suria

Penebat kediaman untuk mengurangkan suhu dan bil elektrik

BOLEHKAH penebat haba menjadikan ruang dalaman sesebuah rumah lebih sejuk?

Idea ini mungkin ganjil bagi ramai warga Malaysia yang mungkin berpendapat ini lebih sesuai bagi rumah di negara-negara sejuk?

Penebat haba sebenarnya berfungsi bagaikan kelalang termos, jelas Pengerusi Kumpulan Pengilang Penebat Malaysia (MIMG) Soh Chin Teck. Jika anda memasukkan air sejuk ke dalamnya, kesejukan itu akan terperangkap. Begitu juga, jika anda mengisinya dengan minuman panas, ia akan mengekalkan suhu minuman di dalamnya.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, Soh menjelaskan bahawa menebat kediaman boleh menyejukan ruang dalaman dan mengurangkan keperluan bagi kipas atau pendingin hawa, dan ia berpotensi menjimatkan sehingga 85 peratus daripada tenaga yang digunakan dalam bangunanan.

Sebahagian besar penggunaan tenaga di bangunan pejabat berpunca kerana pendingin hawa, mewakili sehingga 64 peratus daripada penggunaan tenaga, demikian dilaporkan oleh Biro Maklumat Tenaga Malaysia.

Di sebaliknya, peralatan pejabat hanya mewakili 12 peratus dalam penggunaan tenaga.

Kos dan penjimatan

Di kediaman, pendingin hawa mewakili 23 peratus daripada penggunaan tenaga. Ini bermakna langkah menebat kediaman berpotensi menjimatkan beribu-ribu ringgit dalam bil elektrik. Ini boleh diterima, tetapi berapakah kos untuk menebat sebuah rumah berangkai tipikal di Malaysia?

"Kos bagi menebat adalah lebih kurang RM2.70 setiap kaki persegi. Jadi untuk memasang penebat ini pada sebuah rumah rangkai tipikal di Malaysia adalah antara RM2,000 dan RM3,000, termasuk kos material dan pemasangan," kata Soh.

Hanya ruang antara bumbung dan siling yang perlu ditebat kerana di Malaysia, antara 60 dan 70 peratus haba yang masuk ke dalam rumah adalah menerusi siling.

Sementara itu, Pengarah Majlis Penebat Australia dan New Zealand Ray Thompson, yang turut berada bersama semasa temu bual menjelaskan dengan adanya penebat ini haba dapat dihalang daripada memasuki bumbung atau ruang siling dan ke bahagian lain rumah.

"Walaupun ia hanya mengurangkan suhu lebih kurang tiga hingga empat darjah Celsius, tetapi ini boleh menyejukkan suasana dengan signifikan, khasnya di negara seperti Malaysia," katanya.

Beliau berkata kos memasang penebat ini adalah kecil jika dibandingkan dengan manfaat daripada penjimatan bulanan dalam bil-bil elektrik selain lanjutan tempoh hayat rumah, pengurangan wasap rumah hijau, keselesaan serta suasana kehidupan yang lebih baik serta sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, memandangkan material penebat dikilangkan di dalam negara.

"Unjuran jualan tahunan material penebat di Malaysia, selepas bangunan-bangunan dipasang dengan penebat ialah RM1.19 bilion bagi sektor awam, dan RM 790 juta bagi kerajaan, selain daripada mengurangkan pergantungan pada bahan api fosil," katanya.

Bagi mereka dalam kumpulan pendapatan pertengahan dan ke atas, jumlah RM3,000 mungkin dilihat tidak mahal memandangkan keselesaan jangka panjang dan penjimatan wang yang bakal mereka nikmati. Tetapi bagi majoriti warga Malaysia, khasnya mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah ia mungkin mahal.

Sehinggakan di Australia, kesedaran terhadap penebatan bangunan daripada segi kecekapan penggunaan tenaga adalah sesuatu yang baru, kata Thompson. Kerajaan Australia melalui Rangka kerja Kebangsaan Bagi Penggunaan Cekap Tenaga telah manjadikan penebat mandatori di pejabat-pejabat. Thompson berkata untuk mencetuskan kesedaran, kerajaan Australia menyediakan pakej rangsangan ekonomi yang besar dengan kerajaan persekutuan menyediakan AUD4 bilion (RM12.3 billion) untuk menyediakan penebatan percuma bernilai sehingga AUD1,600 untuk rumahrumah sedia ada.

Manfaat di Malaysia Soh berkata 'mineral wool', material bagi penebatan, juga dikilangkan di Malaysia dalam kapasiti berlebihan. Beliau berkata terdapat tiga pengilang tempatan yang mengeksport lebih separuh daripada keluaran mereka ke luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Asia Barat, di mana ia digunakan di hotel-hotel, bangunan kerajaan dan sekolah.

Beliau berkata jika Malaysia menjadikan penebatan sebagai mandatori dalam peraturan-peraturan bangunannya, ia akan mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan baru, mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak lebih 3,300 gigawatt sejam (GWh) (bersamaan jumlah tenaga yang dijana setiap tahun oleh loji penjana tenaga nuklear bersaiz sederhana) dan mengurangkan kirakira 2.5 juta tan wasap karbon dioksida.

Malaysia buat masa ini menghasilkan 3.7 tan per kapita karbon dioksida setiap tahun, lebih daripada negara dengan penduduk paling ramai di dunia, China, yang hanya mengeluarkan kirakira 2.2 tan per kapita setiap tahun.

Oleh itu, Soh berkata, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah segera bagi mencetuskan kesedaran mengapa penting untuk menebat kediaman di kalangan warga Malaysia.

Untuk melakukan ini, katanya, MIMG telah bertemu dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan menawarkan satu projek perintis penebatan percuma bagi 150 kediaman golongan termiskin. Kementerian akan menentukan kediaman terbabit.

Beliau berkata respons kerajaan Malaysia selama ini adalah positif dengan pengecualian cukai bagi produk penebatan dalam belanjawan 2009. Dalam belanjawan terbaru, kerajaan memperuntukan RM1.52 bilion selain perumusan inisiatif lain bagi pembangunan teknologi mesra alam.

Manfaat lain

Penebat ini bukan seperti teknologi-teknologi mesra alam yang lain seperti panel solar, kerana ia tidak memerlukan penyenggaraan. Kos material dan pemasangan adalah sekali sahaja.

'Mineral wool', material yang digunakan bagi penebatan, juga bersifat kalis bunyi dan mempunyai ciriciri tidak mudah terbakar.

"Ini memberikan masa yang lebih dalam usaha menyelamat jika berlaku kebakaran," kata Soh.

Jadi manfaat daripada penebat ini adalah banyak, tetapi sejauh manakah ia selamat?

"Teknologi ini telah wujud selama lebih kurang 100 tahun dan digunakan di seluruh dunia," kata Soh.

Turut bersetuju dengan Soh, Thompson berkata produk ini digunakan dengan meluas di seluruh dunia tanpa sebarang isu kesihatan dan disokong oleh banyak penyelidikan dan kajian.

"Syarikat kami, Bradford Insulation mengilangnya di Australia sejak 75 tahun yang lepas dan di Malaysia sejak 25 tahun lepas. Tidak seorang pun daripada pekerja kami mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan pekerjaan mereka," kata beliau.

MIMG merupakan sebuah pertubuhan sukarela bukan bermotifkan keuntungan dan diwakili oleh tiga kilang penebat di Malaysia: CSR Building Materials (M) Sdn Bhd, Poly Glass Fibre Manufacturing Sdn Bhd dan Roxul Asia Sdn Bhd.

Matlamat pembentukan MIMG adalah untuk memperkenalkan manfaat hasil penggunaan penebat dalam industri pembinaan di Malaysia di samping menyediakan maklumat relevan bagi membantu kerajaan, agensi dan perunding dalam merumuskan dasar dan standard, terutama kecekapan tenaga di bangunan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain