suria

Festival Terus Cungkil Potensi Penuntut IPT

Bersatu dalam Kepelbagaian...Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig Jen Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata penganjuran FFVPM7 yang bergilir antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ini, menjadi landasan terbaik bagi penuntut IPT mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari serta dapat mencungkil bakat baru di kalangan kelompok berkenaan. Foto: Rushdan Manan
Bersatu dalam Kepelbagaian...Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig Jen Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata penganjuran FFVPM7 yang bergilir antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ini, menjadi landasan terbaik bagi penuntut IPT mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari serta dapat mencungkil bakat baru di kalangan kelompok berkenaan. Foto: Rushdan Manan
Bersatu dalam Kepelbagaian...Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig Jen Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata penganjuran FFVPM7 yang bergilir antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ini, menjadi landasan terbaik bagi penuntut IPT mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari serta dapat mencungkil bakat baru di kalangan kelompok berkenaan. Foto: Rushdan Manan

FESTIVAL Filem & Video Pelajar Malaysia telah masuk tahun ke-7 dan penganjurannya kali ini diharapkan semakin matang dan dapat meneruskan kegemilangan penganjurannya seperti tahun-tahun yang lepas.

Memperuntukkan bajet berjumlah RM300,000, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah meletakkan kepercayaannya dengan memilih Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai penganjur Festival Filem & Video Pelajar Malaysia ke-7 (FFVPM7) yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Januari 2010.

Sejak penganjuran pertamanya oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2003, FFVPM terus menjadi acara tahunan. Ia dilihat sebagai satu institusi piawaian mutu dalam menilai dan mengadili kecemerlangan kualiti penerbitan filem dan video di peringkat Institusi Pengajian Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig Jen Datuk Profesor Dr Kamarudin Hussin dalam satu temubual dengan Bernama, penganjuran FFVPM yang bergilir antara IPTA dan IPTS ini, menjadi landasan terbaik bagi penuntut IPT mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari serta dapat mencungkil bakat baru di kalangan kelompok berkenaan.

"Ia juga selaras dengan matlamat Dasar Perfileman Negara untuk membangunkan modal insan dalam bidang tersebut, terutama dalam kalangan penuntut Institusi Pengajian Tinggi negara ini.

Selain itu, ia juga dapat mengubah konotasi negatif dan sempit bahawa filem hanya untuk hiburan atau kegiatan yang dekat dengan kelalaian, tidak berfaedah dengan mendorong kepada kejatuhan moral.

"Hakikatnya, filem mampu memupuk sikap keterbukaan dan bertanggungjawab dalam merangsang penerapan nilai budaya, warisan bangsa dan sejarah Malaysia. Tafsiran negatif tersebut perlu diubah kepada tafsiran baru yang luas, positif dan objektif," tambahnya.

KREATIVITI TERJEMAH TEMA

Selain menghargai hasil karya kreatif perfileman penuntut IPT, ia juga melihat sejauh mana generasi muda ini menggunakan pengetahuan yang ada untuk menterjemahkan tema yang dipilih iaitu "Ke Arah Persada 1 Malaysia".

Menurut Dr Kamarudin, setiap karya yang menyertai festival dan pertandingan hendaklah memiliki konsep dan unsur perpaduan, penyatuan keharmonian dan kedinamikan hidup masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Tema perlu diterjemahkan ke dalam karya filem atau video sebagai pernyataan kreatif dan artistik skrin atau sinematografi.

"Paparan tema ini perlulah meliputi aspek konsep, idea, cara berfikir atau pendekatan kreatif yang meliputi keseluruhan persembahan, cara hidup atau budaya sosial rakyat pelbagai kaum di negara ini," jelasnya.

MENDEKATI MASYARAKAT

Beliau turut yakin penganjuran FFVPM7 di Perlis kali ini menjadi penganjuran festival yang unik kerana lokasinya turut diadakan di beberapa lokasi luar kampus UniMAP.

Antara lokasi stategik yang bakal menarik perhatian ialah pawagam lama Capitol yang akan digunakan untuk pameran dan beberapa aktiviti festival yang lain seperti demonstrasi, forum dan tayangan filem. Pemilihan lokasi tersebut juga dijangka dapat menarik bukan sahaja warga kampus malah orang ramai untuk mengunjungi festival berkenaan.

"Inilah kelainan yang cuba ditampilkan oleh UniMAP. Jika sebelum ini, penganjuran festival diadakan hanya terhad di dalam kampus, tahun ini kita cuba melibatkan beberapa lokasi di sekitar Bandar Perlis. Secara tidak langsung, pengunjung tidak hanya terhad kepada warga kampus. Orang ramai dan masyarakat setempat turut mendapat manfaatnya.

Sungguhpun UniMAP tidak menawarkan pengajian berkaitan filem atau drama, namun pihaknya yakin dengan keupayaan para penuntutnya terutama dari bidang multimedia untuk menyertai kategori yang dipertandingkan.

Dr Kamarudin turut berharap penganjuran FFVPM7 kali ini akan menjadi pemangkin ke arah pembangunan pelajar melalui penghasilan karya dalam bidang perfileman, video dan animasi.

"Ini adalah usaha kita dalam melahirkan lebih ramai generasi pelapis pembuat filem dalam industri perfileman tanah air.

PENYERTAAN MASIH TERBUKA

Selain mengiktiraf dan memberi penghargaan terhadap hasil kerja pelajar menerusi filem-filem yang menyertai acara ini, ia juga menggalakkan penghasilan kerja kreatif yang bermutu tinggi di kalangan pelajar dalam bidang pendidikan atau jurusan perfileman, komunikasi dan multimedia.

Dengan adanya festival ini para peserta dapat mengembangkan daya komunikasi dan interaksi. Malah mampu mempertingkatkan daya komunikasi dan interaksi serta kemahiran teknikal dalam bidang perfileman.

Dr Kamarudin mengalu-alukan penyertaan penuntut IPTA/IPTS untuk menghantar karya mereka. Pihak penganjur sehingga kini masih lagi menerima penyertaan daripada semua IPTA dan IPTS seluruh negara. Tarikh penyertaan ialah sehingga 24 Dis ini.

Kategori yang dipertandingkan ialah Filem Pendek, Filem Dokumentari, Filem dan Video Eksperimen, Video Klip dan Filem Animasi.

Sementara anugerah yang dipertandingkan ialah Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik, Filem Animasi Terbaik, Filem Iklan Terbaik, Filem dan Video Eksperimen Terbaik, Video Klip Terbaik, Pengarah Harapan Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skrip Terbaik, Kostum Terbaik, Sinematografi Terbaik, Muzik Terbaik, Grafik Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Menerusi festival ini juga, beliau mencadangkan FINAS atau SENIMAN membawa impak yang besar dengan mengenalpasti penuntut yang berpotensi besar dalam bidang ini untuk diketengahkan. Ia mungkin titik permulaan untuk mereka mencapai kejayaan ke peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web atau hubungi urusetia di talian 04-9798759/ 9798720 (Perlis) atau 03-26941626 (KL). BERNAMA

Artikel Lain