mohammed Alsharifi, Ketua Kumpulan Penyelidikan Vaksin di Kajian Sains Molekular dan Bio-perubatan, University Adelaide.

"Walaupun rumusan semula vaksin yang dijalankan setiap tahun nampaknya berkesan terhadap strain influenza yang lebih kurang sama, kaedah semasa ini tidak berkesan terhadap strain baru pandemik, seperti yang ditunjukkan oleh pandemik H1N1 baru-baru ini. Ini meningkatkan keperluan untuk teknologi baru," kata beliau dalam satu kenyataan.

Dr Alsharifi berkata pengalaman selesema babi baru-baru ini dan kekhuatiran dalam kalangan masyarakat perubatan, saintifik dan kesihatan terhadap kemunculan tiba-tiba strain berbahaya selesema burung, bermakna pendekatan baru untuk vaksin selesema perlu dipertimbang.

"Apa yang kita perlukan ialah sedikit perlindungan terhadap kesemua strain virus influenza A, termasuk mana-mana virus pandemik yang sedang muncul," kata beliau.

Satu teknologi baru, yang diusahakan oleh Dr Alsharifi (University of Adelaide) dan Profesor Arno Müllbacher (Australian National University ), telah membantu menjana vaksin baru influenza – GammaFlu™ – yang menawarkan perlindungan meliputi kesemua virus influenza yang ada sekarang ini dan juga mana-mana strain tidak dikenali yang boleh muncul pada masa depan.

"Teknologi kami dijangka mengubah dunia vaksinasi, memandangkan ia boleh dilaksanakan untuk menghasilkan banyak lagi vaksin," kata Dr Alsharifi.

Untuk menterjemah penemuan asas saintifik mereka kepada aplikasi klinikal, kedua-dua saintis ini menubuhkan syarikat Gamma Vaccines Pty Ltd pada Julai 2009.

Gamma Vaccines kini menjual vaksin influenza sinaran gamma untuk menguasai sebahagian daripada pasaran global bagi vaksin selesema, yang dianggarkan bernilai US$4 bilion setahun.

Sejak ditubuhkan, syarikat itu merintis satu Inisiatif Kesihatan Global yang signifikan sebagai sebahagian daripada rancangan pengkomersilan, yang bertujuan membawa teknologinya ke negara-negara membangun.

Beliau berkata Gamma Vaccines menandatangani satu Memorandum Persefahaman bersama dua buah syarikat farmaseutikal Indonesia, mewujudkan kerjasama tiga hala yang akan menyaksikan pembangunan, perkilangan, ujian klinikal dan agihan vaksin di Indonesia dan negara-negara Asean yang lain.

Gamma Vaccines Pty Ltd diasaskan pada 2009 oleh Dr Alsharifi dan Profesor Müllbacher untuk menyelesaikan satu daripada cabaran utama dalam penyakit berjangkit – pembangunan vaksin perlindungan menyeluruh virus influenza.

Syarikat ini beribu pejabat di Canberra dan komited pada inisiatif Kesihatan Global bagi negara-negara membangun. Syarikat menerima modal teroka serta geran inovasi peringkat awal daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan wilayah ibu negara Australia untuk menyokong pembangunan vaksin universal selesema itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain