suria

146 Universiti China Kini Diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 146 institusi pengajian tinggi di China menjadi kumpulan pertama yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)dari negara itu, dan senarainya diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata pengiktirafan itu adalah susulan Perjanjian Pengiktirafan Seiring (MRA) yang ditandatangani Malaysia dan China pada 28 April tahun lepas.

Pelaksanaan MRA antara Malaysia dan China melalui bidang pengajian tinggi akan memberi banyak manfaat terutamanya dalam mempertingkatkan kerjasama di peringkat institut pengajian tinggi, katanya pada sidang media, di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Syed Ahmad Hussein yang turut hadir, berkata senarai tersebut akan dikemas kini daripada semasa ke semasa.

"Pemilihan institut pengajian tinggi dari RRC (Republik Rakyat China)terbabit untuk kali permulaan ini adalah di bawah seliaan terus Agensi Pusat RRC.

"Jalinan bidang pengajian dengan RRC adalah yang pertama telah kami buat, dan kami sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan lagi hubungan dalam bidang pengajian tinggi bersama New Zealand dan Australia," katanya.

Antara universiti China yang diiktiraf ialah Universiti Anhui, Universiti Beihang, Universiti Fudan dan Universiti Donghua. -BERNAMA

Artikel Lain