suria

Bahagian Umno tunjuk kematangan pilih calon Presiden

PELAN peralihan kuasa yang dipercepatkan kepada Mac tahun depan bakal berjalan lancar berdasarkan kesemua 28 bahagian Umno yang mengadakan mesyuarat perwakilan setakat ini mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden Umno.

Ketika mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan presiden Umno pada 8 Oktober, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau berharap Najib akan menggantikannya sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri.

Harapan Abdullah setakat ini disambut bahagianbahagian Umno dan Perdana Menteri menjadi orang yang gembira hari ini dengan perkembangan itu.

"Sudah tentu saya perlu gembira kerana mereka menyokong beliau (Najib). Itu adalah baik.

"Saya nak Datuk Seri Najib menggantikan saya, saya nak supaya ahliahli parti memberi sokongan kepada beliau dan saya percaya beliau boleh menjadi pemimpin yang baik," kata Abdullah kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Serantau Amerika Syarikat dan Dunia Islam di sini hari ini.

Pencalonan Najib sebagai calon tunggal bagi jawatan presiden parti itu menghantar isyarat bahawa akar umbi parti akur dengan pelan peralihan kuasa.

Pola pencalonan jawatanjawatan tinggi lain parti itu setakat ini juga dilihat sebagai mencerminkan suburnya amalan demokrasi, kematangan akar umbi dan keazaman parti untuk menjalani proses pengukuhan dan penjenamaan semula selepas Barisan Nasional (BN) mengalami "setback" pada pilihan raya umum ke-12 Mac lepas.

Sungguhpun semua jawatan MT adalah terbuka kepada pertandingan selaras dengan amalan demokrasi dalam parti, ahli-ahli nampaknya sepakat untuk memilih Najib sebagai presiden sebagaimana yang dihasratkan Abdullah.

Walaupun Najib tidak menamakan siapa pilihannya sebagai timbalan presiden, pola pencalonan bagi jawatan itu juga menunjukkan kematangan anggota Umno.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan calon popular bagi jawatan nombor dua dalam parti itu dengan mendapat 23 pencalonan dari bahagian seluruh negara.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat tiga pencalonan dan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dua pencalonan.

Perebutan bagi tiga jawatan naib presiden Umno juga tidak kurang menarik perhatian apabila 11 pemimpin mendapat pencalonan bagi jawatan itu tetapi trend yang jelas dalam populariti calon ialah di kalangan golongan yang lebih muda.

Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, menjadi calon paling popular dengan 26 pencalonan setakat ini diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (15), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (14) dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin (10).

Pemimpin lain yang mendapat pencalonan bagi jawatan ini ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (6), Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim (5), bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (3), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan (2), bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (2) dan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa (1).

Seperkara yang menarik juga dalam pencalonan pemimpin oleh bahagianbahagian Umno kali ini ialah ia dibuat secara bebas daripada sikap parokial dan kedaerahan, tetapi dengan semangat ingin mengukuhkan parti melalui pemilihan caloncalon yang benarbenar berkebolehan dan berkelayakan.

Sebagai contoh Hishammuddin, yang berasal dari Johor menjadi pilihan bahagianbahagian termasuk di Sabah, manakala Mohd Shafie dari Sabah tidak kurang popular di negerinegeri di Semenanjung.

Begitu juga bagi calon Ketua Puteri Umno Datuk Shahaniza Shamsuddin dari Pahang, yang turut mendapat pencalonan dari Beufort dan Kinabatangan, walaupun calon dari Sabah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bertanding jawatan sama dan beliau pula mendapat pencalonan dari Pekan di Pahang dan Padang Besar, Perlis.

Bahagian-bahagian setakat ini juga telah menamakan 79 orang pemimpin untuk merebut 25 jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT).

Perebutan jawatan peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri Umno turut menarik minat ramai terutamanya persaingan antara anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir dan naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang masingmasing telah mendapat 40 dan 19 pencalonan setakat ini.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang turut menawar diri bertanding jawatan itu mendapat 12 pencalonan manakala timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin satu pencalonan.

Pelan peralihan kuasa ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz kepada naib ketua Datuk Seri Shahrizat Jalil, bagi mengelakkan pertandingan, nampaknya tidak begitu diterima oleh semua bahagian pergerakan itu.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila 13 bahagian memberi pencalonan jawatan ketua pergerakan itu kepada Shahrizat, walaupun Rafidah sudah menerima 52 pencalonan.

Ketua Umno bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim turut menerima empat pencalonan bagi jawatan naib ketua pergerakan itu disamping Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said (4) dan ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Sadique (2).

Bagi jawatan Ketua Puteri Umno, persaingan sengit berlaku antara Ketua Penerangan Puteri Datuk Shahniza Shamsuddin dan Naib Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang masingmasing memperoleh 32 dan 30 pencalonan sehingga semalam.

Anggota Exco Puteri Datin Ismalina Ismail turut meletakkan diri dalam senarai calon Ketua Puteri dengan mengumpul 12 pencalonan manakala Setiausaha pergerakan itu Bibi Sharliza Mohd Khalid (enam) dan Ketua Puteri Umno Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (empat). BERNAMA

Artikel Sebelum

Just smoke and mirrors

Artikel Berikut

Artikel Lain