suria

Cabaran Berliku Perangi HIV Di Sarawak

ADA nada kecewa dalam bicaranya semasa berkongsi cerita mengenai usaha beliau untuk memerangi penularan HIV dan AIDS di negeri kelahirannya Sarawak.

Keluhan wanita ini bukan kerana beban tugas yang perlu digalas. Ia lebih kepada pelbagai pahit getir cabaran yang beliau dan rakan sepasukannya dari Sarawak Aids Concern Society (SACS) terpaksa tempuhi dalam meneruskan perjuangan mereka.

Satu daripada cabaran itu, katanya, ialah untuk sampai kepada mereka yang masih tinggal nun jauh di desa dan kawasan pedalaman termasuk tempat seperti Baram di Miri, Belaga dan Kapit berhampiran Sibu dan Limbang.

Untuk membuktikan kata-katanya itu, beliau memaparkan peta Sarawak di skrin di mana bumi kenyalang itu disifatkan sebagai "negeri yang besar, sebesar Semenanjung Malaysia tanpa Melaka dengan taburan penduduk yang berselerak."

ADA BATASAN

Seandainya kereta api dan lebuh raya menjadi jalan pengangkutan lazim di Semenanjung Malaysia, di pedalaman Sarawak, sungai dan anak-anak sungai menjadi jalan utama.

Jalan bertar jarang sekali ada di kawasan pedalaman, malah kebiasaannya jalan yang ada cuma jalan yang dipenuhi batu-batu kecil atau tanah merah, lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai trek balak.

"Jalan-jalan ini mudah rosak akibat cuaca dan penggunaan yang banyak menjadikannya berbahaya dan tidak boleh dilalui," Rahmah Wahap-Nicholls, pengurus program SACS memberitahu peserta perbincangan meja bulat mengenai HIV dan AIDS dianjurkan United Nations Theme Group on HIV di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut pesara jururawat berusia 57 tahun ini, meskipun pengangkutan sungai ialah nadi kepada penduduk kawasan pedalaman Sarawak, penggunaannya terbatas.

Beliau menjelaskan bukan sahaja kos amat tinggi, tetapi pada waktu tertentu, sungai mungkin menjadi terlalu cetek atau kering di sesetengah tempat dan ada kala juga air sungai mungkin melimpah dengan jeram yang deras airnya.

Dalam masa yang sama, beliau juga memberitahu bahawa terdapat juga tempat di Sarawak yang kebolehlaluannya hanya menerusi pengangkutan udara dan kosnya lebih tinggi daripada tambang pergi balik Kuala Lumpur-London.

SENARIO HIV DAN AIDS SARAWAK

Di sebalik angka kes terkumpul HIV dan AIDS yang agak rendah di Sarawak berbanding negeri-negeri lain, Rahmah berkata angka berkenaan semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sehingga 2009, katanya jumlah terkumpul kes HIV dan AIDS yang dilaporkan lebih sedikit daripada 1,000.

"Yang membimbangkan semakin ramai suri rumah yang dijangkiti. Untuk tempoh enam bulan pertama 2009, 57 peratus kes baru ialah suri rumah. Memandangkan kaedah jangkitan menerusi seks heteroseksual, fokus kepada kumpulan ini perlu ditingkatkan," katanya, dengan menambah kata suami perempuan yang dijangkiti enggan untuk menjalani ujian dan mendakwa virus itu bukan daripada mereka.

Rahmah juga menekankan kebimbangannya mengenai jangkitan HIV dalam kalangan anak muda Sarawak antara usia 20 hingga 39 tahun.

Masalahnya, kata beliau, jangkitan itu bukan kerana pengambilan dadah menerusi suntikan tetapi seks bebas. Pelajar juga tidak terkecuali daripada mencuba sendiri seks bebas ini.

"Ramai pelajar memberitahu mereka tidak mempunyai bentuk hiburan lain selain daripada menghiburkan sesama mereka. Perkara ini diberitahu sendiri oleh pihak guru. Kami banyak menerima permintaan daripada sekolah termasuk di kawasan pedalaman untuk melaksanakan program pencegahan HIV dan kami bukannya boleh pergi ke sekolah berkenaan dalam masa sehari dua.

"Guru-guru ini mahu kami memberi ceramah kepada pelajar mereka dan kami bukannya boleh memberi jawapan segera atas sebab kekangan tenaga kerja dan kewangan. Bila kami akhirnya sampai ke sekolah berkenaan, bila pelajar sudah berada di tingkatan lima atau enam, guru-guru itu akan menyatakan yang kami sudah agak terlewat," kata Rahmah dengan nada kesal.

PEDALAMAN TIDAK TERKECUALI

Seperkara lagi yang membimbangkan Rahmah dan rakan seperjuangannya ialah virus maut itu juga sudah sampai ke kawasan pedalaman Sarawak.

HIV, jelasnya bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang tinggal di pekan dan bandar di mana mudah untuk mendapat rawatan dan ubat tetapi juga di desa dan kawasan pedalaman di mana perjalanan ke hospital yang paling hampir mungkin mengambil masa sehari atau dua hari melalui trek balak dan bot.

Tambahnya, jika pun perjalanan boleh dilakukan, kos untuk pergi ke hospital yang terdekat menjadi faktor penghalang. Kebanyakan yang tinggal di kawasan pedalaman ialah petani yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurut Rahmah, bagi mereka yang berada dalam keadaan ini, agak sukar membelanjakan wang yang banyak bagi membayar kos pengangkutan untuk mendapatkan ubat. Jumlah ini mungkin belanja hidup harian mereka.

"Kos yang perlu dikeluarkan mungkin sekitar RM80 untuk tambang bot satu hujung sungai ke hujung yang lagi satu. Siapa yang hendak pergi meskipun khidmat yang diberikan percuma? Inilah senario yang kami alami dalam melaksanakan tugas kami," kata Rahmah.

CETEK PENGETAHUAN

Berdasarkan pengalaman SACS dalam melaksanakan program di seluruh Sarawak, terutamanya di kawasan pedalaman, Rahmah memberitahu bahawa pengetahuan dan kesedaran mengenai HIV dan AIDS amat kurang.

Banyak salah tanggapan, katanya, sambil berkata ia jelas menunjukkan usaha yang dijalankan sebelum ini oleh pihak tertentu untuk mendidik penduduk kampung tentang HIV dan AIDS ternyata kurang berjaya.

"Selepas hampir 30 tahun epidemik ini berlaku, masih ada orang yang bertanya sama ada virus ini masih ada atau ia boleh membunuh orang. Ada juga yang takut untuk menjalani ujian kerana jika mereka tahu telah dijangkiti dan mereka perlu mendapatkan ubat, bagaimana untuk mereka mendapatkan bekalan ubat yang diperlukan?

"Lebih elok kalau mereka tidak tahu atau mereka terima sahaja, lagi pun mereka kata mereka akan mati juga? Ini ialah satu daripada cabaran besar kami untuk menyebarkan pengetahuan pengenai HIV dan AIDS serta mencegah penularannya menerusi program lestari kepada penduduk desa Sarawak.

"Sebagai satu daripada beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berdedikasi memerangi HIV dan AIDS di Sarawak, SACS turut berdepan dengan cabaran lain. Jumlah kes HIV dan AIDS yang rendah nampaknya menyebabkan ia tidak diberi keutamaan," kata Rahmah.

Beliau melahirkan kekecewaan kerana HIV dan AIDS dipandang tidak penting dan kemelesetan ekonomi turut memberi kesan kepada pemberian pembiayaan.

"Jika projek HIV dan AIDS di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia menikmati sokongan daripada kerajaan negeri, kami di SACS masih lagi menunggu peluang untuk mendapat sokongan seperti itu," jelasnya.

FAKTOR RISIKO

Di samping cabaran untuk mendapatkan kewangan yang mencukupi untuk membiayai program SACS, Rahmah turut menyentuh faktor penting dalam penularan HIV di Sarawak iaitu kehadiran tenaga kerja asing yang besar di banyak bahagian Sarawak.

Menurut beliau, pembukaan pesat ladang secara besar-besaran di Sarawak menyebabkan negeri itu terpaksa bergantung kepada buruh asing yang murah.

Industri pembalakan Sarawak juga, tambahnya, menggunakan ramai pekerja asing dari negara jiran.

Rahmah berkata khemah pembalakan terletak jauh di tengah-tengah kawasan pedalaman di mana peluang untuk bercakap dengan pekerja-pekerja itu tertakluk kepada persetujuan dan kebenaran syarikat pembalakan berkenaan.

"Sebagai contoh, terdapat khemah pembalakan di sekitar Belaga dan Kapit dan tidak dibuka kepada orang ramai. Terdapat juga khemah pembalakan yang anda tak tahu kewujudannya dan satu-satunya cara untuk ke sana ialah dengan pengangkutan udara," jelasnya.

SACS, menurutnya mencapai sedikit sebanyak kemajuan dalam mendekati kumpulan sasar itu tetapi ia terpaksa melalui pelbagai kesulitan.

"Banyak syarikat curiga akan motif Pertubuhan Bukan Kerajaan yang beroperasi di Sarawak dan malang bagi kami, ini bermakna pada peringkat awal setidak-tidaknya sukar untuk kami mendapat kelulusan masuk atau menjalankan program kesedaran di premis mereka," jelasnya, dengan menambah kata, sebahagian besar pekerja di khemah pembalakan datang dari Kalimantan dan bilangan mereka amat besar.

TIDAK MENYERAH KALAH

Di sebalik pahit getir tugas yang dipikulnya, Rahmah tidak mudah menyerah kalah, ibarat pepatah "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan."

"Saya mesti jujur dan ikhlas dalam menyatakan ada kalanya memang ada rasa kecewa bila berdepan dengan kesukaran tetapi atas nama komitmen perjuangan ini mesti diteruskan," beliau memberitahu Bernama.

Di samping rakan seperjuangannya dalam SACS, Rahmah juga mendapat sokongan jitu daripada suaminya, Colin Khalid Nicholls dan tiga orang anaknya yang sudah dewasa. Colin, katanya, turut memberi sokongan teknikal untuk SACS serta menguruskan laman webnya, www.sarawakaidsconcern.org

Kecekalan Rahmah dalam setiap perincian tugasnya dengan SACS adalah berkat pengalaman 26 tahun bekerja sebagai jururawat terlatih di United Kingdom di mana beliau berjumpa dengan suaminya yang juga seorang jururawat terlatih.

Sewaktu berkhidmat di sana juga, beliau menjadi sukarelawan selama beberapa tahun dengan sebuah badan kebajikan di Kent, memberi sokongan kaunseling untuk kanak-kanak mangsa penderaan seksual.

Pasangan ini kembali ke Sarawak pada pertengahan 2006 selepas persaraan dan menerusi maklumat sahabat-handai, mereka kemudian membabitkan diri sebagai sukarelawan dengan SACS yang ditubuhkan pada 19 Mei 1998.

"Hanya selepas membabitkan diri secara lebih mendalam dengan SACS, baru saya mendapat tahu betapa besarnya tugas yang perlu dilaksanakan. SACS memerlukan arah tuju. Selama tujuh tahun ia hanya melaksanakan program secara kecil-kecilan di Kuching sahaja sedangkan bahagian lain Sarawak terpinggir.

"Memperluaskan program SACS menjadi keutamaan saya pada 2007. Ini adalah tempoh yang amat mencabar terutamanya kerana kesempitan kewangan untuk membolehkan SACS melaksanakan programnya," kata Rahmah kepada Bernama.

Pada 2008, Rahmah meletakkan sasaran untuk memperluaskan khidmat SACS ke bahagian-bahagian lain Sarawak, khususnya untuk mendampingi masyarakat peribumi yang tinggal di pedalaman.

"Sedikit sebanyak kami berjaya mencapai sasaran ini tetapi yang paling bermakna ialah kejayaan kami dalam mendapatkan pembabitan akar umbi dalam program yang mensasarkan komuniti masing-masing.

"Yang paling membanggakan saya ialah kejayaan menggerakkan anggota masyarakat untuk mengambil tanggungjawab menjaga kepentingan komuniti sendiri," kata Rahmah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain