suria

Jalinan Kerjasama Universiti Dunia, Agenda Pembinaan Bangsa

GEORGE TOWN: Jalinan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pelbagai universiti di dunia merupakan agenda dalam meneruskan usaha pembinaan bangsa dan negara serta mengukuhkan kedudukannya di peringkat global.

Naib Canselor USM Prof Datuk Omar Osman berkata melalui kerjasama itu, ia membolehkan universiti berkongsi kepakaran untuk tujuan pembentukan komuniti yang kuat dalam pelbagai bidang termasuk sains, teknologi dan inovasi sosial.

"Segala dapatan daripada penyelidikan setiap universiti Asean yang terlibat dapat disalurkan terus kepada masyarakat menerusi pemindahan ilmu," katanya dalam ucapan pada upacara konvokesyen USM ke-50 di Dewan Tuanku Syed Putra di sini, Rabu.

Upacara yang berlangsung bermula hari ini hingga 9 Nov turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah sementara Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dianugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam.

Turut hadir, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Omar berkata, penganugerahan yang dianggap bersejarah kepada USM bersempena jubli emas upacara konvokesyen itu juga dapat merealisasikan pembentukan komuniti Asean yang dapat berkongsi sumber dan kekuatan yang ada.

"Ini amat bermakna kepada USM dalam menterjemahkan hasrat dalam pembentukan set minda global dalam kalangan warganya.

"Pembangunan pesat universiti dan institusi pendidikan negara Brunei juga memberi isyarat penting kepada kepentingan ilmu dalam melestarikan pembangunan untuk jangka panjang serta memastikan sifat kemandirian sesuatu bangsa terus kukuh untuk diwarisi," katanya.

Sebanyak 5,472 graduan akan menerima ijazah mereka pada upacara konvokesyen kali ini yang akan berlangsung dalam sembilan sidang. Pada hari ini sebanyak 353 graduan dianugerahkan dengan ijazah masing-masing.

Sempena upacara konvokesyen itu, pelbagai acara diadakan termasuk pameran kecemerlangan penyelidikan yang mengetengahkan 21 produk hasil penyelidikan USM yang bertujuan mendekatkan bidang penyelidikan kepada masyarakat.

Selain itu turut diadakan ialah ekspo konvokesyen 2014 (ConvEx'14) di tapak ekspo konvokesyen yang bertemakan 'USM Nadi Masyarakat' sempena meraikan sambutan jubli emas upacara konvokesyen kali ini.


USM, Universiti

Artikel Sebelum

UniKL-PMB Meterai Perjanjian

Artikel Berikut

Artikel Lain