suria

Curtin Sarawak Sasar 5,000 Pelajar Dalam Tempoh Lima Tahun

MIRI: Curtin University, Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) menyasarkan sehingga 5,000 pelajar yang mengikut pengajian di kampusnya di sini dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Pro Naib-Canselornya, Prof Ian Kerr. Beliau berkata angka itu akan membabitkan sejumlah besar pelajar antarabangsa.

"Curtin Sarawak ketika ini mempunyai lebih 3,300 pelajar dari lebih 40 negara," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh universiti itu pada Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan ketibaan 54 pelajar baru dari Oman yang meneruskan pengajian mereka di kampus universiti itu di sini. Sebelas pelajar tiba hari ini manakala 43 orang lagi baru-baru ini.

Pelajar itu adalah sebahagian daripada 54 kohort tajaan kerajaan Oman.

Mereka akan menyertai Program Intensif Bahasa Inggeris Curtin Sarawak untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris sebelum memasuki program pra universiti Kejuruteraan dan Sains serta Perdagangan dan Kesusasteraan.

Kemasukan mereka ke Curtin Sarawak, yang kini menempatkan kira-kira 10 pelajar Oman dalam pelbagai program, dibuat berikutan lawatan pencarian fakta ke Curtin Sarawak oleh para pegawai dari Kementerian Pengajian Tinggi Oman pada Julai lepas.

Dalam lawatan itu, para pegawai Oman menyampaikan hasrat kerajaan mereka untuk menempatkan pelajar dalam tiga daripada cawangan kampus universiti asing di Malaysia, termasuk Curtin Sarawak.

Dengan persetujuan universiti, mereka segera menyediakan asas untuk kemasukan pelajar dan ini disusuli lawatan balas ke Oman oleh petugas Curtin Sarawak baru-baru ini.

Curtin Sarawak menyediakan beberapa siri aktiviti orientasi pelajar yang menurut Prof Kerr, disusun khas bagi membantu pelajar agar dapat melakukan permulaan yang baik di universiti itu. - BERNAMA

Artikel Lain