suria

Syarat Ketat Anugerah Datuk Johor

SULTAN ABU BAKAR IBNI DAING IBRAHIM
SULTAN ABU BAKAR IBNI DAING IBRAHIM
SULTAN ABU BAKAR IBNI DAING IBRAHIM

MAHARAJA Abu Bakar membawa balik beberapa inovasi dari pengalaman baginda melawat England dan Eropah untuk menjadikan Johor sebagai negeri moden dan bertamadun. Baginda merupakan Raja Melayu yang pertama membuat lawatan ke England dalam tahun 1866 dan seterusnya sebanyak enam kali melawat England dan Eropah.

Baginda berhasrat Johor kekal sebagai negeri yang merdeka dan berdaulat dan mendahului negeri-negeri lain. Dengan termetrinya Perjanjian Setia yang ditandatangani baginda dengan kerajaan Ratu Victoria pada 11 Disember 1885 bukan sahaja Inggeris mengiktiraf Johor sebagai negeri merdeka bahkan lebih daripada itu mengiktiraf Abu Bakar dan waris-waris gantinya sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Johor dan Segala Jajahan Takluknya. Pengiktirafan ini menambah lagi kedaulatan Abu Bakar dan menyingkir anggapan baginda hanya seorang bangsawan tetapi tidak berdarah raja.

Persetiaan ini merupakan satu kemenangan moral bagi Abu Bakar terhadap Inggeris yang sentiasa merancang untuk meletakkan Johor di bawah pentadbiran dan takluknya sebagaimana yang telah dilakukan ke atas negeri-negeri lain.

Sultan Abu Bakar berjaya bertahan dan mematahkan perancangan Inggeris yang bertubi-tubi selama 30 tahun.

Selepas Abu Bakar memindahkan pusat pentadbiran dari Telok Belanga ke Iskandar Puteri (sekarang Johor Bahru) dalam tahun 1858, baginda menubuhkan sistem pentadbiran moden yang menjadi asas pengurusan sekarang.

Baginda menubuhkan sebuah Jemaah Menteri mengandungi 12 orang pengikut-pengikut baginda yang taat setia, dan sebuah Dewan Negeri dengan tambahan 12 orang lagi termasuk dua orang wakil masyarakat Cina untuk bersama-sama mengurus dan mentadbir Johor.

Di samping itu baginda menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti polis, kastam, mahkamah, perbendaharaan, kesihatan, agama, pelajaran, jabatan ukur dan kemajuan tanah dan lain-lain.

Sistem pengurusan ini berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga Gabenor Inggeris melaporkan kepada Colonial Office tidak ada keperluan dan tidak munasabah Inggeris campur tangan dalam pentadbiran Johor.

Pada asalnya Ahli Jemaah Menteri memegang jawatan-jawatan yang mempunyai ascribed title atau gelaran seperti Dato' Menteri bagi Menteri Besar, Dato' Bentara Dalam bagi Menteri Hal Ehwal Dalam dan Pelajaran, Dato' Bentara Luar bagi Menteri Pembangunan dan Tanah, Dato' Sri Amar DiRaja bagi Menteri Hal Ehwal Luar dan Setiausaha Kerajaan, Dato' Setia bagi Pesuruhjaya Polis, Dato' Penggawa Barat bagi Pentadbir Wilayah Barat, dan Dato' Penggawa Timor bagi Pentadbir Wilayah Timor.

Gelaran Dato' adalah dipadankan daripada gelaran hulubalang Empayar Johor dalam kurun ke-15 lagi. Abu Bakar meneruskan gelaran ini melalui peraturan perundangan dan fisikal.

Tidak seperti Raja-raja lain, Sultan Abu Bakar tidak menunggu Inggeris menakluk negerinya dan menghadiahkan darjah dan bintang sebagai balasan. Malah baginda membawa "peperangan" dengan Inggeris ke gelanggang mereka sendiri iaitu England. Dengan itu terzahirlah Perjanjian Setia yang memberi perlindungan daripada ancaman Inggeris.

Baginda berhasrat menghargai pengikut dan pegawai baginda yang taat setia bersama-sama membangunkan Johor dari hutan belantara ke sebuah negeri yang maju dan bertamadun.

Baginda mencipta Darjah Kerabat Johor Yang Amat DiHormati (DK) dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia (SPMJ dan DPMJ). Darjah-darjah kebesaran ini dizahirkan serentak pada 31 Julai 1886 dan merupakan Darjah pertama di antara Negeri-negeri Tanah Melayu.

Di antara penerima-penerima DK ialah adik-beradik Abu Bakar. Antara penerima utama gelaran Dato' adalah Menteri Besar Dato' Jaafar bin Mohammad, Dato' Bentara Dalam Mohammad Ibrahim Abdullah Munshi, Dato' Bentara Luar Mohammad Salleh Bin Perang, dan Pesuruhjaya Polis Dato' Setia Abdullah Tahir .

Penerima SPMJ pertama bergelar Dato' bagi ketua masyarakat Cina ialah Tan Hiok Nee seorang ahli Dewan Negeri dan ketua persatuan Ngee Heng Kongsi.

Kriteria pemilihan Dato' yang digunakan oleh Abu Bakar iaitu taat setia, perkhidmatan cemerlang, kepimpinan dan keikhlasan terus diamal dan dipraktikan oleh Sultan-Sultan Johor selepas baginda. Abu Bakar memaktubkannya ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 bagi mempertinggikan martabat Darjah itu, dan memberi kuasa mutlak kepada Raja terhadap pengurniaannya.

Almarhum Sultan Ibrahim dalam tahun 1925 mencipta Undang-Undang dan Peraturan bagi Darjah memperkuatkan kuasa Raja dalam hal-hal Darjah. Pada masa sekarang jika terdapat kesangsian nama calon dirujuk kepada pihak berkuasa seperti polis, mahkamah dan agensi pencegah rasuah untuk siasatan dan pengesahan.

Mulai 1886 juga seorang Dato' diberi gelaran "Yang Berhormat" membawa makna ia hendaklah mempunyai dan mengamalkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, perwatakan berhemah tinggi, jujur dan ikhlas, menghormatkan orang lain, bermoral, bertingkah laku yang sopan santun, dan kepimpinan yang boleh dijadikan teladan.

Mulai tahun 1990, calon beragama Islam dikehendaki menyempurnakan Solat Sunat dan melafaz Sumpah Syarie bertaubat dan mohon ampun dan perlindungan Allah SWT dan sentiasa taat kepada perintah-Nya, serta taat kepada Raja dan kerajaan.

Imam Darjah membacakan doa sebelum dan selepas kurniaan mohon kepada Allah semoga dikurnia perlindungan dan petunjuk-Nya kepada Dato' itu. Perkataan "Kepada Allah Berserah" diukir ke atas Bintang Darjah. Semuanya ini menunjukkan seorang Dato' itu tidak terlepas daripada tanggungjawab yang berat dan sentiasa memohon taufik dan hidayat Allah Maha Kuasa.

Bagi Dato' yang bukan beragama Islam harapan dan aspirasi rakyat serta tanggungjawab terhadap mereka adalah sama beratnya walaupun mereka tidak mengangkat sumpah.

Dato' Johor yang terdiri daripada orang Melayu secara otomatis menjadi ahli bagi Jemaah Pangkuan Negeri yang berkuasa dalam hal memilih, mengesah dan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor sebagai Sultan selepas kemangkatan Almarhum. Di sini juga keikhlasan dan taat setia serta pendirian mereka diuji.

Ada orang mengatakan gelaran Dato' Johor adalah berat, dan mungkin ada orang yang tidak dapat memikulnya dengan sempurna. Setelah diperkenankan, istana akan mengeluarkan surat bertanya jika calon itu bersetuju menerimanya.

Jika seseorang calon berasa belum sampai masanya dan tidak sanggup memikul bebanan tanggungjawab yang berat, dia boleh menolaknya. Ini tidak dianggap sebagai biadab atau menderhaka asalkan tujuannya murni.

Syarat-syarat kurniaan amat ketat bagi memartabatkan kemuliaan Darjah itu. Dari tahun 1886 hingga sekarang 712 orang telah diberi kurniaan Dato'. Pada hari ini terdapat 110 Dato' Johor yang masih hidup. Justeru sindiran sinis jika dibaling batu tentunya sebiji akan jatuh ke atas seorang Dato' Johor tidaklah boleh diterima.

Dalam zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, baginda mengurniakan gelaran "Datin" kepada isteri seorang Dato'. Pada masa sekarang isteri Dato' tidak bergelar Datin tetapi digelar "Datin Dato'….(nama suami).

Gelaran ini hanya kepada isteri pertama jika Dato' itu mempunyai lebih daripada seorang isteri. Gelaran itu boleh digunakan jika Dato' itu meninggal dunia dan selagi balu tidak bernikah lagi. Isteri yang diceraikan oleh Dato' tidak boleh menggunakan gelaran itu. Ini merupakan satu keunikan di Johor.

Rencana ini disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini. PENULIS ialah Setiausaha Jemaah Majlis DiRaja merangkap Menteri Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Istana Besar, Johor Bahru

Artikel Sebelum

Artikel Lain