suria

Malaysia 'lubuk emas' penjenayah asing

"KAMI berempat masuk ke rumah itu setelah memotong jeriji besi di tingkat bawah dan terus menyerbu bilik di tingkat atas di mana tuan rumah bersama isterinya sedang tidur.

"Saya ikat tuan rumah dan isterinya, seorang lagi rakan mengacukan parang ke leher mereka," cerita seorang banduan warga asing yang mahu dikenali sebagai Sani, 31, mengenai rompakan yang dilakukannya bersama tiga rakan di Melaka dua tahun lepas.

Sani yang ditemui di Penjara Kajang berkata mereka menyamun sebuah rumah mewah dua tingkat yang didiami seorang bergelar 'Datuk' di Alor Gajah, Melaka.

Rumah yang didiami Datuk bersama isteri, dua orang anak serta seorang pembantu rumah warga asing itu menjadi sasaran ketika itu setelah hampir seminggu membuat tinjuan, mengumpul maklumat dan merancang.

Dengan bantuan pembantu rumah yang menjadi kenalan rapat seorang daripada rakan kumpulan samunnya, memudahkan lagi mereka mengatur strategi.

Masa seminggu

"Kami terpaksa meredah belukar sejauh kira-kira 500 meter dari jalan besar untuk sampai ke rumah itu," katanya.

Mereka mendapat bantuan seorang rakyat tempatan yang menggunakan kereta curi untuk membawa dan menjemput mereka di tepi belukar.

Kata Sani mereka memasuki rumah itu kira-kira pukul 2.30 pagi ketika pemilik rumah dan keluarganya tidur.

Dengan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit menggeledah rumah itu, mereka berjaya menyamun wang tunai dan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 yang kemudian dibahagikan sama rata antara mereka.

Kesempitan hidup

Menurut Sani, kesempitan hidup menyebabkan dia melakukan jenayah itu walaupun tahu risiko yang menanti.

Dia datang ke Malaysia pada tahun 2005 dan bekerja sebagai buruh kontrak. Pendapatan yang tidak menentu, tidak mencukupi untuk menampung kehidupannya bersama isteri serta anaknya di kampung.

"Berikutan kejayaan samun itu, kami merancang pula untuk melakukan rompakan kedua di sebuah kedai emas berhampiran dengan bandar raya Melaka pada Mac tahun lepas.

"Saya rasa lebih yakin dengan cubaan kali kedua ini. Kami merancangnya selama dua minggu dan pada hari kejadian kami mula berlegarlegar di kawasan kedai sejak pukul 10.30 pagi," katanya.

Melihat peluang yang ada, dia an tiga rakan yang sama memasuki kedai emas itu kira-kira pukul 4.30 petang. Di dalamnya tiada pelangan cuma ada tiga pekerja wanita dan pemilik kedai emas itu.

Sani mengacukan parang ke leher pemilik kedai emas, namun pemilik kedai itu sempat memijak 'penggera' yang terus memberi amaran kejadian samun itu ke balai polis.

Tidak sampai lima minit, Sani nampak polis mula mengepung kedai itu dan mereka tiada pilihan melainkan menyerah diri.

"Saya orang pertama yang ditahan ketika itu. Rakan-rakan saya juga turut menjalani hukuman penjara di sini (Kajang). Saya dijatuhi hukuman selama tujuh tahun dan dijangka bebas pada 2012 nanti," katanya yang bercadang pulang ke kampung di Jawa Timur, Indonesia setelah dibebaskan nanti.

Hampir ke tali gantung kerana samun

Bagi warga Singapura yang mahu dikenali sebagai Wee, 56, dia pula mempunyai pengalaman yang berbeza. Pernah dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana terlibat dalam samun bersenjata di Kepala Batas, Pulau Pinang pada tahun 2001, tetapi hukuman itu ditukarkan kepada penjara 18 tahun apabila rayuan terakhir Wee kepada Yang diPertuan Agong diterima. "Saya tidak ada niat nak merompak, kerana perempuan (mangsa) itu saya kenal. Dia isteri kawan saya. Saya cuma datang ke rumah kawan saya itu untuk minta duit tapi isteri dia kata suaminya tak ada di rumah.

"Kawan saya yang datang sama-sama masa tu suruh saya samun, jadi saya terus masuk ke dalam rumah dan tangkap perempuan itu. Tiba-tiba anak perempuannya menjerit, saya terus keluarkan pistol dan cakap kalau buat bising lagi saya tembak, tapi tiba-tiba sahaja peluru pistol meletup dan kena kaki anak perempuannya," katanya.

Semasa kejadian, Wee merupakan penjenayah yang dikehedaki polis Malaysia setelah terbabit dalam pergaduhan dengan lima lelaki dan melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan pada tahun 2000.

Selepas kejadian pergaduhan itu dia terus melarikan diri ke Thailand untuk bersembunyi.

Namun kerana perlukan duit, Wee kembali ke Malaysia bersama seorang rakannya ke rumah berkenaan dengan harapan untuk meminta sedikit duit daripada rakannya yang merupakan seorang kontraktor yang berjaya.

"Oleh kerana takut, setelah lihat anak perempuannya cedera, saya dan rakan terus lari masuk semula ke Thailand.

"Tapi dua minggu lepas tu, polis Malaysia dengan bantuan polis negara tersebut menahan saya," katanya.

Dia telah lapan tahun menjalani hukuman dan dijangka akan dibebaskan pada tahun 2012 pada usia 61 tahun.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia 37 tahun ini tidak mengimpikan apa-apa bila dibebaskan nanti.

"Masa saya keluar nanti, saya sudah makin tua. Saya tak terfikir lagi apa yang harus saya buat nanti. Saya terima hukuman ini sebab saya tahu pernah buat salah," katanya.

Jenayah warga asing

Penglibatan warga asing dalam jenayah di negara ini kini dilihat semakin meningkat.

Jenayah samun termasuk bersenjata dan berkumpulan merupakan antara jenayah yang paling kerap dilakukan oleh warga asing.

Sejak tahun lepas, beberapa kumpulan penjenayah yang bergiat aktif dalam kegiatan samun rumah mewah berjaya dipatahkan di sekitar Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Kegiatan penjenayah warga asing ini bagaimanapun tiada kesudahannya walaupun ramai yang terlibat mati ditembak polis.

Sepanjang tahun 2008 sahaja seramai 52 penjenayah warga asing ditembak mati oleh polis berbanding hanya tiga kes pada 2007.

Dipercayai peningkatan kes itu ada kaitan dengan kemakmuran dan kekayaan yang dinikmati di negara ini. Polis Diraja Malaysia

Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa bekerja keras bagi memastikan kadar peningkatan jenayah di negara ini dikawal.

Mengikut statistik PDRM sepanjang tahun 2008, sebanyak 1,849 kes jenayah kekerasan dilaporkan dan 3,034 kes melibatkan jenayah harta benda.

Daripada jumlah itu, warga Indonesia mencatatkan penglibatan tertinggi iaitu 1,073 dalam jenayah kekerasan dan 1,400 dalam jenayah harta benda diikuti warga Filipina pula sebanyak 416 (jenayah kekerasan) dan 1,400 (harta benda) manakala warga Singapura mencatatkan satu kes jenayah harta benda.

Kebanyakan penjenayah terutama dari Indonesia datang sebagai pelancong dan mengambil kesempatan melakukan rompakan dan pecah rumah.

Mereka mensasarkan negeri-negeri yang berhampiran dengan sempadan negara seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin.

Menurut Mohd Bakri, penjenayah berkenaan kebiasaannya akan berkumpul di satu petempatan dan bergerak secara kumpulan ke kawasan-kawasan sasaran.

"Kumpulan ini lebih ganas dan ada dalam kalangan kumpulan ini mensasarkan warga negara mereka sendiri kerana tahu mangsa tidak akan buat laporan polis kerana mangsa sendiri tidak mempunyai permit," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual barubaru ini.

Ditembak mati

Kes terbaru, pada 13 Mei, lima penjenayah warga Indonesia ditembak mati selepas memecah masuk rumah Syahrin Mohd Jamaluddin, setiausaha politik Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor.

Lima hari sebelum itu, lima rakyat Indonesia yang dikenali sebagai anggota Geng Ipol yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun, ditembak mati di hutan simpan Kampung Bahagia, Bukit Lagong, Sungai Suloh.

Mohd Bakri berkata peningkatan kegiatan jenayah yang dilakukan ada kaitannya dengan kerjasama baik daripada kumpulan tempatan serta rakan senegara yang telah menetap lama di Malaysia.

Terdapat dalam kes pecah rumah, terutama di kawasan taman-taman perumahan, pembantu rumah menjadi pemberi maklumat kepada kumpulan itu untuk melakukan samun di rumah majikan mereka.

Mohd Bakri berkata polis memerlukan kerjasama orang ramai melalui maklumat dan laporan polis yang dibuat bagi mengumpul data-data kumpulan dan individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah.

"Persepsi masyarakat bahawa jenayah tidak akan berlaku (berulang) harus dibuang jauh kerana selagi ada ruang dan peluang, kemungkinan berlakunya jenayah tetap ada," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain