suria

97 IPT Sah Sertai Temasya SUKIPT

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 institusi pengajian tinggi (IPT) telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) yang akan berlangsung dari 28 Okt hingga 8 Nov depan.

Penyelaras Media Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Nur Ekmal Buhary berkata temasya dwitahunan yang julung kali dianjurkan kementerian itu akan berlangsung di 16 venue, melibatkan IPT sekitar Lembah Klang dan Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.

"Penganjuran SUKIPT bertujuan mencari pemain berbakat dalam jumlah yang besar untuk mewakili negara dalam kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) di Laos, Disember depan dan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan, Rusia pada 2013.

"Penganjuran SUKIPT ini selaras dengan penubuhan Dasar Pembangunan Sukan IPT 2009. Sasaran kita adalah lebih 100 penyertaan bagi tahun ini. Tarikh tutup penyertaan adalah pada akhir September," katanya kepada Bernama.

Sebanyak 20 IPT awam (IPTA), 40 IPT swasta, 27 politeknik dan 10 kolej komuniti mengesahkan penyertaan dalam kejohanan tu.

Antara IPT terbabit ialah Universiti Teknologi Mara, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, KBU International College, Kuala Lumpur Instructure University College (KLIUC) dan Kuala Lumpur Metropolitan University College.

"Acara sukan yang dipertandingkan pada temasya SUKIPT ini adalah mengikut standard acara temasya sukan AUG dan sukan Universiade," katanya.

Sebanyak 15 acara akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, tenpin boling, badminton, bola tampar dewan, bola tampar pantai, ragbi 7 sebelah, bola jaring, tenis, memanah, taekwondo, karate-do, catur, sepak takraw dan menembak.

SUKIPT dijangka melibatkan 15,000 atlet, pegawai dan sukarelawan. -BERNAMA

Artikel Lain