suria

Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka Kendalikan Cawangan Kampus Glyndwr University, Wales

MELAKA: Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) dan Glyndwr University, Wales akan meningkatkan kerjasama dalam bidang akademik termasuk mengendalikan program universiti itu di sini. Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi berkata Glyndwr University bersetuju menjalin hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi dengan KAYM yang dapat mengukuhkan hubungan sejagat kedua-dua pihak di peringkat antarabangsa.

"Glyndwr University adalah sebuah universiti terkemuka di Wales, United Kingdom dan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak bakal membentuk rangkaian antarabangsa yang akan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang akademik dan memberi pelbagai manfaat kepada KAYM.

"Hasil perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini, KAYM telah dilantik mengendalikan cawangan kampus Universiti Glyndwr di Malaysia yang akan beroperasi di KAYM," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Saroni berkata antara kursus yang bakal ditawarkan adalah Ijazah Teknologi Maklumat dan Perkomputeran, Ijazah Perniagaan dan Ijazah Kejuruteraan.

Beliau berkata para graduan bagi program-program kendalian KAYM juga akan dapat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah di Glyndwr University dengan memperoleh pindahan kredit yang akan ditentukan kelak.

Pada majlis MoU itu, Saroni menandatangani bagi pihak KAYM manakala Glyndwr University diwakili Pengarah Operasi Antarabangsa kolej tersebut, Prof Brian Foxon. - BERNAMA

Artikel Lain