suria

Univ M'sia Perlis Kerjasama Dengan Institut Kewangan Tashkent

TASHKENT: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Tashkent Financial Institute (TFI) hari ini mewujudkan kerjasama akademik yang secara tidak langsung turut membantu memperkukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Uzbekistan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP, mewakili universiti itu manakala Rektor TFI Prof Dr Vahabov Alisher Vasikovich bagi pihak institut itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjayakan kerjasama berkenaan.

Tuanku Syed Faizuddin berkata kerjasama erat dalam bidang pendidikan antara kedua-dua negara semakin kukuh dengan sejumlah 700 warganegara Uzbekistan melanjutkan pengajian di Malaysia dengan 60 daripada mereka belajar di UniMAP.

Baginda bertitah MoU ini bukan sahaja meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara tetapi juga akan menyumbang dan memperkembangkan lagi jalinan antara rakyat dan rakyat serta hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan.

"Sempena sambutan ulang tahun ke-20 hubungan diplomatik Malaysia dan Uzbekistan pada 21 Feb baru-baru ini, beta berharap generasi muda kedua-dua negara akan berusaha menjalin hubungan ke arah masa depan cemerlang dan kemamuran," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah Malaysia dan Uzbekistan berkongsi nilai-nilai sama yang berasaskan kepada Islam.

"Kita berkongsi banyak kesamaan, maka seharusnya kita berusaha dan bekerjasama untuk mewujudkan hubungan baik di antara kedua-dua pihak, bukan hanya dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan, pelaburan, kerjasama sosial tetapi juga dalam bidang pendidikan," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah kedua-dua negara menandatangani MoU dalam bidang pengajian tinggi semasa lawatan rasmi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ke Uzbekistan pada 2008.

Sementara itu, Dr Vahabov berkata kerjasamaa dengan UniMAP akan membantu TFI memperkembangkan jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia.

Beliau berkata, TFI akan bergerak seiring dengan UniMAP yang kini muncul sebagai antara satu institusi penngajian tinggi aktif di Malaysia.

Pada masa ini terdapat lebih 7,000 pelajar melanjutkan pengajian di TFI dengan warga akademik seramai 500 orang.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengadakan dialog bersama para pelajar mengenai peluang belajar di UniMAP.

Turut hadir Duta Malaysia ke Uzbekistan Abdul Aziz Harun, Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Datuk Mahamud Abdul dan pensyarah perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Dr Faisal Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Lain