suria

Memikat Tekukur Juga Tradisi Rakyat Kelantan

BACHOK: Selain daripada pertandingan ayam Serama, rakyat di negeri ini juga gemar kepada satu lagi aktiviti tradisional iaitu memikat burung tekukur yang juga dikenali sebagai merbuk yang hidup liar di hutan dan pinggir bukit.

Untuk 'memikat' (menjerat atau menangkap) burung ini, seseorang itu perlu mengenalpasti kawasan tempat tinggal burung ini dan di mana unggas itu suka hinggap mencari makan.

Bagaimanapun mereka memerlukan kesabaran yang tinggi dan kadang-kadang terpaksa mengambil masa sehari suntuk atau berhari-hari lamanya untuk mendapatkan seekor burung berkenaan.

Mereka juga memerlukan seekor denak (umpan burung yang ditambat) dan jerat dengan menggunakan tali dan dua batang pemacak (unjang) yang diperbuat daripada besi tembaga.

Burung yang berada di atas pokok di sekitar kawasan berhampiran akan terbang mendekati denak (biasanya dipasang di kawasan lapang) apabila mendengar suara kokokan dari denak yang mencabarnya untuk bersabung.

BURUNG TEKUKUR LIAR

"Burung tekukur liar yang tersilap langkah akan memasuki jerat biasanya sebelah kakinya akan terikat di situ," kata seorang pemikat tekukur Abdullah Bakri Jusoh, 50.

Abdullah ditemui Bernama pada pertandingan memikat burung tekukur di Gunung, Bachok anjuran Pejabat Kemas, Bachok baru-baru ini.

Menurut Abdullah, hobinya memikat burung tersebut bermula sejak dari usia muda lagi dan beliau pernah menternak 200 burung tekukur pada satu-satu masa.

Burung-burung tersebut diperoleh dari hutan Kelantan dan Terengganu.

Katanya seekor burung berkenaan mampu mencapai harga antara RM1,000 dan RM2,000 bergantung kepada kemerduan suara.

"Saya pernah menjual burung itu kepada peminat burung termasuk dari Johor dan Negeri Sembilan." kata Abdullah yang berasal dari Kampung Seri Aman, Pasir Puteh dekat sini.

PENDAPATAN SAMPINGAN

Rakannya, pesawah padi Abdullah Deraman, 47, pula berkata beliau mula memikat burung tekukur sejak tiga tahun lepas sebagai aktiviti mencari pendapatan sampingan.

Sehingga kini beliau mempunyai 34 ekor burung yang sedia untuk dijual kepada peminat burung harga antara RM150 dan RM700 seekor.

Beliau berkata burung-burung berkenaan diperoleh dari hasil usaha memikatnya di Bukit Jawa, Kedai Mananti dan Pasir Puteh.

Sementara itu, anggota Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Dr Ilias Hussin ketika merasmikan pertandingan itu berkata pertandingan memikat burung boleh dikomersilkan bagi memberi pendapatan sampingan kepada petani.

Pertandingan itu sesuai diadakan pada hujung minggu untuk menarik minat orang ramai termasuk pelancong asing menyaksikannya.

Beliau berkata pihak penganjur boleh mengadakan usahasama dengan pengusaha inap desa yang berdekatan untuk menjadikan pertandingan itu sebagai produk pelancongan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain