suria

UTM-Universiti Karachi Tingkat Kerjasama Penyelidikan

NEW DELHI: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Sains Kimia dan Biologi Antarabangsa (ICCBS) Universitu Karachi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang sains semula jadi dan biologi.

Akhbar Pakistan, The Nation, melaporkan bahawa melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan mengeratkan hubungan dan memperbanyakkan program pertukaran akademik dalam bidang pendidikan dan penyelidikan serta mengenal pasti anggota pasukan yang akan terlibat dengan projek penyelidikan bersama.

Menurut akhbar itu lagi, pengarah ICCBS Prof Dr M Iqbal Choudhary dan Ketua Jabatan Kimia UTM Prof Dr Hasnah Mohd Sirat menandatangani MoU berkenaan bagi pihak institusi masing-masing.

MoU itu, yang ditandatangani bersempena kunjungan sekumpulan sarjana Malaysia baru-baru ini, membolehkan perjumpaan dwiinstitusi diadakan setiap tahun dalam bentuk bengkel, seminar dan persidangan anjuran bersama kedua-dua pihak, kata akhbar itu.

Aktiviti yang akan dilaksankan melalui MoU ini meliputi pertukaran pegawai fakulti dan penyelidikan, program pengajian luar negara, program penyelidikan bersama termasuk pertukaran sampel baucer, ekstrak produk semula jadi, seminar, bengkel dan program perkhidmatan, kata Iqbal.

Beliau berkata, MoU ini berkuat kuasa selama lima tahun mulai tarikh ia ditandatangani dan boleh dilanjutkan atas persetujuan kedua-dua pihak secara bertulis. -BERNAMA

Artikel Lain