suria

Pemilihan Dr Lee Ai Choo Untuk Anugerah Akademik Negara Naikkan Nama UPSI

KUALA LUMPUR: Dr Lee Ai Choo, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKj) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)telah terpilih untuk menerima Anugerah Pengajaran dalam Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2009 & 2010.

Majlis tersebut telah berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 10 Oktober lalu.

Beliau menerima anugerah tersebut bagi Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan.

Penerimaan anugerah tersebut turut menjulang nama UPSI kerana beliau merupakan wanita Malaysia pertama memiliki kepakaran dalam bidang Sains Rehabilitasi.

Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiddin Yassin itu merupakan pengiktirafan tertinggi negara bagi ahli akademik (Universiti/ Kolej Universiti) serta menyanjung ahli akademik yang telah mengharumkan nama negara.

Penerima anugerah dipilih oleh sebuah Jawatankuasa Pemilih yang dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk menilai pencapaian ahli akademik yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

AAN merangkumi enam kategori utama iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti dan Anugerah Pengajaran.

Tokoh Akademik Negara dianugerahkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Haji Omar Abdul Rahman, Anugerah Penerbitan Buku dimenangi oleh Prof Madya Dr Jelani Harun dan Prof Dr Nik Azis Nik Pa; Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Prof Madya Mohamad Pauzi Zakaria; Anugerah Inovasi & Pengkomersialan Produk, Prof Dr Aini Ideris; Anugerah Seni dan Kreativiti, Junaidi Awang.

Penyandang hadiah utama Anugerah Pengajaran (Kesihatan) dianugerahkan kepada Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali; Prof Madya Dr Jaafar Jantan (Sains Tulen); Prof Madya Ir Hayati Abdullah (Kejuruteraan); Prof Datuk Dr Mohamed Shariff Mohamed Din (Sains kesihatan) dan Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran (Sastera dan Sains Sosial).

Dr Lee Ai Choo merupakan pemegang PhD dalam bidang Sains Rehabilitasi dari University of Alberta, Kanada dan menjadi wanita Malaysia pertama memiliki kepakaran dalam bidang Sains Rehabilitasi.

Beliau merupakan pengasas Program Ijazah Sarjana Muda Rehabilitasi Sukan bagi Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mana ia juga merupakan program pertama dan satu-satunya di Malaysia.

Sebelum menjadi pensyarah di UPSI (2000), beliau pernah berkhidmat sebagai guru Pendidikan Jasmani.

Pengalaman beliau yang luas di sekolah menjadikan beliau seorang pensyarah yang kreatif dan inovatif serta lebih realistik dalam mendidik bakal-bakal guru dalam bidang Pendidikan Jasmani, Sains Sukan, dan Sains Kejurulatihan.

Beliau berazam untuk mengembangkan bidang Sains Rehabilitasi di Malaysia seperti Multisensory Balance Training Program for Injuries Prevention, Rehabilitation Strategies for Different Sports, Physical Therapy for Injuries, Measurement of Static-Dynamic Balance for Sports and Talent Identification.

Dr Lee pernah dianugerahkan Graduan Terbaik dan Atlet Terbaik sewaktu melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pendidikan Jasmani, menerima Anugerah The Canadian Commonwealth Scholarship Program (2003), hadiah Delta Kappa Gamma World Fellowships for Key Women Educators Award (2004), Anugerah perkhidmatan Cemerlang UPSI (2008) dan Best Teacher Award (Tempat Pertama) dalam Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran di UPSI (2010).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain