suria

Najib bakal ikut jejak bapa teraju negara

KUALA LUMPUR:Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini hampir mengikuti jejak Allahyarham bapanya untuk memegang tampuk kepimpinan negara.

Bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri kedua pada 22 Sept 1970 semasa berusia 48 tahun, dan berikutan pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac tahun depan, laluan kini tersedia untuk Najib dipilih Presiden Umno sekali gus menjadi Perdana Menteri keenam pada usia 55 tahun.

Tindakan Abdullah mengosongkan kerusi tertinggi dalam parti dan dalam pentadbiran negara adalah selaras dengan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh beliau dan Najib.

Najib, anak sulung daripada lima adikberadik lelaki dan dilahirkan pada 23 Julai 1953, menyertai politik pada usia yang muda.

Ketika berumur 22 tahun beliau menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Pekan dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada Februari 1976 berikutan kematian bapanya. Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum 1978 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada Julai tahun itu.

Sehingga hari ini beliau masih mengekalkan rekod sebagai timbalan menteri termuda pada usia 25 tahun.

Pada pilihan raya umum 1982 beliau dipindahkan ke kerusi negeri, Bandar Pekan, dan menang dan terus dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-11 pada usia 29 tahun.

Sekali lagi, beliau mencipta nama sebagai menteri besar paling muda, dan memegang jawatan itu sehingga 1986 sebelum kembali semua ke kerusi Parlimen pada pilihan raya umum tahun berkenaan.

Dalam kabinet pula, Najib bermula sebagai Menteri Budaya, Belia dan Sukan (1986-1990), sebelum dilantik Menteri Pertahanan (1990-1995) dan Menteri Pendidikan (1995-1999) dan kemudian pada 1999 kembali sebagai Menteri Pertahanan.

Berikutan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai perdana menteri keempat pada 2003 bagi memberi laluan kepada Abdullah dilantik sebagai pengganti, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Pada pemilihan Umno pada 2004, Najib menang tanpa bertanding sebagai timbalan presiden.

Pada 17 Sept lepas, Najib telah bertukar portfolio dengan Abdullah, dengan beliau mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Abdullah, dan Abdullah pula mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan.

Najib, lulusan University of Nottingham dalam bidang ekonomi perindustrian dengan kepujian, telah memulakan kariernya sebagai Pengurus Perhubungan Awam Petronas sebaik tamat pengajiannya pada 1974, dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi Majuternak sebelum menyertai politik.

Sebagai Menteri Pertahanan, beliau telah banyak membawa perubahan terutama dalam menjaga hal ehwal bekas perajurit negara dengan menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 2001 bagi memberi perhatian dan bantuan sosioekonomi, sara hidup, perubatan, persekolahan dan pelbagai lagi kepada pesara tentera.

Bagi melahirkan belia negara yang mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran serta menanamkan semangat patriotik kepada negara, selaku pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai program khidmat negara, beliau bertanggungjawab memperkenalkan pada tahun 2003 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi melatih pelajar lepasan sekolah berumur 18 tahun.

Bagi meneruskan usaha Allahyarham bapanya untuk memajukan peneroka tanah rancangan yang dibangunkan oleh Felda, beliau sebagai pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai Felda telah membawa pelbagai program terutama mempertingkatkan hasil pengeluaran kelapa sawit negara yang telah mendatangkan pendapatan lumayan kepada peneroka.

Felda kini bukan sahaja menumpukan aktiviti membangunkan kawasan perladangan tetapi juga mempertingkatkan aktiviti hiliran serta turut memberi penekanan kepada pendidikan anakanak peneroka serta pembangunan komersil bagi mempertingkatkan taraf hidup peneroka.

Najib, yang dikurniakan tiga anak lelaki dan dua perempuan, juga berbakat dalam bidang penulisan dan telah menghasilkan beberapa buku antaranya "For The Sake of Peace", "Asia-Pacific's Strategic OutlookShifting of Paradigms" dan "Defending Malaysia Facing the 21st Century."

Dalam dunia teknologi maklumat yang semakin moden, Najib melancar laman webnya "I-Malaysia.com.my" bagi mewujudkan forum bertukar pendapat dengan orang ramai serta bagi beliau mendapatkan maklumat balas daripada masyarakat mengenai kerajaan. BERNAMA

Artikel Lain