suria

Graduan Pertanian Digesa Ceburi Bidang Pertanian Selepas Tamat Pengajian

SERDANG: Para graduan dalam bidang pertanian digesa supaya menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan menjadi petani moden bagi memastikan industri pertanian negara dapat terus berkembang serta menjamin bekalan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom berkata pada masa ini kurang daripada 10 peratus golongan muda menceburi bidang pertanian sebaliknya kebanyakan petani terutama yang mengusahakan tanaman padi terdiri dari golongan yang sudah tua.

"Golongan muda yang menyertai industri ini juga kebanyakanya secara tidak sengaja, seperti sudah menceburi bidang perniagaan tapi tidak menjadi, barulah mahu membela ikan, bukan pada asalnya betul-betul berminat dalam bidang pertanian.

"Ada yang sesetengah mereka masuk bidang pertanian kerana sudah tidak boleh buat kerja lain. Jadi sudah menjadi pilihan kedua atau ketiga baru mahu melibatkan diri dalam bidang pertanian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini Jumaat.

Mohd Johari berkata segala pencapaian dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta teknologi yang dicipta untuk bidang pertanian tidak dapat dimanfaatkan sekiranya golongan muda tidak menceburi bidang itu.

"Misalnya dalam industri pengeluaran padi, sepatutnya kita sudah boleh bergantung kepada diri sendiri dengan benih yang kita keluarkan, subsidi yang kita bagi dan sebagainya adalah mencukupi, tetapi kita tidak mempunyai tenaga kerja.

"Di Malaysia kita mempunyai cuaca yang baik, tidak sangat terlibat dalam perubahan iklim, kita tidak ada monsun yang teruk, kita tidak ada gempa bumi, kemarau yang panjang dan sebagainya, tetapi kita tidak betul-betul menggunakan apa yang kita ada dengan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata pada masa ini 70 peratus daripada bekalan beras adalah dari dalam negara manakala 30 peratus lagi diimport dari negara luar termasuk daripada Thailand, India dan Vietnam.

Mohd Johari meminta UPM membuat kajian mengenai graduannya yang benar-benar menceburi bidang pertanian setelah menamatkan pengajian mereka agar jumlah mereka yang benar-benar meneruskan kerjaya dalam bidang itu dapat diketahui.

UPM juga perlu membawa pelajarnya turun ke sesuatu kawasan pertanian untuk tempoh yang lebih panjang supaya mereka lebih arif tentang industri itu termasuk mengenai masalah yang dihadapi para petani supaya mereka boleh menjadi petani moden setelah menamatkan pengajian nanti, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain