suria

Pelajar Perlu Bersedia Tentukan Masa Depan - Titah Tuanku Syed Faizuddin

KANGAR: Para pelajar perlu bersedia menentukan masa depan mereka dengan berazam menjadi pelajar yang terbaik, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Isnin.

Sehubungan itu, titah baginda mereka tidak boleh menunggu saat akhir untuk bekerja keras bagi menghadapi peperiksaan utama kerana ia bukan kaedah yang terbaik untuk cemerlang.

Bertitah menutup program pertemuan semula pelajar terbaik dan cemerlang sekolah-sekolah menengah seluruh Perlis 2010/2011 di sini Isnin, baginda berharap mereka memanfaatkan masa dengan merancang strategi, mengulang kaji pelajaran dan melakukankan kegiatan berfaedah menjelang peperiksaan.

Baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) bertitah, ilmu ibarat 'perigi di padang pasir' yang mana ia sepatutnya menjadi tumpuan dan buruan kerana jika dibiarkan, mereka akan kerugian di hadapan peluang yang tersedia.

Sebanyak 65 pelajar cemerlang menghadiri program anjuran YTSP dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan hotel Putra Palace itu.

Bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira sebulan lagi, baginda menasihati mereka supaya sentiasa menjaga kesihatan menjelang peperiksaan dan mengelakkan tekanan dengan bersukan atau bersantai.

Jika keadaan kembali tenang, mereka boleh meneruskan semula persiapan akhir menghadapi peperiksaan dengan lebih sempurna. -BERNAMA

Artikel Lain