suria

Langkah hadapi cuaca kering

PELBAGAI langkah diambil oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) sebagai persediaan dalam menghadapi keadaan cuaca yang lebih kering dalam Monsun Barat Daya mulai pertengahan bulan ini hingga Sept nanti.

Ia berikutan kenyataan Jabatan Meterologi barubaru ini yang meramalkan Malaysia akan mengalami Monsun Barat Daya dalam tempoh itu di mana secara lazimnya cuaca adalah lebih kering berbanding bulan lain, dengan purata suhu maksimum antara 30.7 hingga 34.1 darjah Celcius.

Setiausaha Bahagian Kawal Selia Perkhidmatan Air KTTHA, Sutekno Ahmad Belon berkata pihaknya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) sentiasa mengingatkan semua syarikat pengendli bekalan air supaya memastikan aspek penyelenggaraan rutin dan berjadual dibuat ke atas seluruh sistem bekalan air dari muka sauk sehinggalah ke rangkaian paip perhubungan bagi menjamin langkah pembekalan air paling efisyen.

Beliau berkata empangan juga perlu diselenggara dengan baik dan mematuhi manual operasi masing-masing, manakala pelepasan air dari empangan ke sungai-sungai yang menjadi punca sumber air perlu dibuat mengikut jadual di dalam manual operasi.

"Sekiranya perkara ini dipatuhi, cuaca panas yang menjadi perkara lazim di Malaysia, akan dapat dihadapi dengan tenang oleh semua operator air dalam negara," katanya dalam emel baru-baru ini.

Sutekno seterusnya menyeru pengguna supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang masa kerana air kini menjadi sumber yang terhad buat negara.

Beliau mengingatkan bahawa tidak semua sungai dan air permukaan sesuai untuk dijadikan sumber air mentah kepada bekalan air terawat negara kerana pencemaran yang teruk.

Sementara itu Pengurus Kanan Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Shahrul Bariah Mohd Rejab berkata bagi memastikan bekalan air mencukupi walaupun sewaktu musim kering, syarikat-syarikat pengendali loji rawatan yang mengawal setiap empangan perlu efektif dalam menguruskan pelepasan air empangan mengikut prosedur yang mantap dan pemantauan yang rapi.

"Ini kerana kegagalan mengawal pelepasan mengikut keperluan akan hanya mengakibatkan pembaziran sumber air mentah terutama sekali dalam menghadapi keadaan musim kering," katanya.

Beliau berkata bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kawasankawasan ini memiliki beberapa empangan yang menyimpan air bagi menghadapi musim tidak berhujan yang panjang, dan ia diuruskan oleh syarikat-syarikat rawatan air seperti Puncak Niaga (M) Sdn Bhd yang menguruskan Empangan Klang Gates, Empangan Langat, dan Empangan Tasik Subang.

Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) pula menguruskan Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi, manakala Konsortium Abass, anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, menguruskan Empangan di Sungai Semenyih.

Shahrul Bariah berkata memandangkan kedudukan kapasiti sumber bekalan air di Selangor sudah hampir tidak mencukupi untuk menampung keperluan yang kian meningkat, maka sebarang perubahan cuaca yang mengurangkan bekalan air mentah akan membawa kepada krisis air yang teruk kepada Selangor.

Beliau berkata Syabas sebelum ini pernah mengemukakan cadangan 10 skim pembangunan sumber air mentah kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan, namun menurutnya hanya satu skim yang diluluskan manakala selebihnya ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau seterusnya berkata Syabas turut menyediakan pelan bagi mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) terutamanya bagi kehilangan fizikal melalui kerjakerja perbelanjaan modal yang dikenal pasti.

Bagaimanapun menurutnya untuk memberi laluan kepada penstrukturan semula industri air di Selangor, Syabas diarah supaya menangguhkan kerjakerja itu sehingga langkah penstrukturan selesai.

Selain daripada itu, Shahrul Bariah berkata SYABAS juga akan meneruskan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada Kempen Kesedaran Pengguna melalui Program Mesra Pengguna yang antara lain menyeru semua pengguna agar menggunakan air secara berhemah serta mengelak daripada membazir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain