suria

USM Jalankan Penyelidikan Keupayaan Penduduk Hadapi Banjir

KUALA NERANG: Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM) sedang menjalankan projek penyelidikan mengenai keupayaan penduduk dalam menghadapi bencana banjir di daerah Padang Terap, Kedah.

Pemangku Pengarah CGSS Prof Madya Dr Norizan Md Nor berkata projek itu dilakukan oleh tujuh penyelidik universiti itu dengan dibantu oleh 40 pegawai dan penolong penyelidik.

Katanya, kajian bermula April lepas dan dijangka siap Mac tahun depan bertujuan mengenal pasti hubungan antara isu dan faktor berkaitan golongan rentan banjir dan adaptasi yang dilakukan serta melaksanakan program pembinaan keupayaan dalam kalangan mangsa banjir untuk mengurangkan kesengsaraan dan ketidakselesaan akibat banjir.

"Sepanjang kajian dijalankan, kekurangan alatan bantuan banjir adalah masalah utama, jadi disebabkan itulah kita memberi sedikit peralatan menghadapi banjir bagi memudahkan pergerakan mangsa banjir kelak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan barangan dan peralatan banjir bernilai RM57,000 oleh CGSS kepada Pejabat Daerah Padang Terap di sini, Khamis.

Peralatan terbabit ialah lapan buah bot berserta enjin, lapan jaket keselamatan, lapan generator dan empat set peralatan memasak iaitu periuk dan dapur dan tiga buah khemah. Dr Norizan berkata, selain menyediakan penduduk bagaimana untuk menghadapi banjir, projek ini juga membabitkan kaunseling kepada mangsa banjir serta latihan menyelamat dan mengendalikan bot yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam dan Pejabat Daerah.

Pegawai Daerah Padang Terap Mohd Helmi Harun berkata semasa banjir tahun lepas, sebanyak 3,393 mangsa banjir melibatkan 1,015 keluarga di daerah itu dipindahkan ke 29 pusat pemindahan.

"Dengan bantuan yang diberikan oleh USM, kita harap ia dapat membantu kita dalam menghadapi bencana banjir kelak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain