suria

Perbaharui Barang Lama, Elakkan Tabiat Membuang

PETALING JAYA: Berminat untuk menyimpan perabot lama seperti meja atau kerusi yang satu atau lebih daripada kakinya sudah patah?

Lazimnya barangan yang sudah rosak atau cacat sebegini kita akan simpan dalam bilik stor atau buangkan sahaja.

Bagaimanapun, adakah sesiapa menyedari yang barang-barang ini boleh menjadi 'antik' pada satu hari nanti.

Mana tidaknya, meja tiga kaki boleh diubahsuai menjadi meja hiasan separuh bulat dengan dua kaki yang kemudian diletak berhampiran ambang pintu untuk menempatkan gubahan bunga bersama sebuah cermin pada dinding paling dekat dengan meja tersebut.

Martha Stewart, seorang usahawan yang bersikap ingin tahu dan sangat berminat dengan keindahan dunia yang kita diami, baru-baru ini berada di Malaysia untuk lawatan tujuh hari.

Martha adalah juga penulis beberapa buku yang laris jualannya dalam bidang hiburan dan gaya hidup selain buku-buku mengenai makanan.

Beliau juga menerbit siri majalah sendiri, Martha Stewart Living.

Baru-baru ini, beliau melawat beberapa tempat di wilayah tengah Semenanjung dan bahagian-bahagian Sabah dan Sarawak serta bertemu dengan penduduk setempat.

Kunjungan Martha diatur oleh Tourism Malaysia sebagai usaha untuk memperkenal dan mempromosi Malaysia di kacamata dunia.

MINAT PADA WARISAN

Tumpuan lawatan julung kali Martha dipenuhi dengan melihat sendiri warisan tempatan, pelbagai makanan etnik, keluarga diraja dan kraftangan buatan rakyat Malaysia.

"Saya sangat berminat untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai negara ini. Saya juga bangga kerana Raja Permaisuri Agong mengambil berat akan usaha-usaha mengekalkan seni tempatan khasnya warisan tenunan seperti Songket dengan motif-motif asli serta penampilan warnanya," kata Martha apabila ditanya mengenai jemputan minuman petang ke Istana Terengganu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Martha kagum dengan baju-baju songket serta kehalusan tenunan kainnya yang dihasilkan dengan tangan yang dibawa ke Istana Terengganu serta visual-visual yang menunjukkan pengeluarannya; tradisi dan prosedur, yang juga dijelaskan semasa minum petang itu. Beliau juga diberi taklimat ringkas mengenai program-program yang dikendalikan oleh Yayasan Tuanku Nur Zahirah khasnya yang membabitkan wanita dalam kraftangan tradisional, dalam usaha meneruskan dengan warisan ini melalui pembabitan agresif generasi muda.

CITRA WARNA MALAYSIA

Perarakan Citrawarna Malaysia merupakan satu lagi alasan mengapa Martha menerima pelawaan untuk menikmati keindahan Malaysia dan penduduk berbilang kaum di sini.

"Bagi saya kehebatannya bagaikan berada pada majlis pembukaan Olimpik mini. Inilah gaya hidup yang saya ingin lihat orang ramai menikmatinya. Ia mambolehkan mereka menikmati kehidupan sepenuhnya," kata Martha yang jelas terpegun dengan acara itu.

Martha pula adalah seorang yang percaya dengan konsep berfikiran terbuka berhubung kehidupan serta segala-gala yang berkaitan dengannya.

"Makanan yang saya nikmati di sini walaupun asing bagi saya tetapi ia unik. Saya cuba cari apa yang menentukan rasa dalam juadah-juadah Malaysia, bukan mudah tetapi saya berfikiran terbuka dalam mencubanya. Hidup lebih bermakna jika kita berfikiran terbuka berhubung dengan perbezaan-perbezaan ini," tambah Martha, yang berharap dapat mempromosi produk-produknya daripada majalah hinggalah ensiklopedia dan perabot ke Asia. Buat masa kini barisan perabot Martha Stewart sudahpun berada dalam pasaran, yang boleh diperoleh di kedai-kedai di Bangkok dan Filipina.

MOOD RELAKS

Martha mengakui masih ada ruang bagi barangan antik untuk kekal penting. Beliau sememangnya percaya dalam mengekalkan keindahan barangan antik dan mengitar semula kehebatan silam ini, kerana ia juga sesuatu yang lazim di Amerika Syarikat.

Martha menyeru wanita di Asia supaya memberi perhatian lebih kepada barang-barang antik mereka.

"Saya telah menerbitkan dua ensiklopedia mengenai kraf jarum. Sangat berguna dengan pelbagai contoh. Sila utuskan surat kepada kami, dan kami akan cuba hantar penyelesaian atau alternatif," tambah beliau.

Dalam pada itu, Martha percaya terhadap usaha mengimbangkan secara kreatif gaya hidup seseorang bagi memastikan kebahagiaan dikecapi berterusan di rumah.

Mempelajari kemahiran untuk menyuntik idea baru dalam kerja-kerja melibatkan perabot, linen dan hinggalah di taman akan membantu membawa perbezaan dalam sesebuah keluarga.

"Saya sangat percaya akan kebaikan berfikiran terbuka dalam pelbagai perkara menyentuh kehidupan. Di Amerika Syarikat adalah lazim untuk mengitar semula warisan silam, sehinggakan nilai keindahannya adalah terlalu tinggi hingga tiada penggantinya," tambah beliau dengan senyum lebar.

Martha Stewart mengendalikan konglomerat besar di Amerika Syarikat dan boleh dihubungi di www.marthastewart.com. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain