suria

Perniagaan Internet, Perniagaan Masa Depan

KUALA LUMPUR: Hari ini perniagaan Internet di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing lagi. Perniagaan seumpama ini semakin digemari lantaran keberkesanan Internet sebagai medium komunikasi dan pemasaran.

Sehubungan itu, peningkatan jumlah pengguna Internet juga dilihat sebagai tanda positif untuk berkecimpung dalam perniagaan seumpama itu.

Bagi usahawan internet, Mohd Suhaimy Abu Bakar, 30, atau lebih dikenali sebagai Shuth, perniagaan Internet merupakan satu bentuk perniagaan untuk masa hadapan kerana kebanyakan perniagaan dan kedai-kedai baru akan dibuka dalam bentuk perniagaan Internet berbanding perniagaan kovensional.

"Kedai buku terbesar di dunia bukanlah terletak di Amerika, China atau Jepun tetapi di Internet iaitu amazon.com manakala pasar raya terbesar di dunia pula ialah eBay. Tidak mustahil suatu hari nanti semua orang akan lebih gemar membeli-belah di Internet berbanding pasar raya," katanya kepada Bernama.

MENCEBURI BIDANG PERNIAGAAN

Menceburi bidang perniagaan bukanlah impian Shuth semasa kecil. Tetapi setelah memasuki alam pekerjaan, beliau mula bercita-cita untuk menjadi usahawan. Hal ini kerana Shuth menyedari tentang kebaikan dan keburukan antara bekerja makan gaji dengan bekerja sendiri.

Pada masa ini Shuth menjalankan beberapa jenis perniagaan Internet yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan penyewaan 'webhosting', penerbitan serta penjualan 'eBook'.

Sebelum menceburi bidang perniagaan, anak kelahiran Muar ini pernah bekerja sebagai eksekutif IT yang menguruskan bahagian multimedia dan juga pembangunan web di sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menyedari betapa pentingnya memiliki kebebasan masa dan juga kewangan, beliau mencuba menceburi bidang perniagaan kerana percaya bidang ini mampu memberikan semua itu.

"Saya sedar, cara terbaik untuk memiliki kedua-dua kebebasan itu ialah dengan menceburi diri ke dalam dunia perniagaan," jelasnya.

Sedia mengambil tanggungjawab 100 peratus dan sentiasa berfikiran positif ialah prinsip hidup Shuth untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Beliau juga berpendapat bahawa untuk menjalani kehidupan yang lebih gembira dan bebas, berniaga dan menjadi seorang usahawan adalah pilihan yang paling tepat.

Menurut Shuth, terdapat kajian yang menyatakan bahawa golongan yang bekerja sendiri dan berniaga mempunyai kehidupan yang lebih gembira dan memuaskan berbanding golongan yang makan gaji.

CABARAN YANG DIHADAPI

Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, setakat ini tiada halangan terlalu besar yang dihadapi beliau kecuali sedikit kritikan semasa melancarkan 'eBook' yang pertama pada tahun 2005.

"Saya menerima emel dan juga panggilan telefon daripada seseorang yang mencerca saya dan mengatakan saya penipu sebab menjual 'ebook' di Internet," kata Shuth.

Pada masa itu, saya sedikit kecewa tetapi kembali bersemangat apabila melihat semakin ramai orang membeli 'eBook' dari sehari ke sehari.

"Pada pendapat saya, saya menjual ilmu dan maklumat, dan bukannya menjual fail kosong. Dunia sudah maju dan zaman sudah berubah, zaman ini ialah zaman informasi dan maklumat.

"Pada zaman ini, 'maklumat' ialah sesuatu yang sangat penting dan berharga, jadi tidak hairanlah jika orang ramai akan mula memperdagangnya di alaf baru ini," jelasnya.

KEJAYAAN TERBESAR MENJADI USAHAWAN

Sewaktu mula mencebur diri di dalam dunia perniagaan, tiada siapa yang memberi galakan kepada beliau. Tetapi setelah memperoleh sedikit kejayaan, ramai yang memberikan galakan seperti keluarga dan rakan-rakan.

"Kejayaan yang saya rasa paling besar dalam hidup saya selepas menceburi bidang ini ialah apabila saya dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata saya setiap hari," katanya bangga.

Penulis buku terlaris, "Rahsia Blogger" ini didorong oleh seorang rakannya yang mahu beliau berkongsi ilmu mengenai blog kepada orang ramai. Buku tersebut menceritakan tentang peluang-peluang yang ada untuk mendapatkan wang di internet.

Harapan Shuth adalah selepas membaca buku tersebut, mereka dapat melihat dan bertindak merebut peluang-peluang yang ada.

Bertanyakan tentang perancangan pula, "Untuk masa terdekat ini, saya merancang untuk memindahkan operasi perniagaan saya yang selama ini beroperasi dari rumah kepada sebuah pejabat yang lengkap dengan beberapa orang pekerja tetap," kata Shuth.

NASIHAT KEPADA BAKAL USAHAWAN

Generasi milineum atau nama lainnya, generasi Y, yang membesar dengan kewujudan Internet, lebih gemar menggunakan Internet untuk tujuan bersosial dan berhibur seperti facebook, myspace, games (permainan mata) dan sebagainya.

Menurut Shuth, golongan ini mempunyai peluang yang cerah dalam bidang perniagaan Internet selagi mereka mempunyai minat untuk berniaga serta menyedari tentang kepentingan Internet bagi tujuan perniagaan.

Shuth berkata golongan belia harus bijak mengambil peluang dan menggunakan ruang yang sedia ada ke arah sesuatu yang berfaedah dan menguntungkan.

"Perniagaan di Internet mempunyai banyak kelebihannya seperti modal permulaan yang kecil, pasaran yang lebih luas serta ia mampu beroperasi selama 24 jam secara automatik tanpa memerlukan kos operasi yang tinggi.

"Mempunyai ilmu tentang perniagaan dan ilmu berkenaan komputer serta Internet dapat membantu seseorang belia untuk menjadi seorang usahawan Internet yang berjaya," katanya.

Apa yang mampu beliau katakan kepada bakal usahawan ialah:

"Belajarlah dan bertindaklah, jangan sekadar belajar, belajar, belajar sahaja, ia tidak akan memberikan hasil.

"Juga tidak boleh terus bertindak, bertindak, bertindak, takut tersilap langkah pula. Jadi, belajarlah dan kemudian bertindak," ulas beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain