suria

4,578 Graduan Bakal Terima Ijazah Dalam Konvokesyen UIAM Ke-28

GOMBAK: Seramai 4,578 graduan bakal menerima ijazah dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-28 yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober ini.

Seperti tahun-tahun terdahulu, jumlah graduan perempuan adalah lebih ramai berbanding graduan lelaki dengan jumlah 2,922 dan 1,656.

Pengerusi Majlis KOnvokesyen UIAM ke-28 Datuk Dr Md Tahir Azhar berkata, situasi ini merupakan 'trend' universiti sejak kebelakangan ini sekali gus menunjukkan pelajar perempuan lebih menyerlah dalam bidang pendidikan.

"Ini menunjukkan pelajar wanita belajar lebih bagus, lebih berkerja keras dan mereka mendapat banyak tempat di universiti," katanya pada sidang media yang diadakan dekat sini, Rabu.

Katanya, sepanjang 30 tahun penubuhan UIAM, seramai 60,000 graduan telah dilahirkan universiti ini.

Menurut Dr Tahir, berlaku penurunan jumlah graduan yang menerima ijazah pada tahun ini berbanding tahun lepas yang mencatat jumlah seramai 4,662, kesan daripada masa dan tempoh kemasukan, bukan disebabkan lain-lain faktor.

"Ini disebabkan tempoh kemasukan Mei hingga September di seluruh negara...kesan daripada itu.

"Dari segi statistik ia sedikit berkurang tetapi secara keseluruhan ia tidak berubah apa-apa," katanya.

Beliau menambah, UIAM adalah setaraf dengan universiti lain di luar negara bukan sahaja dari segi kemudahan dan fasiliti yang ditawarkan, tetapi juga dari segi pandangan masyarakat.

Beliau memberi contoh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberi kepercayaan terhadap UIAM dengan menghantar anak lelakinya melanjutkan pengajian di universiti ini.

"Ramai yang bercakap tentang universiti ini.

"Datuk Seri Khaled Nordin tidak hanya bercakap tetapi telah melakukannya dengan menghantar anaknya belajar dalam bidang undang-undang di sini.

"Beliau sendiri akan menyampaikan ijazah kepada anaknya dan graduan jurusan undang-undang lain pada hari kedua konvokesyen nanti," katanya sambil menyifatkannya ia sebagai simbolik dan pengiktirafan terhadap UIAM.

Selain itu, pemberian Anugerah Pencapaian Istimewa turut diteruskan sebagai menghargai pelajarnya yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal tetapi berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Pada tahun ini,Muhammad Fadhullah Sharuddin dari Kuliyyah Teknologi Informasi dan Komunikasi (KICT) yang mendapat Timbunan Purata Nilaian Gred (CGPA) 3.454 akan menerima anugerah tersebut.

Selain itu, pelbagai acara menarik turut diatur untuk tetamu dan pelajar UIAM menerusi Fiesta Konvokesyen.

Antara program-program yang disusun termasuklah Pesta Coklat dan Pastri (3-9 Oktober), Explorace (6 Oktober), Festival Nasyid Antarabangsa (11 Oktober), Konvensyen Wanita Antarabangsa (30 September - 2 Oktober) dan banyak lagi.

Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah akan merasmikan istiadat konvokesyen kali ini dan akan menyampaikan ijazah kepad pelajar pada hari pertama (sesi pertama).

Artikel Lain