suria

Dzulkifli Yakin USM Akan Terus Memacu Kecemerlangan

GEORGE TOWN: Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang telah menerajui Universiti Sains Malaysia (USM) selama 11 tahun sehingga akhir bulan lepas, yakin universiti itu akan terus memacu kecemerlangan dan berada di persada antarabangsa di bawah barisan kepimpinan sekarang.

Dzulkifli yang menamatkan khidmat sebagai Naib Canselor USM pada 27 September lepas juga yakin penggantinya Prof Datuk Dr Omar Osman dapat mengekalkan universiti bertaraf Apex itu untuk setanding universiti terkenal dunia yang lain.

"Saya tidak ralat untuk meninggalkan universiti ini, selama lebih kurang 40 tahun saya di sini (Pulau Pinang), dari mula-mula belajar, bertemu isteri dan anak-anak saya membesar dan belajar di sini, universiti ini ibarat kampung halaman saya.

"Banyak juga kejayaan yang telah dikecapi sepanjang 11 tahun saya menerajui universiti ini, dan mendapat kerjasama dari pelbagai pihak, saya bangga dengan pencapaian universiti ini, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah tugas jawatan naib canselor USM kepada Dr Omar di sini Isnin. Pada majlis ringkas itu, Dzulkifli turut menyerahkan buku dan kemeja T kepada Dr Omar dan lima timbalan naib canselor sebagai tanda kenangan. Pelantikan Dr Omar diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, untuk tempoh tiga tahun bermula 28 September lepas hingga 27 September 2014. Pelantikan dibuat berasaskan kriteria yang ditetapkan kementerian selain pengalaman akademik serta pentadbirannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USM sejak 2007.

Dzulkifli, 60, bapa kepada empat cahaya mata berkata beliau akan meneruskan kerjaya dalam bidang pengajian tinggi kerana bidang itu telah sebati dengan dirinya.

"Saya akan meneruskan kerjaya dalam bidang pengajian tinggi juga kerana saya cintakan ilmu dan ia tidak boleh dipisahkan dari saya," katanya ketika ditanya mengenai perancangannya di masa hadapan.

Dr Omar, 53, pula berkata beliau akan meneruskan perjuangan yang telah dimulakan oleh Dzulkifli bagi mengekalkan kecemerlangan USM.

USM akan meneruskan agenda untuk mencipta nama di persada dunia dengan menggembleng bakat dan potensi dalam kalangan anggota akademik, pentadbir dan para penuntut, katanya.

Dr Omar, yang turut mengagumi kecemerlangan Dzulkifli sebagai ikon pemimpin dalam transformasi pengajian tinggi, berkata rekod kerja bekas naib canselor itu sukar ditandingi. - BERNAMA

Artikel Lain