suria

USM Sedia Dana RM500,000 Untuk Penyelidikan Berkaitan Kearifan Tempatan

LANGKAWI: Universiti Sains Malaysia (USM) memperuntukkan dana sebanyak RM500,000 bagi menjalankan beberapa penyelidikan bagi mengangkat kearifan tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Naib Canselornya Prof Datuk Omar Osman berkata usaha itu adalah penting dan bermakna bagi membolehkan ilmu-ilmu tempatan menjadi sumber rujukan bernilai kepada negara.

Antara projek yang dijalankan menerusi dana berkenaan ialah repositori kearifan tempatan di mana proses mengumpul maklumat awal telah dilakukan sejak beberapa bulan lepas.

"Mungkin usaha itu tidak mudah kerana terdapat kearifan tempatan yang dianggap sulit oleh pemiliknya, namun ia perlu dilakukan kerana kita tidak mahu ilmu-ilmu kepandaian itu lenyap tanpa direkodkan kewujudannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Serantau Kearifan Tempatan di Senik Resort, di sini, pada Selasa.

Prof Omar berkata USM juga merancang untuk mewujudkan rangkaian penyelidikan kearifan tempatan di peringkat ASEAN dengan kerjasama pakar-pakar serantau. - BERNAMA

Artikel Lain