suria

Wartawan Australia Nikmati Taman Nirwana Di Mabul

MELBOURNE: Di dunia, hanya terdapat beberapa lokasi pelancongan yang betul-betul berbaloi untuk dilawati dan ini termasuk Mabul Sipadan Resort di pantai timur Sabah.

Ini pandangan wartawan Australia Annie Hall yang baru-baru ini berkunjung ke negeri 'di bawah bayu' itu.

Menurut Hall, pelancong dari Eropah, Amerika, Jepun, China dan Australia gemar mengunjungi Mabul kerana ingin menikmati keindahan serta kedamaian pulau itu.

"Satu lagi sebab kenapa mereka mengunjungi Mabul kerana ia dekat dengan Pulau Sipadan yang terkenal di seluruh dunia sebagai lokasi menyelam dan yang dianggap mendiang Jacques Cousteau sebagai satu karya seni yang belum disentuh," kata Hall.

Hall merupakan timbalan ketua sub-editor dalam Kumpulan Akhbar Leader Group yang mempunyai 1.8 juta pembaca di sini.

"Kami tidak menyelam di Sipadan, tetapi melakukan aktiviti snorkel di tiga lokasi," kata beliau.

"Warna biru di Laut Celebes tidak menggambarkan khazanah yang terdampar di dasarnya. Tetapi anda sarungkan 'flipper' serta 'goggle' dan turunlah dari bot ke dalam air dan anda akan menjumpai sesuatu yang luar biasa".

SIPADAN

Menurut Hall lagi, terumbu karang di sekitar Pulau Sipadan merupakan satu 'landskap' yang begitu menakjubkan yang menonjolkan pelbagai bentuk dan warna disebabkan karang tumbuh di atas sebuah gunung berapi yang mati.

"Berenang di situ menyaksikan pelbagai hidupan marin yang amat menakjubkan. Terdapat penyu yang berlegar seolah menari-nari. Penyu-penyu ini banyak dan amfibia ini datang rapat menghampiri anda. Ada yang kecil sebesar tapak tangan dan ada juga yang besar saiznya seperti meja.

"Di celah-celah penyu-penyu ini ada pula pelbagai ikan tropika dari pelbagai jenis dan yang tak pernah ada di fikiran. Terdapat lebih daripada 5,000 spesies diberitakan wujud di perairan Pulau Sipadan.

"Ada juga kumpulan besar ikan barracuda dan juga si ikan pari serta jerung di dasar laut.

"Masa berlalu dengan agak cepat, secepat ikan yang lalu melintas di depan mata kami," kata Hall sambil menambah mereka hanya sedar bila dipanggil untuk berenang semula ke bot yang membawa mereka ke situ.

Mereka yang melakukan aktiviti snorkel dan menyelam akan menuju Sipadan untuk berehat. Pulau itu mencetuskan kegemparan pada tahun 2000 bila sekumpulan orang bersenjata dari selatan Filipina menculik 21 pelancong.

Bagaimanapun tebusan itu dibebaskan dan kini pasukan keselamatan Malaysia sentiasa mengawal keadaan di pulau berkenaan dan juga di sekitar perairannya.

MABUL

Terdapat juga kehadiran polis di Mabul dan resort itu juga mempunyai pengawal keselamatannya sendiri. Mereka ini merupakan benteng keselamatan di pulau itu tetapi tidak mengganggu ketenangan dan kehadiran pelancong.

Menurut Ben Loyola, pengurus Mabul Resort, masalah keselamatan 'tidak pernah timbul lagi'.

"Minum pagi serta makan tengah hari yang enak di sediakan Mabul Sipadan Resort," kata Hall.

Minum pagi merupakan pilihan kopi atau teh serta biskut manakala makan tengah hari ialah mi, hidangan utama, pasta, buah-buahan serta manisan.

Bot yang membawa penyelam serta mereka yang menjalankan aktiviti snorkel pulang ke Sipadan pada waktu petang dan ini menandakan berakhirnya satu hari dalam keindahan di bawah permukaan laut.

Penginapan di resort ini ialah banglo-banglo di dalam taman indah yang mempunyai pemandangan laut di kedua-dua arah hujung pulau serta juga di sebuah 'kampung air' yang dibina di situ.

AKTIVITI

"Terdapat beberapa tempat di resort yang sesuai untuk berehat. Kami menikmati minuman menyegarkan di hujung jeti, satu tempat yang sangat sesuai bagi menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat," kata Hall.

"Antara aktiviti lain ialah sesi rawatan kecantikan serta urut. Kalau anda rasa amat bertenaga, anda boleh berkayak. Resort pula menyajikan makanan yang lazat jenis barat dan juga tempatan.

"Ianya satu tempat yang amat berbaloi untuk dilawati walaupun terpaksa terbang merentasi jarak yang jauh," tambah Hall.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.sipadan-mabul.com.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain