suria

Menyemai Budaya Hak Asasi Manusia Menerusi Pendidikan

SISTEM pendidikan ialah mekanisme terbaik untuk integrasi atau gabungan nilai utama prinsip dan hak asasi manusia di manamana negara. Dalam mengenengahkan konsep ini, Kamal Malhotra, Wakil Penyelaras Sistem Aktiviti Operasi Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia berpendapat integrasi itu perlu dibuat di semua peringkat dan pada peringkat yang agak awal. Untuk itu, katanya, fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah kurikulum sekolah.

"Prinsip di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat boleh menjadi sebahagian daripada kurikulum. Daripada apa yang saya tahu, hak asasi manusia tidak ada dalam kurikulum sistem persekolahan di Malaysia.

"Pada pandangan saya bagi negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti Malaysia, perlu dicari cara untuk menggabungkan ini di dalam sistem persekolahan," kata beliau kepada pemberita selepas berucap pada Seminar Hari Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar itu diadakan sempena Hari Hak Asasi Manuusia 2009 yang secara rasminya jatuh pada 10 DisEMBER setiap tahun. Tema sambutan tahun ini 'Mendukung Kepelbagaian, Hapuskan Diskriminasi'.

TITIK PERMULAAN

Menurut Malhotra, integrasi pendidikan hak asasi manusia ialah titik permulaan penting dalam membina budaya hak asasi manusia.

"Jika mahu keberlanjutan komitmen terhadap hak asasi manusia dalam mana-mana masyarakat, pertamanya perlu ada budaya hak asasi manusia dan ia memerlukan usaha yang berterusan.

"Budaya hak asasi manusia perlu dimulakan dengan sistem pendidikan dengan nilai yang ada dalam sistem pendidikan itu dan pada peringkat yang agak awal.

"Dengan cara itu, mudahlah untuk bercakap tentang hak asasi manusia dalam kalangan rakyat biasa dan ini ialah sesuatu yang amat penting dalam manamana masyarakat," jelasnya.

JANA KESEDARAN

Pablo Espiniella, Pegawai Hak Asasi Manusia, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pejabat Serantau Hak Asasi Manusia bagi Asia Tenggara, memberitahu Bernama bahawa satu daripada cara untuk memartabatkan hak asasi ialah dengan menyedarkan orang ramai tentang hak mereka.

Beliau senada dengan pandangan Malhotra bahawa satu-satunya cara untuk berbuat demikian ialah menerusi pendidikan di semua peringkat.

"Ini boleh dilakukan di peringkat sekolah tetapi perlu membabitkan semua masyarakat," tambahnya.

Menurut Espiniella orang di Malaysia boleh mendapatkan maklumat mengenai hak asasi mereka dan bagaimana mereka boleh menikmati hak itu daripada jaringan sosial yang ada.

"Negara yang berbilang kaum seperti Malaysia boleh menjadi contoh teladan yang baik bagi banyak negara di rantau ini, yakni mengenai bagaimana rakyat di Malaysia boleh hidup dan mendukung kepelbagaian," katanya.

LEBIH MEMAHAMI

Peserta seminar, Datin Paduka Marina Mahathir pula berpandangan hak asasi sering digambarkan secara negatif di Malaysia.

Kata beliau, orang akan terus memikirkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan hak politik apabila diaju tentang isu hak asasi manusia.

"Hak asasi manusia bukan sahaja mengenai politik. Ia merangkumi segala-galanya. Ada hak sosial, ada hak kebudayaan. Ada hak jantina (gender), malah sukar sekali hendak bercakap mengenai kesamarataan antara lelaki dan wanita di negara ini.

"Jadi kita perlu mulakan langkah ini kerana tanpa memahami hakhak ini, saya fikir kita tidak akan dapat maju ke depan dalam banyak perkara," katanya kepada Bernama.

Menurut Marina, hak juga termasuk hak kanak-kanak.

"Kita tidak memberi hak berkenaan melalui cara kita menyalurkan pendidikan. Kita tidak mengambil kira suara kanak-kanak dalam hal ini dan kanak-kanak dapat merasakannya tetapi mereka tidak faham ia ada kena mengena dengan hak dan mereka sebenarnya mempunyai hak," katanya.

TIDAK KETINGGALAN

Menurut Marina, satu cara untuk mara ke depan dalam semangat 1Malaysia ialah dengan mendukung budaya hak asasi manusia.

Malaysia, hujah beliau, perlu bergerak seiring dengan negara lain di dunia dan setiap orang kini melihat sesuatu perkara itu dari perspektif hak asasi manusia.

"1Malaysia tidak akan mempunyai apa-apa makna seandainya kita tidak melihatnya dari perspektif hak asasi manusia. Tak ada makna langsung. Kita perlu mendukung hak asasi manusia.

"Sekiranya kita pergi ke tempat lain dan kita diperlekeh, bagaimana perasaan kita? Contohnya isu orang pelarian, bagaimana kita tahu yang kita tidak akan menjadi orang pelarian? Bagaimana nasib kita nanti?

"Satu daripada masalah kita ialah kita tidak dapat meletakkan diri kita dalam keadaan orang lain. Kita lena dalam zon selesa kita," kata Marina.

PERISYTIHARAN

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat ialah perisytiharan yang didukung oleh Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948 di Palais de Chaillot, Paris, sebahagiannya sebagai tindak balas kepada kekejaman yang berleluasa ketika Perang Dunia Kedua.

Menurut ensiklopedia bebas Wikipedia, Perisytiharan itu ialah ungkapan hak asasi manusia sejagat pertama yang menjamin hak asasi manusia kepada semua manusia.

Selepas tempoh 61 tahun, perisytiharan itu memegang rekod dunia sebagai dokumen yang paling banyak diterjemah dengan lebih 360 versi bahasa yang ada.

Perisytiharan ini mengandungi 30 perkara yang menurut Wikipedia telah diperinci di dalam perjanjian antarabangsa berikutnya, instrumen hak asasi serantau, perlembagaan dan undangundang kebangsaan.

Ketika berucap pada Seminar Hari Hak Asasi Manusia PBB 2009, Malhotra berkata, meskipun hak asasi manusia telah dipersetujui oleh kebanyakan negara aAnggota, jurang antara retorik dan realiti kekal luas dan mungkin juga semakin membesar di sesetengah negara dan kumpulan penduduk.

"Cabarannya ialah untuk menutup jurang ini, dengan membawa bersama institusi bebas yang berbeza dalam masyarakat badan perundangan, eksekutif dan kehakiman untuk berganding tenaga, menjana sinergi untuk keberlangsungan perlindungan semua hak asasi manusia bagi setiap individu," katanya.

PERJANJIAN HAK ASASI MANUSIA

Malhotra berkata, semua negara anggota PBB telah mengesahkan sekurang-kurangnya satu, dan 80 peratus negara mengesahkan empat atau lebih perjanjian teras hak asasi PBB. Kesemuanya terdapat sembilan (9) perjanjian teras hak asasi antarabangsa.

Malaysia, kata Malhotra, setakat ini telah mengesah dan menandatangani hanya dua daripada sembilan perjanjian itu.

Perjanjian itu ialah Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC). Kedua-dua konvensyen itu ditandatangani pada 1995. Bagaimanapun Malaysia belum lagi mengesahkan Konvensyen 2006 mengenai Hak Asasi Orang Kurang Upaya.

"Universal Periodic Review (UPR) 2009 mendapati masih banyak yang perlu dilakukan oleh Malaysia. Sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Malaysia perlu menjadi contoh dengan melaksanakan perubahan yang perlu yang akan mendatangkan impak sebenar terhadap perlindungan hak asasi di negara ini," kata Malhotra.

UPR ialah mekanisme baru dan unik yang diamalkan oleh PBB mulai April 2008. Ia membuat kajian semula terhadap amalan hak asasi manusia di semua negara di dunia, sekali dalam setiap empat tahun. - BERNAMA

Artikel Lain