suria

KUALA TERENGGANU: Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri) di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan menganjurkan program Saintis Muda Alam Sekitar di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal di sini, pada Jumaat.

Program dua hari itu dianjurkan bagi meningkatkan kefahaman dan memupuk minat pelajar terhadap bidang sains penyelidikan dan alam sekitar.

Pengarah Eseri, Prof Madya Dr Hafizan Juahir berkata, program yang merupakan julung kali diadakan di sekolah berkenaan merupakan kesinambungan beberapa program sama yang telah dianjurkan di beberapa sekolah menengah di negeri ini sejak tahun 2011.

"Program ini adalah berbentuk interaktif iaitu pelajar akan menjalankan sendiri eksperimen dan mereka akan didedahkan dengan alat radas dalam makmal dan ini akan memudahkan pembelajaran mereka," katanya pada Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata, program itu juga dapat memupuk sifat kepimpinan dalam diri mereka untuk mengetuai kajian lapangan berkaitan alam sekitar di sekolah.

Hafizan menambah, ia juga dapat meningkatkan kualiti pendidikan di Terengganu terutamanya dalam mata pelajaran sains di samping melahirkan saintis muda.

Artikel Berikut

Artikel Lain