suria

Kolej Han Chiang Sasar Capai Status Universiti

GEORGE TOWN: Kolej Han Chiang di sini yang mensasarkan untuk mencapai status universiti perlu memenuhi beberapa syarat utama yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chong.

Beliau berkata antara syarat utama untuk sesebuah kolej mencapai status universiti ialah program yang ditawarkan perlu mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pensyarahnya perlu memiliki kelayakan akademik yang ditetapkan kementerian.

"Saya berkeyakinan kolej ini akan dapat dinaik taraf kepada universiti kerana usaha berterusan pihak pengurusan bagi mencapai hasrat itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduan Kolej Han Chiang 2011 di sini Jumaat.

Seramai 201 graduan daripada Pusat Pengajian Komunikasi, Pusat Pengajian Perniagaan Dan Pengurusan, Pusat Pengajian Multimedia Dan Teknologi Maklumat dan Pusat Pengajian Cina menerima diploma masing-masing pada majlis itu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Han Chiang Tan Sri Tan Kok Ping menjelaskan hanya bahasa Cina dan Inggeris digunakan pada majlis ulang tahun kolej itu pada 29 September kerana ia tiada kaitan dengan sukatan pelajaran dan diadakan di luar waktu pembelajaran.

"Kami tidak ketepikan penggunaan Bahasa Melayu kerana terdapat juga beberapa acara termasuk nyanyian yang menggunakan Bahasa Melayu pada majlis itu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini yang kesal dengan sikap penganjur yang hanya menggunakan bahasa Cina dan Inggeris dalam satu majlis rasmi yang dihadirinya di negeri ini.

Tan berkata pihak pengurusan kolej telah menghantar surat dengan melampirkan satu cakera padat (CD) berhubung majlis itu kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pada Isnin lepas.

"Perkara ini tidak adil kepada kami, kami telah berusaha untuk melahirkan modal insan yang berbakat untuk membantu membangunkan negara ini dengan lebih berkesan, oleh itu saya berasa kecewa majlis ini telah dipolitikkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain