suria

USM Kalahkan 18 Universiti Untuk Julang Anugerah NRIC Terbaik 2012

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi Anugerah Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi Terbaharu Terbaik (NRIC) selepas mengalahkan 15 universiti tempatan dan tiga universiti antarabangsa pada pertandingan NRIC 2012.

Anugerah itu dimenangi pelajar jurusan Kejuruteraan USM, Yong Bang Meng, 23, Tang Yuan Jun, 22, dan Ho Qiao Yee, 23, bagi projek mereka berkaitan kit diagnosis kanser serviks yang dikenali 'FPGA-Based Cervical Pre-Cancerous Diagnostic Kit'.

Ketua pasukan Yong berkata projek mereka itu masih di peringkat prototaip.

"Apa yang kami cipta ialah satu sistem automatik yang boleh membantu usaha doktor dalam mendiagnosis kanser serviks. Dengan ini, kami berharap kadar kematian pesakit kanser serviks akan dapat dikurangkan," kata Yong kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di kampus USM.

Yong dan pasukannya menerima hadiah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.

Selain itu, USM turut memenangi dua lagi anugerah utama itu Anugerah Teknologi Mampan/Hijau dan Anugerah Dasar Impak Sosial. Universiti Malaysia Terengganu memenangi Anugerah Reka Cipta-Moto manakala Anugerah Reka Cipta dan Inovasi Terbaik dimenangi Universiti Malaysia Perlis.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Sebanyak 138 projek menyertai pertandingan itu dalam enam kategori sains hayat, kejuruteraan dan teknologi, kesihatan dan sains perubatan, transformasi sosial dan seni kreatif, teknologi maklumat dan komunikasi dan sains asasi yang menawarkan 23 pingat emas, 24 perak dan 37 gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain