suria

Penyeludupan nadi ekonomi kepada masyarakat sempadan

SELAMA lebih 50 tahun, beberapa pangkalan haram wujud di sepanjang Sungai Golok, sungai yang menjadi penghubung persaudaraan dan perniagaan penduduk Kelantan di sempadan Malaysia dan Narathiwat di Thailand.

Pangkalan haram itu menjadi "penghubung diplomatik" di antara penduduk di kedua-dua belah sempadan bersama kerana ramai daripada mereka mempunyai hubungan persaudaraan.

Namun pangkalan itu juga menjadi pusat penyeludupan untuk memenuhi kehendak pasaran di kedua-dua negara.

Seorang peniaga di pekan sempadan Thai, Sungai Kolok, Seman Abdullah, 51, berkata terdapat beberapa pangkalan yang cukup popular di Sungai Golok.

(Pekan Thai itu dikenali sebagai Sungai Kolok sementara sungai yang membatasi sempadan bersama Malaysia-Thai dipanggil Sungai Golok).

"Biasanya, nama setiap pangkalan ini berdasarkan nama individu yang tinggal paling hampir dengannya atau sesuatu yang boleh dijadikan penanda.

PUNCA PENYELUDUPAN

"Antara yang terkenal ialah pangkalan Syed Agil kerana rumah Syed Agil berdekatan dengan pangkalan tersebut", katanya.

Pangkalan lain yang terkenal ialah pangkalan MCA kerana dahulunya terdapat sebuah pejabat parti MCA di kawasan itu.

Pangkalan lain yang menjadi tumpuan ialah Pohon Jambu, Gergaji, Pohon Buluh, dan Pauh yang memiliki sejarah tersendiri.

Dari satu segi, kewujudan pangkalan haram ini dikatakan satu daripada punca aktiviti penyeludupan gagal dibendung selain kemasukan secara tidak sah di kedua-dua negara.

BOLOS DARIPADA PENGUATKUASA

"Bagaimanapun, jeti-jeti ini juga merupakan penyambung hubungan darah antara masyarakat kedua-dua daerah yang hanya dipisahkan sebatang sungai," katanya.

Sempadan yang memisahkan negara ini dengan Thailand dan sebahagian besar geografi politik kedua-dua negara, banyak ditentukan oleh aliran Sungai Golok sepanjang 95 kilometer.

Sungai sempit dengan kelebaran cuma beberapa meter yang banyak didindingi hutan dan belukar ini mudah sahaja diseberangi dengan mengharung, berenang atau bersampan, yang cuma mengambil masa beberapa minit.

Selain bergantung kepada sumber pertanian, pekerjaan dan perniagaan yang merentasi sempadan merupakan pendapatan utama mereka dan kebanyakannya pula melibatkan aktiviti penyeludupan.

Ada yang beranggapan, tanpa kegiatan ini, ekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara akan lumpuh dan penduduk setempat akan mengalami masalah dengan peluang pekerjaan yang terbatas dan keadaan sempadan pemisah itu memudahkan mereka menjalankan urusan dan memboloskan diri daripada tindakan penguatkuasaan.

TENTERA SEMUT

Ramai penduduk di sini dan negara jiran yang terlibat sebagai 'tentera semut' yang mengambil upah menjalankan penyeludupan barang, haiwan dan manusia di samping bertindak sebagai pembekal.

Barang pilihan penyeludup sudah pastinya yang mendapat permintaan tinggi iaitu barang keperluan harian seperti pakaian, gula, beras, minyak masak serta gandum, haiwan ternakan, mercun dan bunga api, segala jenis dadah, minyak petrol dana diesel.

Sepanjang Pengkalan Kubor Tumpat sehingga Rantau Panjang sahaja terdapat lebih 130 pangkalan haram bagi kegiatan penyeludup.

Tinjauan Bernama mendapati pangkalan-pangkalan haram di sempadan tidak sehebat panggilan itu kerana semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Thailand itu amat daif, kayunya hampir reput dan tidak selamat digunakan.

Malah, sesetengah daripadanya langsung tidak mempunyai kayu atau binaan yang layak dipanggil jeti kerana pangkalannya hanya merupakan tebing sungai yang dipenuhi semak-samun.

UNDANG-UNDANG PERAIRAN ANTARABANGSA

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Abdul Rahim Jaafar turut mengakui faktor sungai itu ialah antara masalah yang dihadapi pihaknya bagi menangani masalah penyeludupan di sempadan itu.

Katanya barang seludup mudah dibawa masuk ke negara jiran melalui rumah atau premis yang dibina terlalu hampir dengan tebing Sungai Golok dan ia berkait rapat dengan peruntukan rizab tanah sungai.

"Penyeludup kebiasaannya akan menggunakan palung yang akan diisi dengan barang seperti gula atau minyak masak terus ke dalam perahu yang sedia menanti di sungai.

"Masalahnya di sini ialah PGA tidak mempunyai bidang kuasa untuk merampas barang yang telah berada dalam sungai kerana ia berkait rapat dengan undang-undang perairan antarabangsa, walaupun lebar sungai itu hanya beberapa meter sahaja memisahkan antara kedua-dua negara," katanya.

PGA bertanggungjawab mengawal sempadan Malaysia - Thailand, sepanjang 29.9 kilometer dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas melalui Ops Wawasan.

PGA menempatkan 16 pos kawalan di kawasan strategik dan sekat pintas di tujuh lokasi bagi mengawal kemasukan penyeludup. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain